KECEDERAAN rawan sendi lutut menyukarkan pesakit bergerak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Masalah sakit sendi lutut adalah suatu penyakit yang biasa dialami sebilangan besar masyarakat bukan saja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Terdapat dua jenis penyakit radang rawan sendi lutut atau lebih dikenali osteoarthritis iaitu primer dan sekunder. Ia boleh menyerang semua sendi jenis tisu lembut (sinovium) tetapi lebih berisiko terhadap sendi besar yang menampung berat badan seperti sendi pinggul, lutut dan pergelangan kaki.

Bagi osteoarthritis primer, kebanyakan pesakit mula mengalami simptom seawal usia 40-an dan faktor utama penyakit berkenaan adalah berkaitan genetik selain aktiviti dan berat badan berlebihan.

Manakala osteoarthritis sekunder pula disebabkan faktor luaran yang bertindak ke atas rawan sendi sehingga menyebabkan gejala osteoarthritis terjadi. Ia boleh dialami oleh golongan berusia seawal 30-an jika tidak ditangani dengan segera.

Antara punca biasa penyakit berkenaan adalah akibat kecederaan sukan dan ligamen koyak menyebabkan ketidakstabilan sendi lutut.

Meskipun, ia bukan penyakit berbahaya tetapi kesannya memberi tekanan kepada pesakit apabila ubat tahan sakit tidak mampu melegakan kesakitan ditanggung.

Lebih membimbangkan, pengambilan ubat penahan sakit yang berterusan menyebabkan komplikasi berkaitan dengan perut dan usus (gastrointestinal) serta fungsi buah pinggang.

Bagi pesakit yang sudah mengalami kerosakan jajaran sendi lutut varus atau kesakitan tidak dapat diredakan dengan pengambilan ubat tahan sakit sehingga mengganggu pola tidur, mereka berusia 55 hingga 60 tahun disarankan menjalani pembedahan penggantian sendi tulang sebagai pilihan terakhir untuk pemulihan.

Lazimnya, dalam setiap 10 pesakit yang disarankan pembedahan penggantian sendi tulang, hanya dua atau tiga daripada mereka saja bersetuju dengan kaedah itu. Selebihnya lebih rela menukar cara hidup menjadi kurang aktif. Bahkan ada yang mencuba perubatan alternatif tetapi kesannya bersifat jangka pendek.


GAMBAR  struktur lutut.

Demi memberikan harapan kepada lebih 70 peratus penderita masalah radang sendi lutut mendorong pasukan pakar bedah ortopedik Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) yang diketuai Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Ortopedik & Arthroskopi HCTM UKM, Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff melakukan penyelidikan klinikal terhadap sekumpulan pesakit menggunakan sel stem mesenkima.

Sel stem mesenkima diperoleh daripada tali pusat pada uri dengan menggunakan kaedah penjanaan semula secara biologikal dan kejuruteraan tisu bagi menghasilkan sel-sel stem mesenkima yang dirangsangkan.

Bermula pada 2003, Dr Badrul Akmal Hisham terbabit dalam kajian makmal menggunakan haiwan dan praklinikal yang mana rawan sendi berjaya ‘ditumbuhkan’ menerusi kaedah kejuruteraan tisu.

Pada pertengahan 2016, beliau mengambil keputusan melaksanakan rawatan klinikal secara percubaan ke atas enam pesakit yang dipilih. Pemilihan tali pusat uri sebagai sumber sel stem mesenkima dibuat berdasarkan potensi dan kelebihannya yang memihak kepada kaedah ini. Sel stem secara amnya boleh diperoleh daripada beberapa bahagian tubuh manusia contohnya darah, sumsum tulang, tisu lemak adipos (tisu yang dipenuhi lemak) dan lapisan tisu lembut (sinovium).

Satu faktor penting perlu diketahui mengenai kaedah rawatan berkenaan ialah tiada tindak balas penolakan oleh sel stem mesenkima asal tali pusat uri, meskipun ia daripada individu yang tiada kaitan darah.


DR Badrul Akmal Hisham menunjukkan replika lutut. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Ini membolehkan sistem tubuh manusia khususnya sendi lutut menerima sel stem asing yang dimasukkan dalam lutut mereka dan seterusnya memberikan kesan yang diharapkan iaitu tumbuh rawan baharu, antikeradangan dan mengurangkan kesakitan.

Dr Badrul Akmal Hisham berkata, seramai enam pesakit yang mengalami masalah radang sendi jenis kecederaan rawan sendi lutut sudah menerima rawatan itu sebagai projek pilot kajian terbabit yang mana mereka terlebih dulu melalui proses saringan, ujian makmal dan pengimejan sebelum pembedahan artroskopi menggunakan skop dilakukan dan disusuli suntikan memasukkan stem sel ke dalam lutut.


PERMUKAAN rawan sendi normal yang licin dan rata. FOTO Koleksi Dr Badrul Akmal Hisham

Katanya, hanya satu suntikan sel stem diberikan kepada pesakit dan mereka kemudiannya dikehendaki menjalani rawatan susulan selama 12 bulan serta menjawab soal selidik yang merangkumi analisis aktiviti fizikal, tahap kesakitan dan aktiviti kehidupan harian.

“Semua pesakit menunjukkan perkembangan positif seawal tiga bulan yang mana kesakitan semakin berkurangan dan banyak aktiviti boleh dilakukan. Kemajuan pesakit itu terus meningkat sehingga bulan ke-12 tanpa sebarang kesan sampingan atau masalah lain.

“Dalam penyelidikan ini, pesakit dipanggil semula menjalani pembedahan artroskopi kali kedua selepas setahun rawatan bagi meneliti perkembangan rawatan dan didapati kecederaan rawan sendi lutut bukan saja sudah pulih tetapi diliputi rawan sendi yang baru.

“Ini membuktikan stem sel yang digunakan berjaya menghasilkan tisu yang baharu dan membatasi penyakit berkenaan daripada terus menjadi teruk sehingga membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.


PERMUKAAN rawan sendi yang mengalami kerosakan. FOTO Koleksi Dr Badrul Akmal Hisham

Menurutnya, setakat ini kaedah rawatan menggunakan sel stem bagi penyakit radang sendi lutut adalah paling berkesan untuk merawat penyakit berkenaan tetapi ramai tidak berani mencubanya.

“Ini kerana sebelum ini, ternyata kebimbangan pada waktu itu adalah terdapat kebarangkalian sel stem berkenaan boleh berupaya bertukar menjadi sel berbahaya seperti kanser. Ternyata, hasil kajian praklinikal dan pada uji kaji haiwan, risiko sedemikian adalah sangat kecil.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara penting perlu diketahui pesakit sekiranya mahu membuat rawatan terbabit (menggunakan sel stem) iaitu memastikan lutut mereka stabil dan tisu ligamen tidak koyak serta kaki tidak bengkok.


RAWAN sendi yang rosak dibersihkan sebelum proses rawatan. FOTO Koleksi Dr Badrul Akmal Hisham

“Jika ligamen koyak, ia perlu dibaiki terlebih dahulu dan kemudian baru boleh menjalani rawatan stem sel.

“Perkara kedua ialah tidak mempunyai masalah keradangan sendi lain seperti artritis reumatoid, psoriasis atau gout,” katanya.

Ditanya mengenai kos rawatan itu beliau berkata, buat masa ini rawatan itu diberikan secara percuma kepada pesakit kerana masih dalam kajian penyelidikan dan tertakluk kepada geran penyelidikan yang bakal diluluskan.

“Kajian peringkat kedua akan mulakan pada awal 2019 yang membabitkan 150 pesakit termasuk osteoarthritis di HCTM UKM kerana hospital ini mempunyai kemudahan dan peralatan mencukupi.

“Kami menjangkakan rawatan ini akan dapat dikomersialkan kepada pesakit seawal 2021,” katanya.


KECEDERAAN rawan yang diliputi lapisan rawan baru. FOTO FOTO Koleksi Dr Badrul Akmal Hisham

INFO

• Sendi tulang yang normal mempunyai tisu khas berwarna putih kekuningan yang menyelaputi bahagian tulang yang bertemu dan bergeser di antara satu sama lain contohnya sendi lutut, iaitu sendi terbesar pada tubuh manusia.

• Tisu rawan ini bersifat kenyal, padat, licin dan boleh menyerap geseran serta hentakan sehingga lapan kali ganda tekanan berat badan seseorang individu sewaktu melompat dan berlari.

• Satu sifat unik tisu rawan sendi ialah tidak mempunyai saluran darah, limfa atau saraf yang menyebabkan proses pemulihan dan penyembuhan rawan secara semula jadi amat sukar apabila terjadinya kecederaan.

Tanda-tanda radang sendi lutut:

• Sakit sendi

• Sendi bengkak

• Kekejangan sendi

• Susah bergerak seperti biasa

• Sakit apabila bergerak

• Lutut berbunyi bagi penyakit osteoarthritis lutut

• Otot betis menjadi kecut bagi penyakit osteoarthritis lutut

Punca risiko radang sendi lutut:

• Peningkatan usia

• Berat badan berlebihan

• Genetik (ahli keluarga mempunyai sejarah radang sendi lutut)

• Aktiviti lasak dan bersukan

• Mencangkung

Langkah mencegah dan mengurangkan risiko kecederaan lutut

• Bersenam secara berkala

• Aktiviti regangan sebelum dan selepas bersukan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 1:00 AM