TABIAT menarik kelopak mata ketika mengenakan kanta lekap boleh mendedahkan individu kepada ptosis
Nurul Husna Mahmud

Pemakaian kanta lekap dilihat pilihan sebahagian besar individu yang mengalami masalah rabun kerana ia lebih selesa berbanding mengenakan kaca mata.

Individu yang sering mengenakan kanta lekap, mereka berasakan penampilan tanpa kaca mata lebih menarik selain berasa tidak terganggu dengan kehadiran kaca mata.

Namun tahukah mereka, tabiat mengangkat kelopak mata ketika mengenakan kanta berkenaan boleh menyebabkan individu berisiko menghadapi masalah kelopak mata jatuh.

Secara umumnya kelopak mata jatuh berkemungkinan berpunca daripada dua keadaan iaitu berkait dengan masalah kulit, namun sebahagian besar ia dirujuk sebagai keadaan dipanggil bleparoptosis atau lebih dikenali dengan ptosis.

Menurut Pakar Bedah Perunding Oftalmologi, Okuplastik dan Lakrimal Hospital Beacon, Dr Ong Chin Tuan, ptosis merujuk kepada keadaan di mana masalah otot levator yang berperanan untuk mengangkat kelopak mata menjadi lemah.


DR Ong menunjukkan keadaan pesakit menghidap ptosis.

“Ptosis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor sama ada kongenital iaitu dilahirkan dengan masalah berkenaan, peningkatan usia, penyakit lain mahupun komplikasi akibat pembedahan dan sebagainya.

“Di kelopak mata ada tendon atau otot yang membantu mengangkat dan meregang struktur kulit di bahagian itu. Biasanya apabila individu berusia 40 ke atas yang melalui proses penuaan semula jadi, tendon akan lemah dan menyebabkan bahagian mata itu jatuh.

“Keadaan sedemikian dilihat sebagai kejadian normal tetapi berlainan bagi kes disebabkan trauma iaitu merujuk kecederaan pada bahagian berkenaan akibat tabiat harian termasuklah pemakaian kanta lekap.

“Tabiat seperti menarik kelopak mata kadangkala boleh menyebabkan tendon koyak dan akhirnya masalah ptosis berlaku sebelum waktunya.

“Secara peribadi kalau ada yang bertanya antara kaca mata dengan kanta lekap, saya pilih kaca mata bagi mengelak masalah ini,” katanya.

Andai tidak ditangani, ptosis boleh memberi impak yang tidak diingini. Selain memberi kesan visual kurang menarik pada mata dan wajah anda, ia juga akan mengganggu penglihatan.

“Ia berbeza dengan mata kuyu yang tidak mendatangkan masalah. Ptosis boleh menjadi lebih serius kalau peratusan kelopak mata jatuh hampir menutupi sebahagian besar mata.

“Ruang penglihatan akan terjejas teruk. Ia akan mempengaruhi semua aktiviti kita terutama dalam keadaan yang sangat memerlukan tumpuan penglihatan seperti memandu, bekerja mahupun melakukan rutin harian yang biasa seperti memasak dan akhirnya boleh mendatangkan risiko kemalangan kerana jarak atau parameter penglihatan terhad,” katanya.


FAKTOR usia ialah proses normal dihadapi pesakit berusia 40 ke atas yang mengalami ptosis.

Tabiat individu yang menghadapi ptosis, biasanya dia terpaksa mengangkat kepala atau mengerutkan dahi untuk memudahkan dia melihat dengan lebih baik.

Gejala itu biasanya disedari rakan atau ahli keluarga yang sering melihat pesakit seakan-akan mengantuk atau mata keletihan.

Keadaan boleh menjadi lebih serius apabila kelopak mata mereka kelihatan seperti ‘tirai yang jatuh’ sehingga menutupi sebahagian besar mata. Tidak hairanlah ada antara mereka terpaksa mendongak setiap kali berbual.

Kata Dr Ong lagi, bagi masalah ptosis yang berlaku dalam kalangan bayi yang baru dilahirkan, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam mengesan dan merawat masalah itu seawal mungkin.

Kegagalan mengesan masalah berkenaan di awal usia boleh ‘memperjudikan’ masa depan anak mereka untuk mendapat kecacatan pada fungsi penglihatan atau saraf otak deria terbabit.


MEMBERI visual mata kuyu atau letih.

“Kanak-kanak perlu dirawat seawal mungkin bagi mengatasi masalah penglihatan lebih serius. Ptosis boleh berlaku pada kedua-dua belah mata (bilateral) atau sebelah saja (unilateral).

“Penglihatan kanak-kanak yang menghidap ptosis biasanya terganggu dan mempunyai ciri seperti masalah mata malas atau juling air disebabkan mata yang terjejas tidak digunakan.

“Keadaan ini berlaku apabila otak tidak dapat mengesan imej yang datang daripada mata tertutup oleh kelopak, akhirnya menyebabkan mata berkenaan mengalami masalah penglihatan termasuklah kemampuan menjangka jarak dengan betul.

“Kalau anda lihat seolah-olah ada masalah mata, segeralah bawa mereka berjumpa doktor di klinik terdekat supaya boleh dirujuk kepada pakar. Ini disebabkan ada kes mata juling berpunca daripada ptosis dan boleh dirawat untuk kembali normal.

“Sebaliknya dibiarkan berterusan tanpa rawatan, hanya mata yang sering digunakan mempunyai penglihatan baik kerana pada bahagian mata terjejas, otak yang memproses penglihatan tidak berkembang dengan sempurna hingga menyebabkan fungsi mata berkenaan menyusut.

“Ia boleh di atasi andainya ibu bapa merujuk masalah berkenaan kepada pakar sebelum usia kanak-kanak mencecah enam tahun. Ini disebabkan perkembangan otak kanak-kanak ketika usia itu masih aktif dan berkembang,” katanya.


PTOSIS boleh berlaku pada kedua-dua belah mata (bilateral) atau sebelah saja (unilateral)

Menangani masalah ptosis ia bergantung kepada punca atau kes dirujuk. Sebagai contoh untuk kes ptosis kongenital yang mana bayi dilahirkan tanpa mempunyai langsung tendon atau otot elavator pembedahan akan dilakukan.

“Jika keadaan ini berlaku pada kanak-kanak, kita akan lakukan pembedahan ‘suspensi otot depan mata’. Doktor akan mengambil tendon yang tidak digunakan pada bahagian kaki dan menjahitnya pada kelopak mata.

“Selain pembedahan ini tidak rumit, ia hanya mengambil masa antara sekitar satu jam untuk satu mata, tiada parut akan kelihatan kerana potongan dibuat pada bahagian lipatan kelopak mata,” katanya.

Sementara itu bagi faktor usia, bagi kes minor, suntikan botox diguna selain prosedur pembedahan ‘levator apeneurosis readvacement’ mengikut tahap serius masalah berkenaan.


PEMBEDAHAN ‘suspensi otot depan mata’ bagi pemasangan tendon diambil daripada bahagian tubuh lain kepada mata.

Punca ptosis

• Usia

Merujuk kepada proses penuaan semula jadi yang bermula 40 tahun ke atas.

• Kongenital

Berlaku sejak lahir membabitkan tiada tendon atau otot elavator.

• Masalah saraf

Boleh terjadi disebabkan gangguan pada saraf atau bahagian otak tertentu seperti Sindrom Horner’s, Myaesthenia Gravis, anuerisme otak dan sebagainya.

• Trauma

Kemalangan domestik, komplikasi selepas pembedahan seperti pembedahan lasik dan tidak terkecuali tabiat gemar menarik kelopak mata seperti dalam pemakaian kanta lekap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 3:00 AM