MOTOSIKAL kategori custom ditunggang seorang peserta.
PESERTA bergambar kenangan selepas memerah keringat di trek.
Helmy Abd Rahman


PADA hari biasa, keadaan di sini agak tenang dan sunyi. Paling bising pun cuma bunyi unggas dan mergastua barangkali.

Namun pagi itu, suasana di hutan ini bertukar 180 darjah dengan deruman enjin 40 motosikal pelbagai jenis berlumba pada acara Chabuk Crater Camp, baru-baru ini. Itu antara keunikan Terap Fine Forest, Kulim, Kedah.

Bagi peminat motosikal, bunyi itu ibarat alunan muzik indah di telinga masing-masing. Laluan berliku, berlumpur dan becak bukan masalah untuk peserta melengkapkan dua pusingan perlumbaan yang setiap pusingan hanya berjarak satu kilometer sahaja.

Jangan ingat ini perlumbaan motosikal biasa kerana kemeriahannya berbeza. Mana tidaknya, kebanyakan motosikal digunakan adalah buatan sendiri dan klasik yang ditransformasikan demi perlumbaan dalam hutan ini.

Perlumbaan dalam hutan terbesar di Malaysia ini menyaksikan lima kategori dipertandingkan iaitu retro dan customs (masing-masing bawah 400cc dan atas 400cc); terbuka scooter; terbuka scrambler serta ‘whacky racing.’

Edisi kali keempat ini berjaya menarik kunjungan 400 penonton, satu jumlah yang jauh melangkaui sasaran awal 250 orang.

“Paling menarik tentunya whacky racing iaitu acara final yang membabitkan perlumbaan antara tiga peserta terbaik setiap kategori. Semua punya peluang sama untuk menang.

“Keputusan akhir bukan hanya bergantung kepada keupayaan motosikal tetapi lebih penting skil dan kemampuan masing-masing.


PESERTA bergambar kenangan selepas memerah keringat di trek.

“Terdapat juga peserta negara lain iaitu dari United Kingdom (UK), Brunei, Filipina dan Thailand tapi lebih 90 peratus peserta tempatan.

“Selain berlumba, kita anjurkan aktiviti perkhemahan tiga hari dua malam,” jelas kru Chabuk Crater Camp, Amin Hamid.

Turut memeriahkan acara ini ujarnya, adalah persembahan muzik daripada beberapa penghibur dijemput khas untuk mengisi slot dua malam perkhemahan.

“Antara artis terbabit dalam persembahan adalah kumpulan The Fatalis, Black N’ Blues, Hana, Ogoshi Rebels, Azmyl Yunor and DJ Asang,” tambahnya.

Menceritakan detik asal penganjuran Chabuk Crater Camp, Amin memberitahu, ia bermula hasil idea pengasasnya, Mohd Razim Zakaria.

“Beliau (Mohd Razim) memang minat habis dengan perlumbaan dan kemudian cetus idea ini. Beliau kemudian mengajak beberapa rakan yang pernah menyertai edisi sebelum ini untuk bersama-sama membantu menjayakan acara ini.

“Saya sendiri dahulu adalah peserta tapi tahun ini membantu sebagai kru untuk mengambil gambar,” katanya.

Menurutnya lagi, untuk edisi akan datang, mereka bercadang mengembangkan lagi acara berkenaan.

“Berdasarkan sambutan diterima, tidak mustahil untuk merancakkan lagi Chabuk Crater Camp untuk penganjuran akan datang,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:47 AM