PEMBEDAHAN katarak FLACS membabitkan insisi kecil.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Penyakit selaput mata atau katarak sinonim berlaku dalam kalangan orang dewasa, namun ia juga boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang biasa dikenali sebagai katarak kongenital.

Katarak adalah lensa mata yang keruh atau berkabut berbanding lensa mata sihat yang jernih. Lensa mata yang keruh akan mengganggu laluan kemasukan cahaya untuk sampai ke retina seterusnya mengakibatkan pesakit menghadapi masalah penglihatan kabur, imej berganda, gangguan penglihatan warna dan masalah melihat cahaya terang atau silau.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya katarak adalah peningkatan usia (penuaan) yang juga punca utama, katarak bawaan sejak lahir (kongenital) berikutan ibu menghidap jangkitan kuman sewaktu kehamilan seperti rubela, kecederaan pada lensa mata dan komplikasi pengambilan ubatan untuk rawatan penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).

Ketua Pakar Perunding Oftalmologi, Pakar Bedah Katarak dan Refraktif Vista Eye Specialist, Dr Aloysius Joseph Low berkata, katarak tidak dapat dipulihkan menerusi pengambilan ubatan oral, ubat titis mata, senaman atau cermin mata. Sebaliknya, hanya pembedahan boleh merawat katarak.

“Pembedahan katarak bukanlah konsep baru. Kemajuan teknologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini membawa kepada kaedah baru dan menghasilkan keputusan yang lebih baik kepada pesakit.

“Malah, pembedahan katarak moden berkembang begitu banyak sehingga ia menjadi prosedur yang sangat selamat dengan kejadian kesan sampingan jarang berlaku. Satu daripada inovasi adalah prosedur tanpa bilah yang dipanggil Pembedahan Katarak Laser Femtosecond (FLACS),” katanya.

Lazim dikaitkan dengan penuaan, katarak ditakrifkan sebagai lensa mata kabur yang mempengaruhi keupayaan seseorang untuk melihat dengan jelas. Jika dibiarkan tanpa rawatan, katarak bertambah serius dan mengganggu aktiviti harian pesakit serta kualiti hidup termasuk boleh menyebabkan kebutaan kekal.

Berdasarkan Tinjauan Mata Kebangsaan II (NES II) 2014, katarak adalah penyebab utama buta dan penglihatan yang kurang baik di Malaysia, masing-masing mewakili 58 peratus dan 68 peratus daripada semua kes. Hilang penglihatan akibat katarak sebenarnya boleh dicegah melalui pembedahan mudah.

“Ramai pesakit mungkin tidak menyedari akibat katarak yang serius atau enggan dan juga takut menjalani pembedahan. Sebenarnya, tidak ada yang perlu dibimbangkan kerana pembedahan katarak moden berkembang dengan pesat selama beberapa dekad dan mendokumenkan kadar kejayaan yang tinggi dengan risiko komplikasi minimum.

“FLACS diperkenalkan sebagai kaedah yang berkesan untuk membawa pembedahan katarak lebih jauh. Dalam banyak kes, kaedah ini menunjukkan potensi besar untuk meningkatkan keselamatan dan kecenderungan pembedahan katarak moden dengan hasil yang lebih konsisten dan stabil.

“Kaedah yang diperkenalkan pada 2008 ini didapati berkesan menggantikan beberapa langkah yang biasanya dilakukan secara manual oleh pakar bedah. Bersama sistem pengimejan sepenuhnya automatik yang dipaparkan pada skrin berasingan, kaedah ini memberikan pakar bedah satu tahap ketepatan dan ketelitian yang sangat baik sepanjang prosedur,” katanya.

Katanya, laser femtosecond digunakan untuk membuat insisi yang tepat dan teliti pada kapsul anterior dan nukleus kanta, membolehkan pemotongan sama rata pada kornea. Faedah menggunakan laser femtosecond termasuklah tempoh penyembuhan yang cepat dan penempatan implan lensa yang baik.

“Selain itu, disebabkan denyutan ultra cepat laser yang direkodkan dalam jarak 10 hingga 15 saat, membolehkan FLACS menggunakan tenaga yang kurang, sekali gus meminimumkan kerosakan pada sel dan tisu kornea.

“Sistem laser femtosecond juga digunakan untuk mengurangkan kuasa fakoemulsifikasi dan tempoh pembedahan, memberikan tahap keselamatan yang tinggi serta menghasilkan hasil visual yang sesuai untuk pesakit,” katanya.

Dr Aloysius berkata, seperti semua prosedur perubatan pesakit mesti terlebih dulu berunding dengan pakar oftalmologi untuk prosedur yang paling sesuai untuk keadaan mereka.

“Penemuan daripada penyelidikan menunjukkan kaedah ini mungkin tidak sesuai untuk kumpulan pesakit tertentu. Antaranya, pesakit katarak dengan diabetes, glaukoma, kerosakan saraf optik atau kornea yang teruk dan pengecilan anak mata.

“Sudah tentu setiap kaedah dalam pembedahan katarak moden mempunyai kebaikan dan keburukannya. Namun dengan kaedah ini, pesakit boleh mendapat manfaat daripada teknik berteknologi tinggi yang membolehkan pembedahan katarak yang selamat dan mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 12:00 AM