ANTARA peserta program lawatan Pulau Pinang anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia
Nurul Husna Mahmud


SEBUT saja Pulau Jerejak, Pulau Pinang kebanyakan orang mengenalinya sebagai ‘Alcatraz Malaysia’ kerana ia pernah menempatkan tahanan perang selain banduan suatu ketika dulu.

Tidak hairanlah sebahagian besar yang mengetahui kewujudan

nya tidak pernah menjejakkan kaki ke destinasi itu meskipun hanya mengambil masa 10 minit dengan menaiki bot dari jeti di tanah besar.

Malah kunjungan penulis ke pulau itu tidak terkecuali ‘dihujani’ pelbagai persoalan daripada kenalan termasuk adakah pulau itu dikawal jerung sekelilingnya mahupun dihiasi pagar konkrit dilengkapi besi tajam seperti sering dilihat pada bangunan penjara lama?

Namun hal itu ditepis Pengurus Rekreasi Jerejak Island Resort yang mesra dengan disapa Haziq berkata, tiada kelibat jerung melainkan obor-obor yang sentiasa berada di perairan sekitar pulau berkenaan.


ROMBONGAN media bersama ejen pelancongan meninjau sekitar Pulau Jerejak.

“Ketika ini pengunjung resort mahupun pulau ini tidak boleh melakukan sebarang aktiviti pantai termasuk berenang kerana khuatir dengan serangan obor- obor yang banyak di sekitar perairan ini.

“Perancangan kami antara satu-satunya resort terdapat di pulau ini adalah untuk memasang jaring pada parameter tertentu dari pantai bagi membolehkan pengunjung pulau dapat akses kepada pantai dan laut.

“Itu tidak bermakna pulau ini membosankan kerana pengunjung boleh menikmati pemandangan unik selain melakukan aktiviti jelajah sekitar pulau yang cukup terkenal dengan tinggalan sejarah termasuk bangunan penjara serta hospital satu ketika dulu.

“Secara umumnya pulau berkeluasan 362 hektar ini hanya berjarak 1.5 batu nautika dari tanah besar mempunyai peranan penting seperti kawalan ketat di pintu masuk sempadan negara dalam saringan penyakit.

“Maklumlah ketika zaman Francis Light , dasar terbuka diamalkan termasuk mengalu-alukan kehadiran ramai pendatang. Lalu lokasi ini dijadikan pusat kawalan bagi pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan mendarat ke Pulau Pinang,” katanya ketika menerangkan secara ringkas kepada rombongan penulis bersama rakan media dan 30 peserta program lawatan Pulau Pinang anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), baru-baru ini.

Dalam siri lawatan itu kami dibawa menjelajah pulau dengan pintu masuknya terletak di belakang resort berkenaan. Tidak sukar kerana terdapat laluan denai luas dan papan tanda boleh dirujuk pengunjung.

Bermula dengan trek mendaki dan kemudian menurun sehingga menyusuri jalan pantai, tidak jauh dari laluan pantai berkenaan kelihatan bekas bongkah batu seakan bekas tembok pecah.

Tidak jauh dari trek itu juga, peserta perlu menempuh denai kecil ke kanan bagi singgah ke titik semak pertama iaitu lokasi penjara British ini dibina pada 1930 dengan 12 sel (bilik) yang bertingkap jeriji untuk mengurung pejuang kemerdekaan ketika itu.

Bayangkan setiap satu satu bilik di dalam lokap itu mempunyai keluasan lima meter persegi, ‘disumbatkan’ sehingga lima tahanan dan anggota pasukan Angkatan Pemuda Insaf (API) paling ramai pernah ditahan di situ.

Selain pengasas parti sosialis Melayu iaitu Ahmad Boestaman, tokoh lain yang pernah dipenjarakan di situ ialah Dr Burhanuddin Al Helmi dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Kalau mahu menyelami apa yang dilalui tahanan, pengunjung boleh melihat ‘luahan’ tertulis pada dinding lokap berkenaan.

Selain penjara, lokasi sempat dikunjungi dalam jelajah kali ini termasuk Bunker British War iaitu terowong bawah tanah yang dibina sebagai tempat untuk menyimpan senjata api, tahanan dan air untuk kapal British yang berlabuh di timur Pulau Jerejak dan Tugu Peringatan Russia.


‘GELOMBANG’ tulip yang menghiasi laluan utama.

Ia dibina Kerajaan Russia sebagai tugu peringatan bagi mengenang jasa dua kelasi negara itu yang terbunuh ketika kapal Rusia Zhemchung yang ditembak kapal perang Jerman Emden di pelabuhan Pulau Pinang pada 28 Oktober 1914.

Selain tarikan sejarah, pengunjung perlu mengambil peluang untuk bersantai dengan bayu malam sambil menikmati pemandangan malam yang unik di pulau berkenaan apabila sekitar resort dihiasi taman ‘bercahaya’ warna-warni. Perkiraan penulis dari penjelajahan sejarah ketika siang, malamnya pula beralih kepada pengembaraan fantasi.

Sesiapa yang berhasrat untuk mengunjungi Avatar Secret Garden iaitu taman lampu seperti dalam babak filem Avatar rasanya boleh menikmati pengalaman sama di sini. Segenap landskap tampil bersama mood dan tema berbeza dengan mengambil kira perincian lampu LED pelbagai warna sebagai tata hiasnya.

Antaranya deretan tulip berwarna-warni, pondok telefon berwarna merah dan taman Jepun.

Malah tidak boleh dilepaskan dalam siri lawatan ke Pulau Jerejak ialah bergambar dengan latar belakang unik seperti ‘Stair Away to Heaven’ dan ‘Buaian Lombok’ turut disediakan untuk mereka yang gemar berkongsi foto percutian unik di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:10 PM