LAMIN Dana Boutique Lodge.
LAMIN Dana Boutique Lodge.

SIBU, bandar ketiga terbesar di Sarawak subur menghijau di pinggiran Sungai Rajang dan Sungai Igan serta pekan Mukah terletak di persisiran Laut China Selatan.

Kunjungan ke dua destinasi di Bumi Kenyalang ini menarik kerana ia bukan sahaja memiliki sejarah yang unik malah kaya dengan alam semula jadi, budaya dan berbilang bangsa termasuk kaum peribumi.

Perjalanan dari Kuching ke Sibu dengan menaiki kapal terbang memakan masa kira-kira setengah jam manakala bagi pelancong dari Semenanjung Malaysia, mereka boleh ‘terbang terus’ ke Sibu dari Kuala Lumpur.

Untuk meneroka keunikan Sibu, pastikan membawa bersama koleksi risalah kembara yang dicetak oleh agensi pelancongan termasuk Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), selain daripada menggunakan aplikasi di telefon pintar.

KUIL Tua Pek Kong.
KUIL Tua Pek Kong.

Antara lokasi menarik yang boleh dilawati ialah Muzium Budaya Warisan Sibu di Jalan Central yang mempamerkan banyak artifak serta warisan masyarakat etnik tempatan selain susur galur sejarah Sibu.

Seterusnya, pengunjung boleh ke Lau King Howe Memorial Museum iaitu satu-satunya muzium hospital di Malaysia dan ia didirikan di atas permukaan air.

Bagi pelancong beragama Islam, wajib singgah ke Masjid An-Nur yang tersergam indah di Jalan Kampung Nyabor untuk menunaikan solat.

Tidak jauh dari situ, bangunan baru Kompleks Islam Sarawak Sibu yang tersergam megah juga dapat dilihat.

Kunjungi juga Wisma Sanyan yang menjadi bangunan tertinggi di Sarawak, sekali gus menjadi lambang kemodenan Sibu.

MI Udang Galah.
MI Udang Galah.

Pada lewat petang, ambil angin dengan bersantai di persisiran Rajang Esplanade berhampiran Terminal Bot Ekspres. Di situ, tersergam patung angsa gergasi, sesuai dengan nama Sibu yang turut digelar sebagai Swan City.

Pelancong juga boleh menghirup udara nyaman di Taman Bukit Aup Jubilee sambil menikmati landskap hebat termasuk menara setinggi 59 meter, pondok berkelah, titi gantung dan laluan berjoging.

Tiba waktu menjamu selera, jangan lepaskan peluang untuk mencuba juadah wajib melambangkan daerah itu iaitu Mi Kampua, Mi Sua dan kompia berinti daging yang boleh dibeli di pelbagai restoran, kafe serta medan selera di sekitar bandar Sibu.

SWAN City Statue.
SWAN City Statue.

Kemudian, singgah sebentar ke Kuil Tua Pek Kong yang begitu gah dengan pagodanya. Uniknya di depan kuil ini, ada sebatang pokok besar yang usianya mencecah 100 tahun.

Rakam swafoto di Wong Nai Siong Memorial Garden dan Sungai Merah Heritage Walk sebagai tanda ingatan.

Selain itu, tidak lengkap ke Sibu tanpa singgah di Pasar Sentral Sibu. Pasar ini mula dibuka pada 1996 dan mencipta sejarah tersendiri sebagai pasar basah dan kering terbesar di Malaysia.

Pasar berbumbung ini menawarkan 1001 jenis barangan makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, daging dan produk kegunaan harian di samping cenderahati.

Di sini juga, pengunjung dapat melihat wanita Iban menjual pelbagai produk hutan dan ayam serta itik hidup yang dibalut kemas dengan kertas.

Tidak ketinggalan, kunjungi Pusat Perusahaan Pasu Sarawak yang turut membentuk identiti Sibu.

Terletak 40 minit dari Sibu, pengunjung boleh melawat Rumah Panjang Bawang Assan yang dibina sejak kurun ke 18 dan melihat pelbagai aktiviti penduduk seperti menanam padi serta menangkap ikan.

Puas di Sibu, sambung percutian ke pekan Mukah pula dengan menaiki bot ekspres yang mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam dan rasai keenakan mi udang galah di pekan Oya dan Dalat dengan harga yang sangat berpatutan.

Tiba di Kampung Telian, seeloknya menginap di Lamin Dana Cultural Boutique Lodge untuk merasai pengalaman menarik tinggal di rumah tradisional kaum Melanau yang dipanggil Rumah Tinggi.

ULAT Sago.
ULAT Sago.

Sudah sampai di Mukah, wajib ke Sungai Misan dengan sampan untuk melawat kebun sagu dan melihat bagaimana pohon sagu dikeluarkan dari hutan dan seterusnya ditolak ke dalam sungai, lalu di bawa ke tempat pemprosesan.

Sagu adalah makanan ruji di kawasan itu dan selepas diproses ia menjadi tepung, bebola serta banyak lagi yang menjadi sumber pendapatan bagi penduduk.

Dari Sungai Misan, selusuri pula Batang Mukah hingga sampai ke Pasar Ikan Mukah untuk membeli beberapa makanan kampung seperti pucuk paku, tepung sagu (untuk dibuat linut), umai (kerabu ikan mentah segar) dan ulat sagu.

Disebabkan kedudukannya di muara sungai, Mukah juga kaya dengan hutan bakau seperti Taman Tanjung Pedada berhampiran jeti Mukah.

Jangan lupa bergambar di Jambatan Batang Mukah berukuran 243 meter yang siap dibina pada 2006 merentasi Sungai Gigis.

Tidak jauh dari situ, lawati juga Boulevard Setia Raja iaitu taman hijau dengan air pancut yang tersedia tempat untuk membeli-belah.

Sebelum pulang semula ke Sibu, singgah di Kilang Memproses Kuih Asli Kampung Judan yang terkenal dengan pembuatan Kuih Sepit dan Kuih Gunting untuk rasai keenakannya selain boleh dibeli sebagai ole-ole.

Banyak lagi yang boleh kita terokai di Bumi Kenyalang. Jadi percutian hujung tahun inilah waktu terbaik anda mengembara ke Sarawak dan merasai kehebatannya!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 2:22 PM
Digital NSTP Subscribe