PAKAIAN wanita dan barang kemas wanita Peranakan Cina yang dipamerkan.
Zaitie Satibi


Warisan tradisi Cina, budaya dan adat Melayu yang diamalkan dalam peradaban serta gaya hidup seharian masyarakat Baba dan Nyonya menjadikan etnik ini sangat popular di Malaysia sehingga ke hari ini.

Campuran budaya kedua-dua masyarakat ini mewujudkan keunikan tersendiri dalam pembentukan identiti sesebuah kebudayaan baru.

Dikenali bukan saja kerana pemakaian baju kebaya bersulam dan berkain batik, malah nyanyian dondang sayang, penggunaan seramik dan makanan tradisional mereka menjadikan masyarakat berkenaan memiliki identiti yang jauh berbeza dengan budaya negara asal.

Bagi memastikan budaya dan warisan masyarakat Baba dan Nyonya itu tidak dilupakan, Galeri Warisan 22 Hale Street di Ipoh, Perak, menyediakan ruangan klasik yang menghimpun tinggalan lama seperti pakaian, kasut, perabot, mangkuk tingkat, perhiasan diri, alat mekap dan potret.

Menariknya, ruangan berkenaan turut mempamerkan pelbagai set pengantin Baba dan Nyonya termasuk katil, almari dan persalinan yang digunakan sebelum merdeka.

Pengunjung pasti teruja melihat tinggalan lama berkenaan yang masih dijaga rapi di samping halwa telinga asyik dijamu dengan alunan lagu berirama dondang sayang.

Galeri Warisan 22 Hale Street adalah pusat pameran yang menempatkan warisan bersejarah pekan Ipoh yang dahulunya menjadi pusat perlombongan terbesar di negara ini.

Ia diwujudkan bagi mengimbas zaman lampau dan masa kini masyarakat pada masa itu termasuk memberi pemahaman budaya, amalan dan warisan mereka.

Selain ruangan Baba dan Nyonya, turut dipamerkan ruang kediaman orang Cina pada zaman dulu dengan perabot antik, replika premis perniagaan lama seperti kedai runcit, kedai gunting rambut, hotel bajet dan penjaja makanan jalanan.

Turut dipaparkan foto lama hitam putih yang menunjukkan sejarah perlombongan, budaya dan adat resam serta individu yang berpengaruh.

Pengunjung dapat mempelajari asal-usul kedatangan orang Cina ke negara ini yang berhijrah dari negara asal mereka dan mencari pekerjaan serta membina penempatan baru.

Keunikan lain galeri itu adalah bangunannya yang dikatakan masih mengekalkan rekaan asal pada era 1900.

Sebahagian bilik masih dilengkapi perabot lama yang digunakan pada tahun berkenaan.

Contohnya, ruangan hotel bajet dengan katil dan almari asal yang pada masa itu kerap digunakan pedagang yang datang dari jauh untuk berurusan dengan pelombong.

Selain menceritakan sejarah bangunan warisan bernombor 22 itu dan orang-orang yang hidup di sekitarnya, terdapat mini muzium yang mempamerkan artifak tinggalan bersejarah yang menjadi koleksi pemiliknya, sekali gus membawa pengunjung menelusuri sejarah perlombongan bijih timah di Ipoh.

Nama galeri itu diambil bersempena nama asal jalan yang mengabadikan mendiang Abraham Hale, seorang pengutip cukai kerajaan British sebelum ia ditukar kepada nama Tun Sambanthan bagi memberi penghormatan kepada pejuang kemerdekaan negara.

Ipoh adalah bandar yang terkenal di Malaysia sebagai bandar yang berkembang hasil perlombongan bijih timah. Perkembangan perbandaran yang unik ini menjadikan Ipoh terkenal di Tanah Melayu pada masa itu.

Kedudukannya dalam Lembah Kinta yang cukup terkenal dengan kawasan bijih timah suatu ketika dahulu menjadikan ia berkembang pesat dari sebuah pekan kepada bandar dan seterusnya bandar raya.

Bangunan warisan dan pameran tinggalan lama yang penuh seni serta bersejarah ini juga menyediakan sudut sesuai untuk fotografi bagi yang suka merakam gambar mahupun berswafoto.

Suasana zaman silamnya menjadikan ia lokasi santai seisi keluarga sambil mengimbau sejarah lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:42 AM