PERKEMBANGAN kesihatan mental kanak-kanak perlu dirangsang.
BAYI berusia bawah dua tahun tidak dibenarkan menggunakan gajet.
KURANGKAN penggunaan gajet.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Dua juta kanak-kanak berusia lima hingga 18 tahun di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental seperti kecacatan perkembangan, gangguan emosi dan tingkah laku berdasarkan Laporan Kesihatan Mental Kanak-Kanak Remaja Negara Malaysia bagi 2014.

Data kajian yang dibentangkan pada Kongres Persatuan Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja dan Profesion Bersekutu Asia (ASCAPAP) 2015 itu turut mendedahkan seramai 100,000 kanak-kanak daripada jumlah berkenaan memerlukan rawatan klinikal daripada pakar.

Pakar Psikiatrik Kanak-Kanak, Prof Madya Dr Fairuz Nazri Abd Rahman berkata masalah perkembangan kesihatan mental kanak-kanak ini merujuk pada hubung kait dengan fikiran, emosi dan tingkah laku yang bermula sejak dilahirkan.

Dikatakan berpunca daripada isu genk atau keturunan dan trauma ketika kelahiran seperti pendarahan, pembedahan serta oksigen tidak mencukupi hingga memberi impak terhadap otak, gejala masalah perkembangan mental ini memakan masa untuk dikesan.

Lima keadaan masalah perkembangan kesihatan mental yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak adalah autisme, masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD), pembelajaran spesifik termasuk membaca, menulis dan mengira, masalah intelektual (terencat akal) serta masalah pertuturan.

Fairuz Nazri menyifatkan autisme antara masalah paling popular yang berlaku pada kanak-kanak hari ini dengan anggaran satu daripada 100 kanak-kanak adalah autisme.

“Autisme boleh didiagnosis seawal dua tahun apabila kanak-kanak menunjukkan tanda seperti lambat bercakap yang mana perkara biasa disedari ibu bapa.

“Pada usia setahun, seharusnya anak itu boleh menuturkan satu perkataan seperti ‘mama’. Ketika berusia dua tahun, kanak-kanak sudah boleh bercakap sekurang-kurang 20 perkataan dengan dua frasa, contohnya ‘nak makan’.

“Autisme boleh dibahagikan kepada dua iaitu ‘high functioning’ dan ‘low functioning’.

“‘Low functioning’ merujuk pada tahap mental yang lebih rendah berbanding usia, manakala ‘high functioning’ pula hanya mengalami masalah sosial dan boleh belajar seperti kanak-kanak normal lain,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC).

Menurut Fairuz Nazri, sekiranya anak menunjukkan gejala awal, ibu bapa dan guru digalakkan melakukan pemeriksaan kesihatan untuk memastikan tahap kesihatan mental kanak-kanak.

Tegasnya, tindakan awal mendapatkan rawatan terapi adalah langkah bijak yang perlu diambil.

Ini kerana pada usia dua hingga tujuh tahun adalah masa emas untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan kesihatan mental ini menerusi rawatan terapi.

Namun menyedihkan, ada segelintir ibu bapa enggan membawa anak kepada pakar psikiatrik kerana stigma gila, sedangkan kanak-kanak mengalami masalah dalam fikiran memerlukan rundingan doktor.

Mengulas lanjut perkembangan teknologi yang mungkin mempengaruhi perkembangan mental kanak-kanak, Fairuz Nazri menyedari kebanyakan ibu bapa hari ini menggunakan gajet sebagai mainan malah kini ia menjadi situasi biasa di meja makan.

“Merujuk pada panduan American Academy of Pediatrics (AAP) , bayi berusia bawah dua tahun tidak dibenarkan menggunakan gajet manakala kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun hanya dibenarkan menggunakan gajet selama dua jam sehari.

“Situasi sekarang, ibu bapa menjadikan gajet sebagai mainan bagi bayi dan kanak-kanak. Penggunaan ini membuatkan hanya satu jari berfungsi dan tiada rangsangan sembilan jari lain bagi kedua-dua belah tangan.

“Apabila tiada rangsangan, tangan anak mempunyai kurang stimulasi dan tidak pandai mengambil atau memegang barang.

“Setiap jari memiliki saraf yang merangsang aktiviti neuron dalam otak, jika neuron ini tidak dirangsang, ia akan dibuang.

“Menerusi gajet juga, anak ini hanya melihat dan mendengar namun tidak nampak pergerakan mulut, tangan serta mimik muka. Jadi mereka tidak dapat belajar malah tidak pandai menghasilkan bunyian. Jadi mereka akan lambat bercakap,” jelasnya.

Berkongsi nasihat, Fairuz Nazri berkata ibu bapa seharusnya memperbanyakkan interaksi sosial bersama kanak-kanak untuk membina pertumbuhan mental yang sihat.

Selain itu, disarankan membawa anak ke taman permainan setiap hari meskipun memahami kekangan masa ibu bapa bekerjaya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 2:53 PM