X
PENDAKIAN di Gunung Kinabalu pada 2019.
PENDAKIAN di Gunung Kinabalu pada 2019.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah

Bercerita mengenai pendakian sebagai salah satu aktiviti dekat dengan alam semula jadi, penulis tertarik dengan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Rawang Hikers Mountain Club.

Kebetulan salah seorang kakak ipar penulis bergiat aktif dalam pendakian dan menjadi salah seorang ahli kumpulan berkenaan.

Rawang Hikers mula ditubuhkan pada 27 November 2017. Ia antara kelab pendakian yang sangat aktif di sekitar Bukit Sentosa, Rawang, Selangor .

Menurut ketua kumpulannya, Ahmad Zahid Hassan atau lebih dikenali Putra Mas, penubuhan

Rawang Hikers adalah hasil cetusan idea dan perbincangan secara santai dengan beberapa rakan di Bukit Dua Ringgit.

"Tiada pendaftaran wajib tetapi berdasarkan keahlian terkini dianggarkan sudah mencecah 230 orang dari sekitar daerah di Selangor.

PENDAKIAN di Gunung Nuang pada 2019.
PENDAKIAN di Gunung Nuang pada 2019.

SAUJANA indah di Gunung Pulut, Gerik, Perak.
SAUJANA indah di Gunung Pulut, Gerik, Perak.

"Keahlian terbuka tetapi bagi mereka yang menyertai aktiviti pendakian dianjurkan Rawang Hikers sahaja.

"Matlamat dan objektif utama Rawang Hikers ditubuhkan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli, berkongsi ilmu, tip, nasihat, pendapat dan pengalaman pendakian dalam kalangan ahli serta menjadikan aktiviti pendakian sebagai gaya hidup sihat," katanya.

Kata Putra Mas, buat pertama kalinya, pendakian yang mereka anjurkan di Bukit Kutu, Hulu Selangor terletak dalam Kuala Kubu berhampiran dengan Kampung Pertak.

"Sebelum sesuatu pendakian dilakukan, kebiasaannya pihak kami akan membuat persediaan awal dan rapi antaranya membabitkan urusan permit untuk kebenaran pendakian yang perlu dimohon melalui pihak jabatan perhutanan dan pihak berwajib.

"Selain mengingatkan ahli supaya menjalani latihan untuk meningkatkan stamina dan kecergasan diri. Mendaki memerlukan kemahiran, ketenangan, keyakinan, kesabaran dan koordinasi deria yang jitu.

TREK batu yang memacak antara cabaran di Gunung Pulut, Gerik, Perak.
TREK batu yang memacak antara cabaran di Gunung Pulut, Gerik, Perak.

"Sesekali ahli juga digalakkan menyertai apa jua kursus atau program yang dianjurkan mana-mana pihak untuk mempelajari ilmu pendakian," katanya.

Pada masa sama, Putra Mas turut berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

"Ketika itu kami menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Nuang menembusi Janda Baik pada 14 Oktober 2018 yang lalu di mana kami terpaksa menunggu peserta terakhir sehingga melewati jam 2 pagi. Ia sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna buat kami," katanya.

Mudah atau sukar sesuatu pendakian bergantung kepada individu itu sendiri. Namun selepas anda berjaya sampai di puncak, segala kepenatan dan penat lelah pasti lenyap. Secara tidak langsung perasaan gembira muncul melihat dan menghayati keindahan panorama alam semula jadi ciptaan Allah.

Seluas mata memandang menyaksikan sendiri awan karpet yang beralun. Perasaan juga dikongsikan bersama apabila membawa rakan kita yang pada mulanya tidak mempunyai keyakinan diri untuk sampai ke puncak.

BERBUSANA antara pengisian dalam program pendakian.
BERBUSANA antara pengisian dalam program pendakian.

PROGRAM Hiking dan Kemasyarakatan di Kampung Teluk Ketapang, Bota Kiri, Perak.
PROGRAM Hiking dan Kemasyarakatan di Kampung Teluk Ketapang, Bota Kiri, Perak.

"Setiap gunung atau bukit yang kami takluki mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Gunung Relau umpamanya adalah bekas tapak peninggalan tentera komunis suatu ketika dahulu," katanya.

Selain itu kumpulan berkenaan turut menyertai program Hiking dan Kemasyarakatan di Kampung Teluk Kepayang Bota Kiri, Perak tidak beberapa lama dulu.

"Kami ke sana atas undangan daripada penduduk kampung. Apa yang menariknya, kami memperagakan busana tradisional di tengah sawah padi. Untuk menciptakan kelainan dan keceriaan dalam sesetengah pendakian yang kami lakukan, ada kalanya kami turut memakai busana seperti pahlawan Melayu sebagai persembahan khas. Memang 'sporting' dan tak kering gusi dibuatnya. Begitu juga hidangan minuman teh tarik viral," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:30 AM