DR Thaneemalai (kiri) dan Dr Premitha bersama paparan muka depan laman sesawang mengenai menopaus yang baru dilancarkan.
OGSM lancar laman sesawang khas beri pemahaman mendalam, maklumat terkini, pilihan rawatan dan terapi menopaus.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Menopaus menandakan berakhirnya kitaran haid bulanan dan tempoh reproduktif seorang wanita. Ia juga tanda bahawa folikel dalam ovari berhenti menghasilkan dua hormon utama wanita iaitu estrogen dan progesteron. Seorang wanita dikatakan mengalami menopaus apabila sudah tidak datang haid selama 12 bulan berturut-turut.

Sebelum fasa menopaus bermula, tubuh akan mengalami peralihan dan dalam tempoh ini seorang wanita mungkin mengalami gejala vasomotor menopaus bersama perubahan dalam kitaran haid. Usia yang tepat bila peralihan ini bermula berbeza bagi setiap wanita.

Segelintir wanita mula mengalami perubahan dalam usia pertengahan 30-an, manakala segelintir lagi sebenarnya bermula pada usia 40-an. Purata usia menopaus di seluruh dunia adalah 51 tahun (50 hingga 52 tahun), manakala di Malaysia usia purata menopaus adalah sekitar 50.7 tahun.

Bagi menopaus pramatang, ia adalah tempoh seseorang mengalami menopaus sebelum usia 40 tahun. Ini mungkin berlaku secara semula jadi atau pembedahan apabila kedua-dua ovari dibuang atau diinduksi iaitu kemoterapi atau radioterapi untuk ketumbuhan. Bagi menopaus lewat pula ketika menstruasi melepasi usia 55 tahun.

Wanita yang menopaus lewat mungkin meningkatkan risiko masalah payudara dan rahim. Malangnya, banyak tanggapan salah mengenai menopaus yang sering membuatkan kaum wanita gerun memikirkannya.

Malah, menganggap menopaus adalah satu tempoh azab dan seksa sehinggakan mereka sentiasa membayangkan bahawa sebaik sahaja mengalami menopaus mereka akan menjadi tua dan uzur.

Bagi memperkasakan wanita di Malaysia yang bakal menempuh episod perjalanan menopaus mereka, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) melancarkan laman sesawang khas mengenai menopaus iaitu Menopause Facts di ibu negara, baru-baru ini.

Laman sesawang yang pertama seumpamanya di negara ini dan diperkenalkan sempena Hari Menopaus Sedunia boleh dilayari menerusi alamat www.menopausefacts.org adalah laman yang komprehensif menawarkan pemahaman yang mendalam berkaitan menopaus termasuk maklumat terkini mengenai tanda awal menopaus, di samping pilihan rawatan dan terapi.

Presiden OGSM, Dr Thaneemalai Jeganathan berkata, pemilihan kandungan dalam laman sesawang berkenaan relevan kepada situasi menopaus wanita negara ini. Maklumat seperti statistik dan fakta yang dipaparkan juga dipastikan kesahihannya berdasarkan kajian klinikal di Malaysia melalui sumber yang dipercayai.

Pengguna boleh mencapai kandungan video dan audio digital (podcast) yang dibangunkan khas oleh pakar berkaitan sama ada tempatan atau luar negara. Mereka turut boleh mencuba menggunakan pelbagai perkakas dalam talian bagi menilai risiko dalam menghidapi kanser payudara, penyakit jantung, strok dan osteoporosis.

„Menjelang 2030, kira-kira 15 peratus daripada populasi Malaysia akan berusia lebih 60 tahun. Oleh itu, ini adalah masa yang paling baik untuk mengetengahkan perbincangan berkenaan isu-isu menopaus dan selepas menopaus yang menjejaskan ramai wanita.

„Dengan jangka hayat yang lebih panjang, seseorang wanita itu mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghabiskan satu pertiga hayat beliau dalam menopaus,“ katanya pada majlis pelancaran laman sesawang itu.

Menurutnya, sebagai laman sesawang pertama yang seumpamanya untuk kegunaan awam, ia mengandungi kajian dan data tempatan yang relevan serta menggariskan pilihan rawatan yang boleh didapati termasuk penggunaan terapi hormon menopaus dan pelbagai amalan alternatif.

„Sejak OGSM ditubuhkan, persatuan ini menjadi peneraju dalam memperjuangkan pembangunan kesihatan kaum wanita dan ibu di Malaysia. Kami terbabit dalam mempromosikan kesihatan wanita melalui penganjuran projek kesihatan masyarakat dan kempen kesedaran kesihatan yang menangani topik seperti kanser payudara, kanser serviks, endometriosis dan menaungi program kesihatan remaja wanita di sekolah dan kolej,“ katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Menopaus OGSM, Dr Premitha Damodaran berkata, kesedaran mengenai isu-isu kesihatan sewaktu menghampiri dan sepanjang menopaus boleh membantu seseorang wanita untuk bersedia menghadapi fasa berkenaan apabila mereka memperoleh faedah daripada strategi pencegahan dan pengawasan lebih awal daripada sepatutnya.

„Setiap wanita pasti akan melalui menopaus, pada waktu ini ovari akan berhenti mengeluarkan hormon estrogen dan progesteron sekali gus menandakan berakhirnya proses kitaran haid. Dalam menempuh menopaus, gejala vasomotor adalah perkara biasa berlaku dalam kalangan wanita Malaysia. Dianggarkan kira-kira 56 peratus akan mengalami rasa rimas (hot flushes), 49 peratus mengalami keletihan, manakala 84 peratus lagi mengalami tahap kolesterol yang tinggi.

„Gejala lain dialami termasuk berpeluh secara berlebihan, sukar tidur, rentak jantung tidak sekata, mood kerap berubah, murung, sukar beri tumpuan, memori merosot, kulit kering,“ katanya.

Dr Premitha berkata, Menopause Facts dapat mengingatkan bahawa menopaus seharusnya difahami dan diterima dengan hati yang terbuka. Berteraskan ilmu pengetahuan, Menopause Facts diwujudkan sebagai sumber dalam talian untuk wanita Malaysia mencari jawapan yang sangat mereka perlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 5:52 AM