Laluan mencabar ke puncak Bukit Batu Putih.
Oleh Hanim Mohd


Port Dickson, Negeri Sembilan selain terkenal dengan jolokan Bandar Tentera Darat, ia juga sinonim dengan keindahan pantai dan laut nan biru, bahkan keunikan flora serta fauna tersembunyi.

Baru-baru ini, penulis bersetuju dengan ajakan teman baik, Yong Yoke Lian sambil merangka percutian pendek bersama seorang lagi rakan, Sharmala Campos untuk bermalam di resort yang dibina di dasar laut berstatus lima bintang di Port Dickson itu.

Mengenali peribadi Yoke Lian yang menggemari aktiviti riadah, timbul rasa cuak di hati penulis sekiranya dia menyelit aktiviti mengeluarkan peluh.

Bayangkan kami pernah bersama-sama menghadiri majlis perkahwinan teman di luar bandar, Yoke Lian turut mencuri masa melakukan aktiviti riadah.

Nyata sangkaan penulis tepat, apabila dia meminta kami berdua memakai pakaian selesa, berkasut sukan dan membawa air minuman bersama.

Selepas menikmati sarapan di restoran mamak dan membeli bekalan makanan tengah hari, nasi lemak di gerai tepi jalan, kami bertiga bertolak dari Subang Jaya, Selangor menuju ke Negeri Sembilan.

Perjalanan memakan masa kira-kira satu jam 30 minit, sebelum kami tiba di pintu gerbang Hutan Rekreasi Tanjung Tuan demi merealisasikan misi menawan Bukit Batu Putih.

Bayaran masuk RM1 dikenakan itu disifatkan bersesuaian dengan fasiliti disediakan di hutan berkenaan.

Trek kami bermula di jalan yang bertar dan awal pendakian, laluannya agak menegak, namun terdapat beberapa wakaf disediakan sebagai tempat persinggahan sementara di sepanjang jalan menuju ke Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado).

Kira-kira 10 hingga 15 minit perjalanan dengan kelajuan sederhana, kami tiba di papan tanda Bukit Batu Putih.

Secara peribadi, penulis menyifatkan pendakian ke Bukit Batu Putih tidak terlalu sukar kerana trek tersedia sangat jelas.

Paling menarik, setiap laluan ini memiliki ciri unik untuk merakam gambar termasuk pokok dan akar pokok yang kelihatan seperti ular.

Ini disaksikan sendiri penulis apabila ada seorang pendaki lain menjerit ketakutan gara-gara menyangka akar berselirat adalah ular.

Penambahan masa kira-kira 10 minit pendakian dari papan tanda menuju ke puncak menjadikan fasiliti seperti tali yang disediakan untuk memudahkan pendaki memanjat batuan besar hingga tiba ke puncak.

Oleh kerana populariti Bukit Batu Putih sering diperkatakan, jadi ia kerap menjadi tumpuan ramai. Sekiranya anda juga ingin menyaksikan keindahannya, perlulah bersabar menanti dan mengikut giliran.

Meskipun begitu, terdapat laluan alternatif, namun ia agak sukar dan lebih sesuai bagi pendaki yang lebih berpengalaman.

Kepenatan seakan-akan tidak terasa apabila kami berjaya tiba di puncak kerana pemandangan alam semula jadi sangat menakjubkan apatah lagi kami menyaksikan dari pandangan mata burung.

Hanya memperuntukkan masa yang singkat di puncak kerana ingin memberi peluang kepada pendaki lain, secara peribadi penulis berpandangan sikap toleransi perlu ada dalam kalangan pendaki.

Berdasarkan pengamatan penulis, terdapat segelintir pendaki ‘tamak’ apabila berada lama di puncak hingga menyebabkan ramai pendaki lain tidak berpeluang merakamkan gambar mereka di tempat berkenaan.

Tambahan pula, kawasan itu tidak terlalu luas untuk memuatkan ramai orang pada satu-satu masa.

Selepas menghilangkan penat, kami pun keluar dari kawasan hutan dan meneruskan perjalanan ke Cape Rachado.

Kami menaiki tangga dan mengelilingi luar rumah api itu sambil menyaksikan pemandangan menarik termasuk beberapa jenis belalang yang hinggap pada bunga liar.

Di angkasa pula, burung helang terbang bebas dan ia menjadi faktor utama kenapa acara ‘Raptor Watch’ berlangsung di lokasi ini setiap tahun.

Selain itu, kami juga bernasib baik apabila dapat melihat sekumpulan monyet bermain berdekatan tangga menuju rumah api. Haiwan ini kelihatan jinak dan tidak takut dengan kehadiran manusia yang mengambil gambar mereka.

Dalam perjalanan turun pula, seekor ayam jantan keluar dari hutan sambil mematuk-matuk dan mengais tanah mencari makanan tanpa menghiraukan kami.

Pada masa sama, Yoke Lian turut berkesempatan merakam gambar fauna dan flora unik yang ada di sini.

Bagi penulis, aktiviti riadah ini bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, bahkan berbaloi apabila berpeluang menyaksikan keunikan tersembunyi di negeri ini.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan menuju ke pantai untuk berkelah dan menikmati ketenangan laut.

Ketenangan itu turut diiringi dengan pengunjung lain yang asyik dengan aktiviti masing-masing seperti barbeku, mandi-manda malah menjala ikan.

Tepat waktu untuk mendaftar masuk ke penginapan, kami bergerak menuju ke resort berkenaan dan menikmati percutian lima bintang pula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 9:01 AM