PEMANDANGAN di Jeti Pantai Murni. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN Kedah kerap dikunjungi ramai, masih banyak lokasi dan tarikan di negeri itu yang belum diterokai sepenuhnya.

Selain Langkawi dan Pantai Merdeka, tidak banyak destinasi pantai atau pulau yang diketahui sedangkan Kedah antara destinasi tersohor dalam kalangan kaki pancing.

Terdapat banyak pulau tidak berpenghuni selain perkampungan nelayan di sekitar perairannya.

Lantas dalam kunjungi singkat ke negeri itu baru-baru ini, pelawaan seorang kenalan untuk dibawa meninjau Pantai Murni disambut penulis dengan hati terbuka.

Pantai Murni kira-kira 500 meter dari pekan kecil Yan menjadi destinasi tumpuan buat penduduk sekitar untuk beriadah selain mendapat perhatian pengunjung luar kerana terkenal dengan keindahan panorama matahari terbenam.


PANTAI putih dan hitam memberi panorama kontras yang menarik. FOTO Nur Syazwana Mansor

Malah destinasi itu diberi nafas dengan projek Pantai Murni Waterfront yang dibuka secara rasmi pada 2017. Penambahbaikan ketara ialah jeti pantai itu dinaik taraf menerusi pembinaan dataran berbumbung. Selain itu, pembinaan struktur jeti lebih baik bagi pengunjung yang berhasrat meninjau pulau sekitarnya dan kemudahan lain.

Dari pantai ini sebenarnya pengunjung berpeluang melihat keindahan pulau yang terdapat berdekatan pantai ini antaranya Pulau Bunting, Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Songsong.

Saranan penulis, lebih baik pengunjung menyusuri jeti yang memanjang ke tengah lautan untuk melihat lebih dekat dan bagi merakam foto pemandangan unik.

Jika bernasib baik, pengunjung yang bersantai di hujung jeti dapat menyaksikan bot nelayan yang menyusuri sekitar perairan itu.


KEMUDAHAN taman permainan dan wakaf untuk pengunjung.

Pemandangan tidak kurang hebatnya apabila bertentangan dengan laut, terdapat pemandangan Gunung Jerai yang juga antara destinasi popular di Kedah.

Secara peribadi perjalanan dengan pemanduan sekitar 45 minit dari pusat bandar Alor Setar ke lokasi itu untuk menikmati pemandangan itu sememangnya berbaloi.

Ia antara lokasi sesuai untuk melepak atau bersantai bersama keluarga terutama bagi mereka yang sukakan bayu pantai. Tentu sekali layang-layang boleh diterbangkan! Pengunjung kanak-kanak yang bermain di taman permainan juga antara yang paling teruja.


NAIK TARAF untuk keselesaan pengunjung.

Kelihatan juga wakaf atau pondok istirahat disediakan pihak Majlis Daerah Yan bagi kemudahan ibu bapa memantau anak mereka bermain. Malah ia menjadi ruang bersosial apabila terdapat kumpulan ibu dan bapa itu berbual-bual antara satu sama lain.

Satu lagi tarikan yang wajib diketengahkan ialah keenakan mi udang di medan selera Pantai Murni. Percutian tidak akan lengkap tanpa mencuba sajian popular yang menjadi sebutan ramai sehingga ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menikmati keunikan rasanya.

Selain itu terdapat juga deretan gerai makanan di sepanjang pantai untuk pengunjung nikmati sambil berkelah bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 10:30 AM