air yang dirawat di sebuah loji rawatan air.
Sistem tapisan air sisa dari kediaman boleh digunakan untuk mengurangkan pencemaran.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Batu Pahat: Sedar atau tidak, kita menyumbang kepada pencemaran air walaupun sekadar mencuci pinggan yang terdapat sisa makanan minyak yang dibuang terus ke dalam singki di rumah kita setiap hari.

Sisa kotoran itu melalui longkang sebelum ke parit dan seterusnya ke sungai sebelum ke empangan dan kita pula sedia maklum empangan menjadi punca bekalan air untuk kehidupan sehari-hari.

Begitu juga dengan aktviti membasuh pakaian dan bengkel motosikal, ke mana sisa air dan minyak dibuang jika tidak proses yang sama berulang dan bayangkan perkara ini sudah lama berlaku tanpa terdetik perasaan bersalah.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Kejuruteraan Sivil dan Alam Sekitar (FKSAS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Norzila Othman berkata, punca pencemaran air boleh dikelaskan kepada dua iaitu point source dan non point source.

Beliau berkata, melalui faktor pertama, boleh ditafsirkan pencemaran itu dapat dilihat dan mempunyai sistem perparitan tersusun khususnya di kawasan perbandaran dan perindustrian.

“Aktiviti yang boleh dilihat daripada faktor pertama ini adalah kilang, kawasan perbandaran iaitu kedai makan, pasar raya mini, pusat dobi, bengkel kereta dan motosikal, kedai membaiki alatan elektronik, medan selera, ladang ternakan termasuk pusat akuakultur,” katanya.

Katanya, bagi faktor kedua, ia boleh dikelaskan sebagai tidak mempunyai sistem perparitan sistematik dan terdapat banyak di kawasan luar bandar, kebun selain ladang seperti kelapa sawit, kawasan pembinaan dan pusat cuci kenderaan serta pakaian.

“Faktor kedua boleh ditafsirkan seperti saluran sisa buangan itu akan berakhir di satu tempat seperti di rumah dan ia meresap ke dalam tanah seperti saluran sinki di kampung.

“Lazimnya air yang terhasil boleh dijelaskan kepada air sisa kelabu dan ia biasa dilihat di kawasan luar bandar.

“Situasi ini menyebabkan air larian permukaan ke dalam punca air seperti sungai dan sumber air berdekatan kawasan berkenaan,” katanya.

Norzila berkata, aktiviti daripada kedua punca pencemaran air itu akan memberi kesan ketara yang dikelaskan kepada perubahan fizikal, warna dan kimia pada sumber air.

Beliau berkata, lazimya setiap kali pencemaran berlaku terhadap sumber air, ia akan mengalami perubahan fizikal termasuk warna yang akan menjadi kelabu kehitaman seterusnya terhadap baunya yang menjadi busuk dan tidak menyenangkan.

“Perubahan fizikal termasuk warna dan bau ini terhadap sumber air seperti di sungai ini seiring dengan kesan terhadap sumber air di kawasan berkenaan.

“Paling mudah, jika ingin mengetahu sesuatu sumber air di kawasan itu tercemar perhatikan jika terdapat banyak tumbuhan rumpai air berwarna hijau itu bermaksud sumber air di situ sudah terjejas.

“Ini bermaksud, hidupan tidak boleh hidup di sumber air berkenaan kerana pertama terdapat sedimen yang banyak di kawasan berkenaan menyebabkan menjadi cetek dan keduanya, cahaya matahari tidak dapat menembusi kerana dihalang dengan hidupan alga,” katanya.

Beliau berkata, jika terdapat hidupan sekalipun di kawasan berkenaan seperti ikan, hanya yang mempunyai daya lasak seperti keli dapat hidup di kawasan itu.

“Bayangkan jika kita mengail ikan keli dan kita memasaknya, tidakkah terfikir apa yang ikan keli berkenaan makan di kawasan itu,” katanya kesan lebih besar apabila sungai berkenaan cetek, akan menjadi punca kepada banjir kilat.

Norzila berkata, sumber air yang tercemar itu tidak mungkin digunakan penduduk semula dan keadaan ini menyebabkan punca merawat air meningkat oleh pihak pengendali loji rawatan air.

“Jika berlaku banjir kilat, seringkali bukan pihak berkuasa disalahkan? Tetapi adakah terfikir kenapa banjir kilat itu berlaku? Ia akibat perbuatan dari tangan manusia juga.

“Sedimen yang terlalu banyak di sumber air seperti sungai dan parit menyebabkan ia cetek dan tersumbat dan menjadi salah satu punca kejadian banjir kilat, dan kesudahannya pihak berkuasa juga terpaksa mengorek parit dan sungai berkenaan untuk menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek,” katanya.

keterangan gambar

1. mugshot-Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Kejuruteraan Sivil dan Alam Sekitar (FKSAS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Norzila Othman.

2. Sungai yang dipenuhi tumbuhan alga menandakan pencemaran sudah berlaku dan tiada hidupan air boleh hidup di kawasan berkenaan.

3. Parit menjadi tempat pembuangan air sisa oleh aktiviti domestik seperti kedai makan menyebabkannya tercemar.

4. pusat dobi pakaian menjadi salah satu punca pencemaran air.

5. bengkel motosikal dan kenderaan menjadi salah satu punca pencemaran air.

6. bekalan air berpunca dari sungai.

7. air yang dirawat di salah satu loji rawatan air.

8. Air cucian sisa makanan yang dibuang ke dalam perparitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 6:06 AM