PENGUNJUNG yang hadir melihat Wayang Kulit pada program Muzium Night Trail di Muzium Negara. FOTO Zunnur Al Shafiq
PENGUNJUNG yang hadir melihat Wayang Kulit pada program Muzium Night Trail di Muzium Negara. FOTO Zunnur Al Shafiq
Suliati Asri


TIUPAN serunai dan pukulan gendang yang dimainkan menandakan persembahan wayang kulit akan dimulakan.

Rata-rata pengunjung yang asyik meneliti barang pameran di dalam galeri muzium pada sebelah malam mula melangkah keluar untuk mengambil tempat masing-masing.

Duduk di hamparan tikar berbekalkan bungkusan nasi lemak yang disediakan secara percuma nyata memberikan pengalaman baharu.

Angin malam yang bertiup lembut diselangi bunyian geduk, canang, kesi dan alat muzik tradisional lain bagaikan mengimbau kembali zaman kegemilangan wayang kulit yang dulunya menjadi persembahan hiburan untuk masyarakat.

Itulah juga yang ingin disampaikan Jabatan Muzium Malaysia kepada pengunjung bersempena Program Denai Malam di Muzium atau ‘Museum Night Trail.’

Program Denai Malam di Muzium adalah ‘program tanda pengenalan’ Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Dimulai pada 2017, ia membabitkan tiga muzium di bawah JMM ketika itu iaitu Muzium Negara, Muzium Diraja dan Muzium Tekstil Negara.

Menerusi program ini, peserta akan mengikuti lawatan berpandu di setiap muzium dan berpeluang menerokai dunia permuziuman dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Namun, penganjuran program Denai Malam di Muzium kali ini menawarkan sedikit kelainan iaitu dengan memfokuskan Muzium Negara.

SERUNAI adun peranan tersendiri dalam persembahan wayang kulit.
SERUNAI adun peranan tersendiri dalam persembahan wayang kulit.

Ia bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada pengunjung menyertai program yang mengujakan ini memandangkan Muzium Negara bukan saja memiliki kemudahan mencukupi, tetapi juga lebih mudah diakses khususnya menerusi pengangkutan awam.

Bukan sekadar itu, penganjuran aktiviti luar seperti persembahan tradisional terutama wayang kulit dan Sewang bah bola bertujuan memberikan suasana berbeza dan mengujakan kepada pengunjung.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat JMM, Roslelawati Abdullah berkata, sebelum ini pihaknya memang membawa pengunjung ke tiga muzium iaitu Muzium Negara, Muzium Diraja dan Muzium Tekstil Negara.

Namun, tahun ini JMM tampilkan kelainan dengan memfokuskan kepada Muzium Negara saja sekali gus memudahkan pengunjung datang ke sini.

“Kali ini program ini diadakan di Muzium Negara supaya pengunjung lebih mudah untuk datang ke sini dengan kepelbagaian pengangkutan awam dan kemudahan yang disediakan di sini.

“Bagaimanapun, konsep program masih dikekalkan iaitu memberi peluang kepada orang ramai melawat ke galeri muzium pada waktu malam,” katanya.

Program ini juga bertujuan menarik menarik lebih ramai pelawat yang tidak berkesempatan mengunjungi muzium ketika siang supaya datang dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di muzium secara lebih santai pada waktu malam.

PENGUNJUNG berpeluang mencuba pelbagai aktiviti kampung di dalam galeri muzium pada waktu malam.
PENGUNJUNG berpeluang mencuba pelbagai aktiviti kampung di dalam galeri muzium pada waktu malam.

Malah, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seni dan budaya menarik yang disediakan.

Selain lawatan berpandu di dalam Galeri Muzium, JMM juga menyediakan aktiviti luar yang menarik di sebelah malam.

Lebih mengujakan, saat menonton persembahan pengunjung juga disajikan nasi lemak bungkus daun pisang yang sekali gus memberikan suasana santai.

Sementara itu, Karen Too, 36, dari Setia Alam, Selangor berkata, mengunjungi Muzium Negara pada sebelah malam sedikit sunyi, tetapi lebih tenang dan mudah kerana tidak ramai orang.

“Saya benar-benar teruja menonton persembahan wayang kulit ini untuk kali pertama walaupun tidak begitu memahami dialek yang digunakan.

“Anak juga merasai pengalaman menyaksikan wayang kulit di samping melakukan pelbagai aktiviti dan merasai sendiri suasana malam di muzium,” katanya.

Bagi Eirsyad Qawiem, 23 pula, program Denai Malam di Muzium cukup mengujakan kerana ia unik.

“Ia adalah pengalaman baharu dan menarik khususnya buat masyarakat kota yang inginkan aktiviti berbeza untuk mengisi malam minggu mereka,” katanya yang teruja dengan persembahan wayang kulit yang ditontonnya.

MELIHAT khazanah bersejarah pada waktu malam nyata memberi pengalaman yang mengujakan.
MELIHAT khazanah bersejarah pada waktu malam nyata memberi pengalaman yang mengujakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 10:41 AM