PROGRAM ini juga antara peluang menghabiskan masa bersama keluarga.
PROGRAM ini juga antara peluang menghabiskan masa bersama keluarga.
Hartini Mohd Nawi


SEMAKIN banyak anda tahu, semakin anda menyayangi mereka.

Itu antara pengalaman dalam 2D1N Zoo Night Camp dua hari satu malam dialami 100 pekerja Sime Darby Oils (SDO) bersama dengan ahli keluarga mereka, baru-baru ini sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kem malam, sebuah program yang kini dianjurkan Zoo Negara bertujuan untuk mempromosikan pemahaman berkenaan hidupan liar dan ekosistemnya melalui suasana tidak formal kepada generasi muda.

SDO antara rakan kongsi program pengangkatan haiwan di Zoo Negara mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pengalaman indah ini kepada pekerjanya.

Malah, SDO komited sepenuhnya untuk operasi lestari di rangkaian globalnya yang luas sambil memberikan kualiti produk yang unggul.

Berpegang teguh kepada visinya untuk menjadi rakan pilihan dunia dalam memungkinkan kehidupan penuh dan lestari, SDO secara aktif berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan dan bekerjasama rapat dengan rakan niaga yang juga berkomitmen untuk pembangunan lestari.

Melalui pengalaman berkhemah di kebun binatang, SDO berharap ia bukan sahaja dapat memperkayakan kehidupan pekerja mereka, tetapi juga menanamkan kesedaran alam sekitar dan penghargaan yang lebih tinggi terhadap hidupan liar.

Pengarah Urusannya, Mohd Haris Mohd Arshad mengakui pihaknya percaya bahawa mengembangkan rasa tanggungjawab untuk melindungi dan memulihara alam dan hidupan bermula dari awal usia.

IBU dan anak menyelami ekosistem hidupan di Zoo Negara.
IBU dan anak menyelami ekosistem hidupan di Zoo Negara.

"Melalui peluang yang bermanfaat ini, kami mendorong kakitangan kami untuk meluangkan masa bersama anak-anak mereka dan meneroka pengalaman pembelajaran ini bersama-sama.

"Kami berharap anak muda Malaysia yang lain juga akan mengambil kesempatan ini untuk menghargai dan mempelajari lebih lanjut mengenai hidupan liar dan pemuliharaan habitat mereka melalui kem yang bermakna ini.

"Terima kasih kepada Zoo Negara atas platform yang sangat baik untuk mendidik anak muda melalui cara yang sangat dinamik, berkesan dan tidak formal," katanya.

Sejajar dengan slogan Zoo Night Camp 'A Learning Experience Through Wildlife,' peserta turut menyertai pelbagai aktiviti pendidikan yang menarik.

Selain itu, aktiviti berjalan malam adalah salah satu tarikan utama perkhemahan kerana peserta dapat melihat karakter haiwan pada sebelah malam dipandu seorang pemimpin lawatan yang berpengalaman.

MENIKMATI pengalaman meninjau kehidupan di Zoo Negara ketika waktu malam.
MENIKMATI pengalaman meninjau kehidupan di Zoo Negara ketika waktu malam.

Sebilangan besar haiwan di Zoo Negara adalah spesies yang dapat dijumpai di hutan hujan Khatulistiwa di Malaysia.

Malah, peserta berpeluang untuk memerhatikan haiwan ini dengan bantuan monokular penglihatan malam yang disediakan ketika lawatan.

Program lain termasuk aktiviti menjelajah zoo, api unggun, pameran pelbagai haiwan serta lawatan ke pusat pemuliharaan panda pertama dan satu-satunya di Malaysia.

Bagi peserta, Mazlinda Mohamed, 2D1N Zoo Night Camp itu antara pengalaman yang menggembirakan dan bermanfaat buat dirinya dan anak-anak.

"Sebagai ibu bapa, saya rasa menjadi tanggungjawab untuk mendidik anak-anak saya mengenai pentingnya pemuliharaan hidupan liar dan kesedaran terhadap alam sekitar. Anak-anak saya adalah pencinta haiwan yang hebat dan ini antara pengalaman baharu buat mereka.

"Selain belajar berkenaan haiwan melalui aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif, kami dapat menghabiskan masa berkualiti ini bersama-sama selain mengeratkan ikatan kasih sayang," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 6:20 AM