Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kadar kesuburan di Malaysia turun dengan mendadak sejak awal 1980-an.

Kadar ini dijangka menurun ke 1.8 pada 2030. Pasangan yang berjaya melalui peringkat kehamilan juga akan berdepan dengan pelbagai masalah yang membebankan jika anak mengalami kecacatan serius.

Pemakanan antara faktor terpenting yang menyumbang ke arah ketidaksuburan dalam kalangan wanita. Ramai masih kurang peka terhadap kepentingan pengambilan sumber makanan yang betul bagi melahirkan bayi yang sihat.

Bagi merungkai persoalan itu, Shaklee Product (M) Sdn Bhd (Shaklee Malaysia), sebuah syarikat pemakanan terkemuka Malaysia, mengadakan sesi meja bulat dengan tema ‘All About Fertility & Pregnancy: Truth & Myth’ di Subang Jaya.

Ahli Sains Penyelidikan Kanan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Shaklee Corporation (AS) Dr Sonhee Park berkata, kekurangan nutrien seperti vitamin B9 (folat) kerap berlaku dalam kalangan wanita hamil dan yang menyusukan anak.

“Kekurangan vitamin B9 semasa hamil dikaitkan dengan peningkatan risiko kecacatan kelahiran dan kekurangan B12, iodin dan zat besi pula dikaitkan dengan komplikasi lain pada bayi dan ibu.

“Pemakanan adalah kunci dalam semua peringkat kehidupan, terutama ketika jangka masa reproduktif bagi wanita yang merancang untuk hamil. Ada pepatah menyatakan, ‘ibu yang sihat menjamin bayi yang sihat’.

“Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan pemakanan memainkan peranan penting menyediakan persekitaran kondusif untuk berlaku kesuburan (prahamil), kehamilan yang sihat (pranatal) dan perjalanan sebagai seorang ibu yang sihat terutamanya semasa menyusu badan (posnatum),” katanya.

Kekurangan vitamin B9 ketika hamil didapati meningkatkan risiko kecacatan kelahiran, seperti spina bifida dan kecacatan serius lain pada otak, saraf tunjang dan jantung.

Turut dikaitkan dengan pembangunan saraf dan fungsi kognitif fetus dan bayi, vitamin B12, iodin, vitamin dan mineral perlu diambil pada tahap yang optimum oleh ibu hamil.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, ibu hamil disyorkan mengambil 600mcg asid folik, 4.5mcg B12 dan 200mcg iodin sehari.

Asid dokoheksanoik (DHA) ialah nutrien penting kepada bayi ketika fasa hamil dan penyusuan. Nutrien ini penting untuk pembangunan otak, mata dan sistem saraf.

Oleh kerana bayi bergantung pada ibu mereka untuk mendapat bekalan DHA, terma yang digunakan adalah untuk menerangkan jumlah nutrien yang diserap daripada pemakanan dan digunakan untuk fungsi normal tubuh.

Perunding Penyusuan Susu Ibu Bertauliah Dr Nurzarina Abdul Rahman pula menjelaskan, keperluan pemakanan untuk menyusu badan adalah sama seperti ketika hamil.

Bagaimanapun, wanita yang sedang menyusu badan disyorkan untuk mengambil khasiat tambahan yang kaya dengan nutrien sebanyak 500kcal setiap hari berbanding ketika hamil.


ANTARA tetamu yang hadir dalam sesi meja bulat All About Fertility & Pregnancy: Truth & Myth.

“Walaupun menyusu badan dianggap sebagai proses semula jadi untuk wanita, kebanyakan yang gagal menyusukan badan mempunyai tanggapan salah bahawa mereka sudah ditakdirkan tidak dapat menyusukan anak.

“Masih ada ruang untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu, terutamanya ibu baru mengenai faktor penyumbang yang mampu menjayakan proses penyusuan badan,” katanya.

Tambahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan para ibu memberi tempoh minimum selama enam bulan untuk memberi susu badan secara eksklusif ketika mana bayi hanya meminum susu badan dan digalakkan untuk meneruskan penyusuan (bukan eksklusif) sehingga umur dua tahun dan ke atas.

“Salah satu daripada mitos yang biasa termasuklah tanggapan bahawa penyusuan yang kerap akan menurunkan pengeluaran susu. Sebenarnya, bekalan susu ibu bergantung pada permintaan.

“Ini bermakna lebih banyak susu yang diminta bayi, lebih banyak susu akan dihasilkan oleh ibu. Susu ibu adalah pemberian untuk anak dan dicipta untuk membekalkan nutrien yang diperlukan oleh bayi.

“Para ibu perlu berhati-hati dengan diet dan amalan pemakanan mereka bagi memastikan nutrien penting diterima dengan cukup ketika tempoh penyusuan badan,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan bayi bergantung pada ibu mereka untuk mendapat bekalan DHA, maka penting bagi ibu untuk mengambil DHA yang mencukupi.

Kalsium adalah satu lagi nutrien penting untuk pembentukan tulang dan gigi kanak-kanak. Kehilangan kalsium daripada tulang ibu akan meningkat bagi memenuhi keperluan kalsium bayi jika diet ibu kekurangan kalsium.

Maka pengambilan kalsium yang mencukupi adalah penting sewaktu hamil dan sepanjang tempoh penyusuan bagi menjamin kesihatan tulang ibu dan kekuatan tulang dan gigi bayi. Oleh itu, pengambilan makanan yang mengandungi nutrien ini adalah kritikal bagi ibu dan juga bayi.

Dalam pada itu, Pakar Kesuburan & Pengarah Perubatan di Fertility Associates, Dr Mathi Arasu Muthusamy, turut menjelaskan di negara ini ramai yang memilih untuk memulakan kehidupan berkeluarga pada usia yang agak lewat.

“Kami mendapati ramai mendirikan rumah tangga pada usia 30-an atau 40-an. Secara amnya, pasangan subur yang tipikal berumur 25 tahun mempunyai 20 peratus peluang untuk hamil setiap bulan.

Bagaimanapun, apabila umur wanita meningkat, peratus ini berkurangan kepada 17 peratus pada umur 35 tahun dan 10 peratus pada umur 40 tahun,” katanya.

Kejayaan seseorang untuk hamil bergantung pada pelbagai faktor. Amalan gaya hidup ketika dalam tempoh subur, mengekalkan berat badan ideal, pengambilan makanan dan senaman secukupnya adalah elemen penting yang menyumbang kepada persekitaran kondusif untuk hamil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 1:41 AM