Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Sering berulang-alik ke tandas setiap masa bukan perkara remeh atau sekadar tersilap makan. Ramai menganggap ia sebagai keracunan makanan, silap makan, angin, sembelit dan sebagainya. Tahukah anda, jika keadaan berterusan dan semakin buruk, anda mungkin didiagnosis penyakit radang usus kronik atau UC (ulcerative colitis) dan penyakit Crohn (Crohn’s disease, CD).

UC dan CD adalah penyakit radang usus kronik dan menjejaskan keupayaan yang sering didiagnosis pada usia dewasa muda. Penyakit UC dan CD menyebabkan keradangan pada pelapik saluran penghadaman dan cirinya yang sukar diramal menimbulkan cabaran kepada penghidapnya.

Ini kerana aktiviti harian pesakit terjejas akibat kekerapan ke tandas dan penyakit yang menyerang secara tiba-tiba. Penyakit UC dan CD tiada penawar dan pesakit perlu hidup dengannya hampir sepanjang hayat mereka.

Prof Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Ida Normiha Hilmi berkata, memandangkan UC dan CD bukan penyakit umum di Malaysia, ia kekal sebagai cabaran untuk mendiagnosis dan merawat penyakit ini kerana tahap kesedaran dan pengetahuan masih rendah dalam kalangan orang ramai.

“Walaupun ada beberapa pilihan rawatan, ramai pesakit masih tidak dapat meredakan atau mengekalkan tahap penyakit mereka. Namun demikian, kajian sains terhadap penyakit radang usus yang rumit ini membawa kepada penghasilan rawatan baru yang penting dalam usaha menangani keperluan yang belum dipenuhi di samping cabaran yang sering dihadapi oleh komuniti penghidap penyakit ini.

“Rawatan bagi penyakit ini sangat penting kerana ia tidak sahaja boleh melegakan simptom tetapi mampu meredakan penyakit dalam jangka panjang selain mengurangkan risiko komplikasi,” katanya pada pelancaran Entyvio (vedolizumab) rawatan biologik baru untuk merawat penyakit UC dan CD di ibu negara baru-baru ini.

Meskipun kadar kejadian dan penularan penyakit UC dan CD di Malaysia adalah rendah, jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat dengan kenaikan hampir 100 peratus daripada 0.07 kepada 0.69 bagi setiap 100,000 tahun populasi dalam tempoh dua dekad.

Ini sejajar dengan kadar kejadian purata penyakit UC dan CD sebanyak 1.37 bagi setiap 100,000 orang di negara Asia. Kadar kejadian penyakit ini juga dilaporkan berbeza antara kaum dengan kadar kejadian paling tinggi iaitu 1.91 dalam kalangan kaum India, berbanding Cina dan Melayu yang masing-masing dilaporkan pada tahap 0.63 dan 0.35 bagi setiap 100,000 orang.

Sementara itu, Pengarah Endoskopi Pakar Gastroenterologi Kanan Hospital Concord, Sydney Australia, Prof Rupert Wing-Loong Leong menjelaskan Entyvio (vedolizumab) bertindak dengan menyekat protein pada permukaan sel darah putih yang menyebabkan keradangan dalam UC dan CD, sekali gus mengurangkan keradangan dalam lapisan pelapik usus besar (kolon) dan saluran gastrousus (gastrointestinal tract, GI).

“Penyediaaan Entyvio (vedolizumab) sebagai rawatan yang menyasarkan usus amat penting untuk pesakit UC dan CD di Malaysia,” katanya.

Lebih empat juta orang di seluruh dunia menghidap UC atau CD dan seramai 6.67 daripada setiap 100,000 orang menghidap UC dan 2.17 daripada setiap 100,000 orang menghidap CD di negara ini.

Keberkesanan dan keselamatan Entyvio (vedolizumab) dalam golongan dewasa yang menghidap penyakit UC dan CD yang aktif peringkat sederhana hingga teruk dinilai dalam tiga kajian rambang, dwibuta, kawalan plasebo: GEMINI I (UC), GEMINI II dan GEMINI III (kedua-duanya CD)1.

Hasil kajian GEMINI I mendapati bahawa sebahagian besar pesakit dalam kumpulan yang dirawat dengan Entyvio (vedolizumab) mencapai keredaan klinikal pada minggu ke-521 berbanding pesakit yang mengambil plasebo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 10:22 PM