Zaitie Satibi


LAZIMNYA kita berkunjung ke destinasi menarik untuk menjamu mata dengan suasana pemandangan indah, unik dan menakjubkan.

Aktiviti berjalan sambil memburu makanan membolehkan pengunjung menjelajah taman rimba dalam bandar dikenali MAEPS Agro Tourism Park terdiri dari lapan laman pertanian.

Itu antara kelebihan pengunjung yang menyertai Maeps Food Hunt iaitu aktiviti baru di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor

Empat lokasi ditetapkan untuk menikmati juadah mengikut tertib pembuka selera, sup, makanan berat dan pencuci mulut.

Tempoh tiga jam diperuntukkan untuk melengkapkan misi pemburuan makanan merangkumi lawatan ke Laman Herba, House of Kambing, Nasi Kandar Apollo dan Laman Nanas. Selain menikmati juadah, pengunjung berpeluang melakukan aktiviti sampingan disediakan di lokasi berkenaan.

Sudah tentu bergambar beramai-ramai atau berswafoto menjadi keutamaan dan perkara paling pelik tetapi benar berlaku adalah memberi kamera telefon pintar anda ‘makan’ dulu juadah dihidang sebelum perut anda sendiri diisi.

Menurut Pengurus (Pembangunan Perniagaan dan Agropelancongan) Mardi MAEP, Muhd Khairul Azwan, program pemburuan makanan berkenaan dijalankan hanya pada hujung minggu berdasarkan tempahan.

“Pemburuan makanan dengan cita rasa tempatan adalah usaha mewujudkan lebih banyak lokasi pelancongan berbentuk pertanian di negara ini. Kami juga ingin menggalakkan pelancong mengenali bidang agro lebih mendalam supaya tidak hanya tertumpu kepada penanaman dan penternakan, sebaliknya teknologi berkaitan.

“Selain menjamu selera dan menikmati pemandangan hijau serta berinteraksi dengan haiwan dalam taman pertanian ini, pelancong turut dihidangkan maklumat mengenai pertanian yang dijalankan di lokasi dilawati,” katanya.

Malah pengunjung juga tidak perlu risau memikirkan kenderaan untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain kerana pihak MAEPS menyediakan tram bersama kakitangan yang akan menunjuk arah. Malah kakitangan yang bertindak sebagai jurupandu ini juga akan memberi penerangan lengkap mengenai empat lokasi disinggahi termasuk laman lain yang berada dalam laluan.

Lokasi pertama iaitu Laman Herba untuk mencuba ulam-ulaman sebagai pembuka selera. Biasanya kekacang atau makanan ringan bergoreng dijadikan pembuka selera, tetapi kali ini pihak MAEPS meletakkan ulam tempatan sebagai makanan pemula.

Pengunjung pasti teruja melihat bagaimana pokok herba ini hidup subur dengan saiz agak besar. Ada juga yang kagum kerana pertama kali melihat pokok daun kaduk tumbuh melata atas tanah. Ulam berkenaan kemudian dicuci dengan air limau nipis sebelum dimakan bersama pilihan sos, sambal dan kuah rojak. Turut disediakan air minuman daripada jus roselle sebagai pembasah tekak.

Bertolak ke lokasi kedua House of Kambing yang menawarkan pelbagai masakan berasaskan kambing. Ini adalah kafe pertama di negara ini yang memberi peluang kepada pelanggan menjamu selera sambil menikmati pemandangan ladang ternakan MAEPS Ecofarm.

Selain dapat rasa kelazatan daging kambing yang lembut, pelanggan juga dapat bermain dan memberi makan kambing yang bebas berkeliaran. Istimewanya terdapat seekor unta berbonggol satu yang didatangkan dari Australia dan dinamakan Mina menjadi tarikan utama ke ladang itu.

Unta itu jinak dan akan datang jika dipanggil namanya. Oleh itu, pelanggan berpeluang memegang dan mengusap badan unta serta mengambil gambar secara dekat. Jangan bimbang, haiwan ini tidak akan menggigit atau bertindak agresif kecuali anda berbuat sesuatu tidak elok terhadap haiwan itu.

Juadah kedua disajikan adalah sup kambing dengan resipi istimewa dimakan bersama roti bawang putih. Kuah supnya yang likat dimasak dengan gabungan rempah ratus memberikan rasa cukup sebati dan tidak mengecewakan.

Tiba di lokasi ketiga di restoran Nasi Kandar Apollo, perut sudah kenyang kerana hidangan sup kambing sebelum ini masih belum hadam sepenuhnya. Jadi sementara menunggu makanan dalam perut hadam, pengunjung boleh melakukan aktiviti memancing secara tangkap dan lepas di tasik berhampiran.


PESERTA bermesra dengan unta bernama Mina ladang Ecofarmuntuk sesi sup.

a

Bagi mereka yang tidak mahu memancing kerana tidak tahan panas boleh bersiar-siar di perkampungan rumah negeri terletak di seberang restoran. Terdapat jambatan dengan reka bina unik untuk melawat bangunan tradisional dibina mengikut setiap negeri.

Lokasi berikutnya untuk pencuci mulut ialah Laman Nanas yang menawarkan kuih dan minuman berasaskan nanas jenis MD2. Nanas jenis ini dikatakan paling terbaik dan manis sekali, malah turut tidak ‘menyengat’ lidah.

Pengunjung menikmati potongan buah nanas bersama tart nanas dan minuman jus nanas yang diproses segar tanpa tambahan gula daripada pengusaha Nanas D Jeram. Turut disediakan pilihan minuman panas yang unik iaitu kopi nanas.

Program diakhiri dengan lawatan ke Pusat Informasi Nanas dengan pengenalan kepada jenis nanas dan perkongsian maklumat mengenai industri nanas di negara ini. Bersebelahan kios pencuci mulut ialah ladang tanaman nanas yang dijalankan pihak MAEPS. Puas bergambar dengan pokok nanas dan replika gergasi buah nanas, pengunjung pulang dengan riang hati!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:45 AM
SERDANG 24 OGOS 2019. Peserta MAEPS Food Hunt bermain dengan unta ketika Program MAEPS Food Hunt di House of Kambing, MAEPS Serdang. NSTP/AZHAR RAMLI