PEMANDANGAN indah di puncak Gunung Tapis. FOTO Zulkefli Osman
PEMANDANGAN indah di puncak Gunung Tapis. FOTO Zulkefli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KEBIASAANNYA, pendaki dari Malaysia yang ingin menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest akan memilih beberapa gunung di negara ini sebagai siri latihan persediaan bagi memantapkan fizikal dan mental mereka.

Gunung Tapis yang terletak di daerah Kuantan, Pahang umpamanya antara lokasi yang menjadi pilihan kepada bakal pendaki Gunung Everest sebagai persediaan latihan mereka.

Baru-baru ini, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kumpulan 65 pendaki yang terdiri daripada Media Pahang, pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, wakil Majlis Perbandaran Kuantan (MPK),Tourism Pahang serta jurupandu arah berpeluang melakukan ekspedisi menawan puncak Gunung Tapis setinggi 1,512 meter.

Cabaran selama dua hari satu malam itu turut menjadi medan buat Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta pasukan Multi Skill Team (MUST) JBPM Pahang untuk menjalani latihan menyelamat mangsa yang cedera atau sesat ketika mendaki dan kecergasan fizikal.

Penulis turut berpeluang mengikuti ekspedisi yang bermula dari pekan Sungai Lembing.

Rombongan pendaki dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum menempuh perjalanan selama dua jam ke kaki Gunung Tapis yang dijadikan sebagai gunung angkat kepada kumpulan pendaki berkenaan.

PENDAKI berehat seketika di puncak gunung sebelum bergerak turun. FOTO Zulkefli Osman
PENDAKI berehat seketika di puncak gunung sebelum bergerak turun. FOTO Zulkefli Osman

Perjalanan itu tidak semudah yang disangka kerana kami perlu menempuh laluan tanah merah berlumpur selain merentasi beberapa anak sungai.

Ada ketikanya, kenderaan kami berselisih dengan lori yang membawa muatan balak dan ia sememangnya mencemaskan terutama ketika berada di tebing bukit.

Ekspedisi bermula sekitar jam 11 pagi dengan cabaran pertama menelusuri laluan di lereng air terjun dan sungai.

Semua pendaki sebelum itu diingatkan Ketua Seksyen Pasukan Khas STORM JBPM Pahang, Mohd Haziq Hazmi merangkap ketua ekspedisi supaya berhati-hati melangkah di permukaan licin.

Seingat penulis, lima kali pendaki perlu merentasi sungai untuk sampai ke Kem Pinang yang menjadi lokasi kami bermalam.

Sepanjang perjalanan ke kem itu, beberapa pendaki turut tergelincir dan terjatuh ketika melalui permukaan batu sungai yang berlumut.

Berbekalkan semangat membara, semua pendaki berjaya tiba di kem berkenaan kira-kira jam 5 petang dan mendirikan khemah masing-masing untuk bermalam.

Kami kemudian dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk tugasan menyediakan makanan dan minuman masing-masing sebelum memulakan cabaran menakluk puncak.

Misi menakluk puncak Gunung Tapis bermula jam 2.30 pagi dan sebelum bertolak, kami sekali lagi diberi taklimat mengenai beberapa perkara berkaitan soal keselamatan dan risiko yang bakal dihadapi sepanjang perjalanan dalam keadaan gelap selain perlu merentasi sungai.

Mohd Haziq bersama jurupandu arah ekspedisi turut meletakkan beberapa anggota JBPM di bahagian belakang bagi menjaga pendaki yang tertinggal dari kumpulan utama.

Apapun, perjalanan ke puncak yang mengambil masa hampir lima jam itu tidak semudah disangka.

PENDAKIAN mencanak dan menguji ketahanan fizikal dan mental pendaki. FOTO Zulkefli Osman
PENDAKIAN mencanak dan menguji ketahanan fizikal dan mental pendaki. FOTO Zulkefli Osman

Ada pendaki terpaksa berpatah balik kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Laluan pendakian mencanak 'tanpa belas kasihan' selama tiga jam menjadi isyarat bahawa tidak semua pendaki mampu sampai ke puncak.

Selepas berdepan pelbagai rintangan, akhirnya kami berjaya tiba di puncak kira-kira jam 7 pagi dan disambut dengan cuaca yang berkabus.

Segala penat nyata berbayar dengan pemandangan menarik yang sukar untuk dibayangkan.

Gunung Tapis bersempadan dengan daerah Jerantut, ia juga boleh didaki dari laluan berbeza iaitu dari Bukit Taubat yang mengambil masa keseluruhan selama tiga hari.

Selepas berehat dan merakam gambar kenangan, kami mula berkemas dan bersiap untuk turun ke Kem Pinang.

Sepanjang perjalanan turun, beberapa tanda keselamatan turut dipasang pada pokok bagi memudahkan pendaki lain pada masa akan datang untuk sampai ke puncak.

Semua pendaki selamat tiba di pekan Sungai Lembing pada jam 6 petang dan kami akhirnya bertolak ke destinaai masing-masing dengan seribu kenangan yang sukar dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 6:30 AM