Dr Mohamed Rafi Feisal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim
am@hmetro.com.my


Bayi adalah anugerah istimewa kepada insan bergelar ibu bapa. Namun, sedarkah kita ada sesetengah bayi yang dilahirkan menghidap penyakit dikenali sindrom bayi biru. Ia bermaksud kulit bayi akan berwarna kebiru-biruan kerana kandungan oksigen yang rendah di dalam darah atau sianosis.

Ini paling ketara di bahagian kulit nipis seperti bibir, telinga dan kuku. Sindrom itu disebabkan kecacatan jantung kongenital iaitu masalah berkaitan dengan pembentukan jantung bayi yang terjadi sebelum kelahiran.

Apa penyebab sindrom bayi biru?

Bayi yang kelihatan kebiruan adalah berpunca daripada darah yang kurang oksigen. Biasanya, darah dipam dari jantung ke paru-paru, di mana ia menerima bekalan oksigen. Darah disebarkan melalui jantung ke seluruh bahagian tubuh manusia dan dikembalikan semula ke jantung.

Apabila ada masalah jantung, paru-paru atau komponen darah, itu menyebabkan darah tidak mendapat oksigen secukupnya sekali gus menyebabkan kulit kelihatan pucat atau kebiruan. Masalah kekurangan oksigen dalam darah boleh terjadi oleh beberapa sebab seperti berikut:

Tetralogy of Fallot (TOF)

Kes yang sangat jarang berlaku namun penyebab utama sindrom bayi biru.

TOF adalah keadaan seperti mempunyai lubang di dinding yang memisahkan ventrikel kiri dan kanan jantung dan otot yang menghalang aliran darah dari ventrikel kanan ke dalam paru-paru atau arteri.

Methemoglobinemia

Keadaan ini berpunca daripada kandungan methaemoglobin yang tinggi di dalam darah. Ini pula akan menyebabkan kesukaran oksigen dilepaskan dari sel haemoglobin.

Kecacatan jantung kongenital yang lain

Masalah genetik seperti bayi yang dilahirkan dengan sindrom Down sering mengalami masalah jantung.

Tanda-tanda

Di samping warna kulit kebiruan, gejala lain sindrom bayi biru termasuk kesukaran bernafas, keletihan dan denyutan jantung atau penafasan yang cepat.

Bagaimana sindrom ini didiagnosis?

Selain mengambil sejarah perubatan yang teliti dan melakukan pemeriksaan fizikal, pakar kanak-kanak (pedia trik) bayi mungkin melakukan beberapa ujian saringan untuk mengenal pasti penyebab sindrom bayi biru seperti:

• Ujian darah

• X-ray dada untuk memeriksa paru-paru dan saiz jantung

• Elektrokardiogram (ECG) untuk melihat aktiviti elektrik jantung

• Ekokardiogram untuk melihat anatomi jantung

• Katherization jantung untuk menggambarkan arteri jantung

• Ujian tepu oksigen untuk menentukan berapa banyak oksigen dalam darah

Bagaimana ia dirawat?

Rawatan bergantung kepada penyebab sindrom bayi biru. Sekiranya keadaan itu dihasilkan oleh kecacatan jantung kongenital, bayi anda memerlukan pembedahan untuk kelangsungan hidup. Ubat mungkin disyorkan dan cadangan ini adalah berdasarkan tahap parah kecacatan yang dialami.

Bayi dengan methemoglobinemia boleh membalikkan keadaan dengan mengambil ubat dipanggil ‘methylene blue’ yang boleh memberikan oksigen ke dalam darah.

Ubat ini memerlukan preskripsi dan biasanya disampaikan melalui jarum yang dimasukkan ke dalam urat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 12:02 AM