AMIRUL (kanan) menyerahkan plak penghargaan kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Muhibbah Selamat selepas Program Latihan Pengurusan Sisa Klinikal Untuk Klinik Kerajaan dan Swasta, semalam.
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Sekurang-kurang 12,000 premis yang mengguna dan mengendalikan bahan klinikal termasuk klinik swasta, makmal ujian darah, klinik haiwan serta pusat bekam didapati tidak berdaftar dengan Kualiti Alam Sdn Bhd (KA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menguruskan bahan buangan berjadual.

Ketua Pemasaran Projek, Bahan Buangan Klinikal dan Perkhidmatan Pembersihan Industri KA, Amirul Bahri Malek berkata, ia termasuk 4,000 premis yang berada dalam senarai syarikatnya selaku pengendali pusat pengurusan sisa buangan terjadual terbesar negara ini.

Menurutnya, hanya 1,400 pusat perubatan swasta sudah berdaftar dengan pihaknya dan JAS bagi membolehkan sisa buangan klinikal terbabit diuruskan KA.

Katanya, ketika kini pihaknya sudah melupuskan secara selamat sebanyak 9,000 tan sisa buangan berjadual daripada pihak yang mendaftar itu.

“Bagi pihak hospital dan klinik kesihatan kerajaan tiada masalah kerana mereka memang melakukan pengasingan sisa berjadual mengikut prosedur.

“Yang menjadi masalah ketika ini adalah bagaimana klinik swasta yang tidak berdaftar dengan pihak kami melupuskan siasa buangan klinikal mereka.

“Kami bimbang sekiranya sisa buang berjadual itu dibuang bersama sampah domestik, ia boleh memudaratkan kesihatan orang lain dan juga boleh mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Amirul Bahri berkata demikian ketika sidang media Program Latihan Pengurusan Sisa Klinikal Untuk Klinik Kerajaan dan Swasta, di sini, semalam.

KA adalah anak syarikat Cenviro Sdn Bhd yang menjadi milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), selaku peneraju dalam penyelesaian masalah alam sekitar bersepadu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:18 AM