Nurul Husna Mahmud


PELAYARAN penulis bersama Genting Dream ke Puerto Princesa di Palawan, Filipina bermula dari Marina Cruise Center Singapura ibarat percutian idaman.

Menyuntik keterujaan menjadi sebahagian daripada penumpang dalam pelayaran kali ini, inisiatif pihak Dream Cruises membawa siri animasi popular dari Jepun iaitu Pokemon dengan watak Pikachu memeriahkan lagi suasana dalam kapal menerusi tema siri pengembaraan Pokemon Detective Pikachu.

Penumpang turut berpeluang merakam foto bersama maskot Pikachu yang begitu comel lengkap mengenakan pakaian seperti seorang penyiasat.

Aktiviti kraf menghasilkan topeng menampilkan karakter itu turut dijalankan anak kapal bagi meraikan penumpang yang bercuti bersama anak mereka.

Menurut Timbalan Presiden Kanan Jualan Antarabangsa Genting Cruise Lines, Micheal Goh, tema pengembaraan bersama detektif Pikachu mewarnai konsep pelayaran kali ini kerana menyedari bukan hanya kanak-kanak tetapi orang dewasa turut teruja dengan kehadiran karakter itu.

“Pemilihan konsep pengembaraan Pikachu bagi siri pelayaran kali ini sebagai kelainan dalam aktiviti yang biasa dilakukan pengunjung sepanjang berada di atas kapal.

“Penumpang bukan hanya dapat menikmati pemandangan laut, mengunjungi restoran atau kafe, melakukan aktiviti rekreasi mahupun menyaksikan persembahan, malah mereka turut diserikan penampilan istimewa karakter berkenaan.

“Ini selaras dengan falsafah kami mahu memberi yang terbaik untuk pelanggan selain memenuhi impian semua penumpang tidak kira latar belakang mereka.

“Kami melihat itu antara peranan Dream Cruises sebagai duta ‘kecil’ selepas menerima satu anugerah berprestij, Breakthrough Contribution to Tourism daripada Singapore Tourism, apabila mempromosi negara terbabit sebagai hab atau destinasi pelayaran di rantau ini,” katanya.


KARAKTER Pikachu menemani penumpang kapal dalam pengembaraan ke Palawan.

Merujuk keistimewaan dan kualiti servis ditawarkan di kapal berkenaan, kata Micheal, ia adalah antara kapal persiaran terbesar apabila sudah berkhidmat kepada lebih sejuta penumpang menerusi beberapa siri pelayaran termasuk perjalanan kali ini yang membabitkan laluan Singapura-Kota Kinabalu-Puerto Princesa (Palawan).

Tersenarai sebagai penumpang kesejuta memberikan pengalaman cukup bermakna buat Wilianty dari Indonesia.

Beliau yang julung kali menikmati percutian di atas kapal bersama keluarganya itu terpilih menerima pakej eksklusif Dream Villa untuk enam orang bernilai lebih RM120,000 bagi menikmati pelayaran selama lima hari.

Bagaimanapun, penulis juga antara yang bertuah. Kali ini ditemani jurufoto, Nur Adibah Mohd Izam, kami berpeluang menikmati pelayaran serba mewah apabila menjadi penginap suite, The Palace.

Kedudukannya menghadap pemandangan ke jendela membenarkan kami meninjau keindahan laut dan langit di luar balkoni dari tingkat 15 iaitu tingkat suite berkenaan berada.

Sampai hari ini, penulis masih seronok untuk berkongsi pengalaman belayar khususnya berkenaan sajian yang ditawarkan kepada penumpang Muslim. The Lido iaitu restoran di tingkat 16 mempunyai sijil perakuan halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) turut menawarkan pelbagai seleksi hidangan Asia menarik terutama cita rasa Melayu seperti kari kepala ikan, asam pedas mahupun rendang dengan lebih 20 pilihan menu setiap hari.

Ya, rendang antara yang menjadi tarikan penulis, jurufoto dan rakan media beragama Islam lain. Mana tidaknya, tugasan belayar ini berlangsung pada 4 Syawal ketika ahli keluarga, rakan sekerja dan semua umat Islam di seluruh dunia seronok berhari raya bersama insan tersayang.


RUANG di Zouk Beach yang luas.

Bagaimanapun, ia tetap memberikan kenangan yang manis kepada kami. Apatah lagi apabila kumpulan media turut dibawa melawat ke bilik kawalan kapal dan sesi penerangan disampaikan sendiri kapten kapal berkenaan, Magnus Gottberg.

Kata Magnus, operasi kapal komersial itu tidak lagi menggunakan stereng kayu untuk mengawal kapal, sebaliknya ia berfungsi menggunakan punat kecil dengan sistem digital selain teknologi navigasi terkini bagi memastikan kapal sampai di destinasi pada tempoh ditetapkan.

“Kapal ini tidak ubah seperti sebuah bandar yang bergerak termasuk memiliki teknologi bagi menukar tenaga dari turbin kapal kepada sumber tenaga elektrik bagi keseluruhan operasi dalam kapal,” katanya.

Bagaimanapun, pengemudi kapal atau petugas tetap menggunakan sistem manual seperti teropong binakular untuk meninjau jika ada halangan atau kapal kecil berada di laluan.

Menariknya, kapal mewah buatan Jerman itu berlabuh di Kota Kinabalu, Sabah sebagai perhentian pertama sebelum tiba di Palawan pada hari ketiga. Dalam tempoh transit ini, penulis dibawa menikmati pemandangan indah di sekitar ibu negeri Sabah itu khususnya Pulau Sepanggar, Masjid Bandaraya dan Menara Tun Mustapha.

Selain di atas kapal, peminat aktiviti air boleh menggunakan kesempatan ini untuk mencuba pelbagai cabaran rekreasi air di Pulau Sepanggar bagi memberikan lebih warna kepada percutian pelayaran anda!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 9:52 AM
PENGALAMAN indah percutian serba mewah bertemakan siri pengembaraan Pokemon.