ABDUL Razak (kiri) bersama Zulkifli (dua dari kiri) Jeffrey (dua dari kanan) serta Naib Presiden dan Pengurus Besar GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK), Ramil Burden pada kempen Bawa Pulang Barakah Elak Mudarat di Petaling Jaya baru-baru ini.
KESESAKAN jutaan jemaah haji dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko jangkitan.
JEMAAH haji mempunyai dua pilihan vaksin iaitu meningokokus polisakarida dan vaksin meningokokus konjugat (MCV).
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my

Tahun ini seramai 30,200 rakyat Malaysia dijadual menunaikan ibadah haji di Makkah. Kesesakan jutaan jemaah haji dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko jangkitan yang membawa maut seperti wabak meningokokus invasif (IMD).

Walaupun vaksinasi sebahagian daripada syarat untuk menunaikan haji, ramai masih tidak sedar bahaya mengambil mudah perkara ini. Meningococcal meningitis ialah satu penyakit berbahaya berpunca daripada jangkitan bakteria ‘neisseria meningitidis’ yang boleh mengancam nyawa serta merebak dengan cepat, khususnya di tempat sesak seperti Makkah.

Bekas Ketua Pasukan Perubatan Tabung Haji dan Perunding Kanan Respirotari, Prof Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata kira-kira 135,000 kematian di seluruh dunia ada kaitan dengan penyakit meningokokus invasif setiap tahun.

“Di negara mempunyai masalah penyakit endemik yang tinggi, ia boleh menjadi beban yang serius kepada sistem kesihatan awam. Wabak IMD disebabkan bakteria neisseria meningitidis.

“Ia boleh mengakibatkan meningitis iaitu satu bentuk jangkitan serius ke atas meninges (membran yang menyeliputi otak dan saraf tunjang). Jika dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan otak yang teruk serta kematian bagi 50 peratus kes.

“Bakteria ini juga mengakibatkan masalah sepsis (jangkitan darah), pneumonia (radang paru-paru) serta jangkitan lain,” katanya ketika ditemui pada kempen ‘Bawa Pulang Barakah Elak Mudarat’ di Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau menegaskan vaksinasi adalah cara berkesan mencegah penyakit meningokokus. Jemaah haji mempunyai dua pilihan vaksin iaitu meningokokus polisakarida dan vaksin meningokokus konjugat (MCV).

“Vaksin meningokokus polisakarida dihasilkan daripada polisakarida (molekul-molekul gula) daripada permukaan bakteria meningokokus. Tindak balas antiobodi ke atas vaksin polisakarida bergantung kepada usia.

“Walaupun vaksin ini dilaporkan sangat berkesan ke atas golongan dewasa, namun ia memberi perlindungan yang amat sedikit atau jangka pendek untuk bayi serta kanak-kanak prasekolah.

“Bagi vaksin meningokokus konjugat pula, polisakarida digabungkan secara kimia (berkonjugat) dengan protein yang mengubah aspek imunologi dan meningkatkan keupayaan bagi memangkin tindak balas imun dalam badan. Vaksin konjugat efektif untuk orang dewasa serta berkesan melindungi kanak-kanak kerana ia menawarkan tindak balas imun yang lebih tinggi dan mapan,” katanya.

Kelebihan unik vaksin konjugat ialah mampu mengurangkan pembawaan bakteria dalam hidung serta tekak sekali gus melindungi jemaah haji serta mereka yang tersayang.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life (IFL) Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata IMD boleh berjangkit daripada individu kepada individu lain menerusi titisan cecair daripada saluran pernafasan yang keluar ketika batuk, selesema atau bersin terutama ketika berada dalam jarak dekat.

“IMD mengakibatkan kadar kematian sekitar 10 hingga 15 peratus dalam kalangan mereka yang terkena jangkitan. Dalam kalangan pesakit pula, ramai mengalami kecacatan kekal seperti hilang anggota badan, pekak, masalah pada sistem saraf atau kerosakan otak.

“Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah mendapatkan vaksin untuk mencegah IMD. Namun, lebih penting untuk kita memahami mengapa langkah ini diambil,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia Dr Jeffrey Abu Hassan berkata, kesihatan tubuh badan serta kemampuan fizikal amat penting bagi menjalankan ibadah haji sebaik mungkin.

“Sakit akibat pelbagai penyakit terutama jangkitan meningokokus boleh menghalang jemaah menyempurnakan haji. Ia juga meningkatkan kemungkinan menjangkiti ahli keluarga apabila mereka pulang.

“Jemaah haji seharusnya berazam pulang ke rumah dalam keadaan kuat dari segi spiritual dan fizikal serta ibadah haji diterima Allah. Mereka perlu mengelak daripada dijangkiti atau menjadi pembawa bakteria meningokokus dcengan mendapatkan vaksin meningokokus,” katanya.

INFO

Simptom meningokokus

Penyakit meningokokus boleh membunuh dalam tempoh 24 jam selepas simptom awal dikesan

Gejala meningitis meningokokus

• Letih lesu

• Demam panas

• Pening kepala dan muntah-muntah

• Mengantuk dan kekeliruan

• Kejang pada leher atau kaki

• Tidak sedarkan diri

• Sensitif pada cahaya

• Meracau

Gejala septisema meningokokus

• Demam

• Sentiasa letih

• Loya atau muntah

• Sakit badan

• Cirit-birit

• Ruam berwarna ungu (tidak hilang jika ditekan)

* • Disebabkan penyebaran meningokokus pada 1988, 1992 serta 2000, kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah mengambil vaksin untuk menentang meningitis meningokokus yang juga endemik di Tanah Suci

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 12:44 AM