Gambar dirakamkan Mohd Khairulnizam yang membawa kemenangan kepadanya.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Alor Setar: Kreativiti seorang pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berdiri sambil berpaut pada besi di tepi longkang tebatan banjir untuk merakam gambarnya bersama bunga Tekoma yang memenuhi permukaan air berbaloi apabila memenangi hadiah utama peraduan ‘Sakura Blossom In Kedah Smartphone Photo Contest 2017’ semalam.

Gambar bunga dirakam Mohd Khairulnizam Zahari, 29, dari Mergong, di sini, mengatasi 1,560 penyertaan lain, sekali gus menerima hadiah pakej penginapan tiga hari dua malam di Gunung Jerai Resort.

Graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Korea itu berkata, dia mengambil masa hampir sejam untuk merakam gambar berkenaan pada 19 Mac lalu dengan dibantu adik perempuannya, Putri Nurkhairunnisa, 17.

“Saya kena berhati-hati untuk elak tergelincir ke dalam longkang dan pada masa sama bimbang telefon yang dipegang adik pula terlepas.

“Saya hanya menghantar sekeping saja daripada puluhan gambar yang diambil, tak sangka menang hadiah utama,” katanya ditemui selepas menerima hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Agama dan Warisan negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Kedah/Selatan Thailand, M Shri Yoganthiran.

Mohd Khairulnizam berkata, sepanjang lima tahun menuntut di Korea Selatan sejak 2007 dia sentiasa mengambil gambar setiap kali musim bunga sakura.

“Dua tahun saya tunggu untuk merakam gambar musim bunga Tekoma di sini disebabkan sibuk bekerja. Mac lalu saya mengabadikan gambar bersama bunga ini yang memenuhi longkang bersebelahan Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar.

“Saya rakam gambar ini kira-kira jam 5 petang dan ketika itu ramai orang turut melakukan perkara sama termasuk pasangan pengantin. Jadi saya pilih lokasi yang tiada orang untuk mengambil gambar,” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui memenangi peraduan itu dua hari lalu selepas dibenarkan keluar dari hospital akibat menghidap penyakit batu karang.

“Saya memang tidak menyangka jadi pemenang pertandingan ini dalam percubaan pertama. Saya juga belum tetapkan bila dan dengan siapa akan bercuti di resort berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, kerajaan negeri bercadang memperkenalkan kategori baru termasuk profesional dan pelajar bagi meningkatkan lagi penyertaan tahun depan.

Katanya, ini tahun ketiga Tourism Malaysia Kedah menganjurkan pertandingan terbuka itu bermula 15 hingga 31 Mac lalu bertujuan mempromosikan negeri ini kepada pelancong dan bilangan peserta bertambah setiap tahun.

“Peraduan ini sempena fenomena bunga Tekoma yang menguntum mekar di negeri ini pada Mac hingga April setiap tahun. Penyertaan diterima menerusi media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter Tourism Malaysia.

“Tahun depan kita juga bercadang tawarkan hadiah lebih menarik misalnya kereta dan motosikal bagi menarik lebih banyak penyertaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 1:41 PM