DELEGASI persidangan mencuba paparan teknologi realiti maya (VR) oleh Siemens Healthineers.

PERUBAHAN dan kemajuan dalam perubatan mengubah seluruh landskap bidang itu terutama apabila penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) diperkenalkan.

Meskipun AI tidak dapat mengganti atau menandingi kepakaran yang ada pada manusia, sukar menafikan kepentingan AI sebagai penghubung atau pemudah cara untuk sesuatu yang baharu.

Tambahan pula dengan peningkatan bilangan pesakit dan peralihan kepada model imbuhan berorientasikan hasil - industri penjagaan kesihatan kini mengalami perubahan berterusan.

Pendigitalan pasaran dan teknologi pesat juga diiringi permintaan pengawalseliaan yang berubah, tekanan kos dan jangkaan pelanggan yang semakin meningkat.

Justeru, teknologi yang memberi harapan membuka peluang yang tidak pernah dijangkakan sebelum ini hasil daripada kemajuan dalam kuasa pengkomputeran, kapasiti memori yang besar dan peningkatan rangkaian. Konsep utamanya adalah AI.

AI adalah proses yang dibantu komputer untuk menyelesaikan masalah kompleks yang biasanya digunakan untuk manusia. Lebih khusus, ia membabitkan mesin yang meniru fungsi kognitif yang biasanya dikaitkan dengan otak manusia.

Siemens Healthineers menggunakan teknologi ini untuk membantu pembekal penjagaan kesihatan di seluruh dunia mempersiapkan trend yang mempengaruhi sektor ini dan mempunyai kedudukan utama dalam bidang ini.

Pada Persidangan Pengurusan Hospital Asia (HMA) 2019 yang diadakan di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini, Siemens Healthineers memberi tumpuan kepada Menyampaikan Penjagaan Bernilai Tinggi oleh Penjagaan Kesihatan Digital, selain memberi pemahaman mengenai penawarannya dalam bidang AI.

Presiden dan Pengarah Urusan Siemens Healthineers Asia Tenggara, Fabrice Leguet menjelaskan, organisasi itu memiliki lebih 500 paten dalam pembelajaran mesin, 125 paten dalam bidang ‘Deep Learning’ dan lebih 40 aplikasi berasaskan AI bagi membuka jalan kepada pembekal penjagaan kesihatan di seluruh dunia memperluaskan ketepatan ubatan untuk menggalakkan pencegahan dan terapi individu dengan diagnosis yang tepat.

Dengan peningkatan jumlah dan kerumitan data daripada sumber yang berlainan dan merentas pelbagai disiplin, kecerdasan buatan adalah kunci untuk menjadikan teknologi perubatan lebih bijak, data imej dan analisis hasil makmal lebih pantas dan pemeriksaan lebih tepat.

“AI membolehkan penjagaan kesihatan yang lebih khusus dengan ubatan tepat sepanjang keseluruhan penjagaan berterusan, pengenalpastian pesakit berisiko tinggi, pencegahan rawatan yang tidak perlu, diagnostik berkualiti tinggi dan rawatan yang lebih tepat dan disasarkan.

“Pada masa akan datang, Siemens Healthineers akan mengembangkan peranannya sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk memasuki dunia AI dalam konteks perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 5:20 AM