LAMPU suluh kepala diperlukan meneroka Gua Ikan.
GUA KAJANG tapak warisan penemuan artifak bersejarah.
KEUNIKAN pemandangan Gua Ikan.
Oleh Zaitie Satibi


Selain hutan rimba, gunung, air terjun, pantai dan pulau, Malaysia juga memiliki banyak gua yang menarik untuk diteroka. Malah, negara ini juga dikatakan rumah kepada sejumlah besar gua termasuk beberapa yang diiktiraf sebagai terbesar dan terpanjang di dunia.

Gua adalah terowong semula jadi yang terbentuk ke dalam bukit atau gunung disebabkan fenomena alam seperti hakisan air atau angin. Lazimnya, ia terletak di dalam hutan belantara yang menjadi habitat kepada hidupan liar menakjubkan.

Terdapat gua yang terkenal dengan tapak arkeologi yang mempunyai artifak berusia puluhan ribu tahun, malah ada yang mengandungi lukisan dinding purba yang boleh dilihat sehingga hari ini. Namun, keunikan gua disebabkan ciri monumen geologi, rupa bumi, landskap, kepelbagaian struktur geologi, batuan, fosil dan mineral.

Setiap gua menjanjikan keunikan dan cabaran yang tersendiri berikutan struktur dalamannya yang berbeza membolehkan ekspedisi meneroka gua semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat aktiviti lasak mahupun pencinta alam semula jadi.

Biarpun aktiviti meneroka gua tidak sepopular kegiatan mendaki gunung, tetapi masih ada segelintir yang meminati pengembaraan rahsia alam semula jadi berkenaan.

Keindahan dan keunikan gua batu kapur dengan formasi stalagmit dan stalaktit yang terbentuk ratusan juta tahun lalu menenggelamkan perasaan takut dengan suasana gua yang kelam, dingin dan ruang terhad.

BAYANG-BAYANG cahaya terbentuk di permukaan air kelihatan seperti susuk tubuh di Gua Hantu Menari.

Gua juga perlu diterokai secara berhati-hati bagi menjamin keselamatan, di samping memelihara keadaan alam semula jadinya. Eksplorasi gua boleh menjadi aktiviti yang selamat selain bermanfaat dan menyeronokkan sekiranya peneroka gua mematuhi panduan asas.

Malah, peneroka gua juga dinasihatkan hanya boleh memasuki gua dengan jurupandu berpengalaman yang menerangkan peraturan dan ciri keselamatan ketika menjelajah gua. Khidmat jurupandu gua adalah perkara terpenting dalam meneroka gua bagi menjamin semua aktiviti yang dilakukan berjalan lancar dan selamat.

Menurut jurupandu gua, Sabrie Zoo, antara langkah keselamatan asas perlu dipatuhi untuk meneroka gua adalah pemakaian peralatan seperti lampu suluh kepala, topi keledar dan sarung tangan. Ini kerana, suasana dalam gua yang gelap dan laluan berbatu serta sebahagiannya licin.

Selain itu, pemakaian baju, kasut dan seluar yang sesuai juga amat penting dan perlu dititik-beratkan ketika memasuki gua kerana faktor terbabit boleh menjamin keselamatan dan mengelak kecederaan lebih buruk berlaku.

“Aktiviti meneroka gua juga boleh berdepan bahaya seperti gua dinaiki air, selain struktur gua daripada batu kapur mengundang risiko permukaan dan dinding gua menjadi rapuh menyebabkan batu kecil boleh jatuh dari siling gua.

PEMBENTUKAN batu menyerupai haiwan di Gua Bewah.

“Memasuki gua digalakkan secara berkumpulan dengan semangat kerjasama berpasukan dan setiap peneroka gua perlu mendengar dengan teliti setiap penerangan yang diberikan jurupandu bagi memastikan mereka tidak terkeluar dari laluan asal ketika di dalam gua.

“Lazimnya formasi stalagmit dan stalagtit yang unik dan pelbagai bentuk sehingga ada yang menyerupai flora dan fauna menjadi pendorong kepada orang ramai untuk menghayati keindahan gua. Dalam gua juga ada sungai dan air terjun yang cantik dan mengagumkan,” katanya.

Sabrie sudah membimbing ratusan pelancong tempatan dan luar negara meneroka gua di Merapoh dekat Kuala Lipis, Pahang yang berusia lebih 300 juta tahun. Dianggarkan terdapat lebih 500 gua di sekitar kawasan Merapoh, tetapi hanya 12 yang dibuka untuk lawatan pelancong atas faktor keselamatan serta memulihara kecantikan gua.

Antara gua di Merapoh yang dibuka untuk lawatan pengunjung ialah Gua Hari Malaysia, Gua Seribu Cerita, Gua Hantu Menari, Gua Jinjang Pelamin, Gua Katak, Gua Tahi Bintang dan Gua Hanuman.

PESERTA mengharung anak sungai di Gua Ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 8:42 AM