PENGUNJUNG boleh ‘bermanja’ dengan ikan kelah di Santuari Ikan Sungai Chiling.
Helmy Abd Rahman


BUKAN hanya di Selangor, ada yang menganggap Air Terjun Sungai Chilling sebagai paling cantik di Malaysia.

Terletak sekitar 70 kilometer (km) dari ibu kota dan 13 km dari Kuala Kubu Bharu, Air Terjun Sungai Chiling bukan setakat menjadi pilihan pengunjung tempatan, malah pelancong asing.

Kepada mereka yang pertama kali ingin merasai pengalaman berkelah atau menyeberang sungai, Sungai Chilling terletak di laluan perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser.

Anda juga dapat melihat Empangan Sungai Selangor dan penempatan Orang Asli di Kampung Pertak sepanjang perjalanan ke sana.

Sungai Chiling diuruskan Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai jam 8 pagi hingga 6 petang.

Bagaimanapun, pada masa ini Sungai Chiling ditutup sementara berikutan musim tengkujuh dan akan dibuka semula pada pertengahan Januari 2020.

Anda boleh memilih untuk berkelah berhampiran pejabat pengurusan Jabatan Perikanan atau ke sungai utama. Sekiranya ingin ke sungai utama, anda perlu mendaftar di balai pengawal dan membuat bayaran sebelum meneruskan perjalanan sekitar tiga kilometer untuk tiba ke air terjun.

Malah anda juga dikehendaki mencatatkan maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan dan nombor telefon. Ia bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil langkah perlu jika ada kes kecemasan.

Untuk yang suka bersukan, anda boleh melakukan aktiviti ‘trekking’, tetapi selepas jam 3 petang, anda tidak dibenarkan mendaki sehingga ke air terjun atas sebab keselamatan, lagipun, perlu mengambil masa sejam untuk pergi ke kawasan itu dan sejam lagi bagi perjalanan pulang.

KEUNIKAN air terjunnya membuatkan pengunjung tidak melepaskan peluang merakam kenangan.

Kepada mereka yang ingin berkhemah, tidak perlu membuat tempahan awal. Hanya perlu ke reruai (booth) pendaftaran dan bayar deposit RM10 seorang. Difahamkan bayaran deposit ini sebagai syarat supaya pengunjung menjaga dan mengekalkan kebersihan.

Tidak lengkap kunjungan ke Sungai Chiling seandainya tidak singgah ke Santuari Ikan Sungai Chiling. Tempat ini diwujudkan Jabatan Perikanan Selangor pada awal 2005 dan diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada 2007.

Tujuan utama santuari ini diwujudkan adalah untuk menyediakan kawasan perlindungan kepada spesies ikan kelah dan tengas yang semakin berkurangan pada masa ini.

Sungai Chiling menjadi habitat dan tempat pembiakan semula jadi kepada spesies ikan ini melalui limpahan pelbagai saiz ikan kelah serta tengas di sepanjang sungai ini sehingga ke kawasan air terjun utama.

Kewujudan santuari ini juga satu usaha sama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, tetapi sebarang aktiviti penangkapan ikan tidak dibenarkan sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 10:16 AM