Nurul Husna Mahmud

Pembedahan penyambungan tulang menggunakan implan atau kerangka besi merupakan satu prosedur dalam memulihkan kembali struktur tulang yang patah selepas berlakunya kemalangan.

Sebelum prosedur pembedahan ortopedik ini dilakukan, setiap pesakit harus dinilai secara menyeluruh untuk memastikan mereka cukup sihat untuk menjalani pembedahan. Proses ini biasanya dilakukan oleh pakar-pakar yang berkaitan seperti pakar bius. Ini perlu bagi memastikan pesakit tidak terdedah kepada bahaya ketika pembedahan dilakukan.

Ia berdasarkan keperluan dan keutamaan pesakit, andainya situasi berkenaan boleh merisikokan nyawa terutama anggota vital seperti jantung, saraf dan saluran darah, ada kemungkinan pembedahan penyambungan tulang akan ditangguhkan.

Dalam pembedahan tulang akibat kecelakaan atau kemalangan, terdapat dua kaedah pembedahan yang sering dipraktikkan oleh doktor ortopedik iaitu implan yang diletakkan di dalam tulang atau di pasang di luar anggota badan.

Menurut Pakar Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (PPUKM), Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri, kedua-dua kaedah tersebut digunakan mengikut keperluan atau syarat tertentu bergantung kepada tahap kecederaan pesakit.

“Jika membabitkan anggota penting bahagian atas tubuh seperti bahagian tulang cervical (tulang tengkuk) yang menjadi tumpuan kebanyakan saraf berhubung, kita akan menangani bahagian terbabit terlebih dulu kerana saraf ini boleh menjejaskan keseluruhan fungsi anggota tersebut.

“Biasanya untuk kes kecemasan seperti ini, pembedahan akan dijalankan secepat yang mungkin dalam tempoh kurang dari 24 jam. Ini bagi mengurangkan kesan kecederaan yang serius berterusan kepada saraf berkenaan yang mana boleh menyebabkan lumpuh anggota jika dibiarkan.

“Selain daripada itu, kecederaan yang memerlukan pembedahan jika berlakunya kemalangan yang membabitkan patah tulang terbahagi kepada dua jenis kategori iaitu luka patah tulang terbuka (open fracture) dan luka patah tulang tertutup (closed fracture). Jika patah tulang ini berlaku, kita akan melakukan beberapa siri saringan termasuklah X-ray bagi mengenal pasti tahap serius kecederaan tersebut,” katanya.

Kata Dr Yazid lagi, kaedah pembedahan penyambungan tulang patah mempunyai beberapa cara di antaranya disambung secara terus kepada tulang yang patah dengan skru ataupun plat yang diletakkan di tulang tersebut ataupun menggunakan pemasangan kerangka besi (external fixator) di luar anggota terbabit.


DR Yazid. FOTO Mahzir Mat Isa

“Salah satu kaedah yang sering digunakan adalah meletakkan implan penyambung tulang tersebut yang dipasang di dalam anggota terbabit. Implan besi yang dipasang di dalam tulang biasanya mempunyai kesan penyembuhan tulang yang lebih baik.

“Tetapi terdapat kebimbangan berlakunya komplikasi yang membabitkan jangkitan kuman kepada pesakit. Jangkitan kuman ini atau lebih dikenali sebagai Osteomyelitis boleh berlaku dalam kes yang mempunyai luka patah tulang terbuka (open fracture) yang mana patah tulang tersebut terdedah kepada persekitaran. Keadaan ini juga boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan pada implan yang digunakan.

“Bakteria akan membentuk satu lapisan pertahanan yang dikenali sebagai ‘biofilm’ pada lapisan atas implan yang menyebabkan ia sukar dihapuskan, walaupun dengan menggunakan antibiotik. Kaedah terbaik bagi mengatasi masalah ini adalah implan terbabit harus dikeluarkan terlebih dulu dan setelah itu barulah pesakit dirawat dengan antibiotik.

“Biasanya kes ini dirujuk kepada pesakit yang tidak menjaga luka dengan baik termasuk gagal mematuhi rawatan menyebabkan mereka terpaksa melakukan proses pembedahan sekali lagi untuk memastikan tulang patah itu dapat dipulihkan. Mereka yang menjalani pembedahan pemasangan kerangka besi luar juga perlu memastikan luka tersebut dicuci dengan baik.

“Pesakit yang lebih muda, kadar untuk sembuh lebih cepat berbanding pesakit yang sudah berusia. Untuk pesakit kanak-kanak keadaannya lebih baik,” katanya.


MEMBANTU mengukuhkan struktur tulang.

Tambah Dr Yazid lagi, tempoh pemulihan tulang yang patah juga bergantung kepada anggota yang terbabit sama ada di bahagian atas atau pinggul dan ke bawah.

“Pesakit juga perlu ketahui bahawa tulang yang patah di bahagian atas lebih mudah sembuh berbanding bahagian anggota pinggul ke bawah kerana ia tidak membawa beban tubuh.

“Berlainan dengan bahagian pinggul dan kaki, bahagian ini memerlukan tidak kurang dari 12 minggu hingga ke enam bulan untuk sembuh. Sementara itu, anggota bahagian atas seperti tangan atau bahu mampu pulih lebih cepat iaitu di antara enam minggu hingga ke tiga bulan.

“Perlu diingatkan, ia juga bergantung kepada komitmen pesakit ketika menjalani rawatan termasuklah menghadiri sesi fisioterapi. Patah tulang tidak bermakna pesakit hanya mampu terbaring, sebaliknya mereka perlu melakukan pergerakan ringan yang dibenarkan bagi mengelakkan fungsi otot dan sendi menjadi kaku,” katanya.

Faktor lain yang mempengaruhi proses pemulihan tulang patah akibat kemalangan antaranya termasuklah pesakit yang mempunyai gaya hidup sihat selain bebas penyakit.


KECEDERAAN serius yang memerlukan pemasangan besi.

“Biasanya selain daripada sejarah penyakit tertentu yang mengganggu pemulihan tulang, pesakit kencing manis perlu mengawal kadar gula dalam darah untuk memastikan luka mereka cepat sembuh.

“Selain itu perokok tegar juga mengambil tempoh yang panjang berbanding individu tidak merokok. Biasanya kami menyarankan perokok tegar berhenti seketika atau kawal tabiat dengan mengurangkan pengambilan nikotin mereka.

“Ini kerana nikotin boleh mengganggu pertumbuhan sel tulang sekali gus mengambil masa yang lama untuk tulang yang patah itu bercantum,” katanya turut melarang pesakit patah tulang untuk berurut.

Dr Yazid turut menyarankan orang awam yang membantu mangsa kemalangan perlu lebih berhati-hati agar tidak menjejaskan kecederaan yang sedia ada.

“Saya faham pihak umum mempunyai niat murni membantu memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat. Namun mereka perlu memastikan niat murni itu disertakan dengan cara yang betul supaya mereka tidak merisikokan nyawa mangsa.

“Langkah yang betul ialah memastikan bahagian leher disokong dan berada dalam keadaan tegak dan begitu juga anggota lain termasuk kaki dan tangan.

“Ini kerana tulang yang patah mampu mencederakan saraf dan tisu lalu akhirnya menjejaskan fungsi anggota berkenaan untuk pulih. Sebaiknya kita hendaklah mengampu pesakit agar dalam keadaan tegak terutamanya bahagian leher,” katanya.


BESI yang ditanam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 9:00 AM