PERLUKAN psiko terapi bergantung pada punca dan serius masalah dihadapi.
Nurul Husna Mahmud


CABARAN tular dilakukan sebilangan peminat aktiviti itu memang cukup menghiburkan bagi netizen yang menontonnya.

Video yang dipertontonkan ada yang lucu, menjengkelkan dan tidak kurang juga mengundang malapetaka apabila aksi viral itu selayaknya dilakukan pelagak ngeri.

Pada pandangan umum ia mungkin sekadar satu permainan biasa dan sekadar untuk berseronok, namun ada antara permainan ini mengundang musibah dan berbahaya apabila pelakunya maut hanya kerana mahu kelihatan hebat di mata umum.

Cabaran ‘Momo’ yang tular di Amerika Selatan, Asia, Mexico, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat pada 2018, meminta pelakunya mencederakan diri sendiri, menonton filem seram dan bangun pada waktu yang luar biasa dan akhirnya membunuh diri. Jika tidak maklumat peribadi mereka akan dibocorkan.

Permainan itu membawa kepada tiga tragedi bunuh diri membabitkan dua remaja berusia 18 dan 16 tahun di India dan Colombia serta kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun juga di Colombia.

Kini fenomena ‘Tik Tok’ pula menguasai dan sesetengah aksi dipertontonkan oleh pencabar tular mengundang risiko. Ini termasuklah aksi berani mati remaja di India yang berpaut pada pemegang pintu kereta api yang bergerak turut berakhir dengan kematian.

Meskipun reda seketika, golongan remaja tidak pernah gagal untuk tampil dengan idea baru dan terbaru sudah ada pihak mengundang warga netizen melekatkan bibir atas dengan gam untuk tampak tebal seperti mendapat suntikan bibir.


CABARAN Momo mengundang remaja untuk mencederakan diri dan bunuh diri.

Meskipun cabaran itu dikhuatiri mengundang risiko alahan pada kulit seperti dinyatakan oleh American Academy of Dermatology (AAD) kerana bertindak balas dengan bahan kimia terkandung dalam gam tetapi ia tidak menghentikan perbuatan itu daripada terus ditiru oleh sebilangan remaja.

Pakar Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Khadijah Hasanah Abang Abdullah mengupas sejauh mana pengaruh itu memberi kesan kepada kesihatan mental individu.

Katanya, otak remaja yang masih berkembang dan belum matang membuatkan golongan itu mudah terdedah kepada perlakuan tidak normal.

Berbanding golongan dewasa, penilaian remaja terhadap risiko atau aspek keselamatan lebih rendah dan lebih mementingkan keseronokan.

“Remaja antara individu yang lebih berani mengambil risiko. Mereka suka terikut-ikut dengan sesuatu yang dikatakan terkini atau tampak hebat pada mata rakan sebaya.

“Lebih memburukkan apabila cabaran menerusi media sosial yang tiada batasan. Bukan saja mendapat sokongan kawan sebaya tetapi satu dunia menyaksikan aksi yang dianggap hebat itu.

“Pada mereka, tanda pagar cabaran itu yang perlu dikejar dan akan berasa puas apabila dapat lakukan aksi berbahaya itu. Mereka akan rasa lebih baik dan hebat jika video cabaran berjaya mengundang jumlah tontonan yang tinggi tanpa berfikir panjang kesan di sebaliknya.

“Perkara ini tampak menarik pada mereka kerana menjadi trend dunia apatah lagi kalau cabaran itu turut dilakukan oleh selebriti. Keseronokan menjadi objektif utama mereka sehingga lupa kepada keselamatan.

“Rasa ‘sensasi’ remaja dan kanak-kanak lebih mudah dipenuhi menerusi aktiviti mencabar dan berbahaya. Jadi, tidak hairanlah jika lebih banyak kes kecederaan dan kematian ketika menyahut cabaran tular direkodkan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Tambah Dr Khadijah, dalam pembentukan personaliti dan perkembangan mental sihat, tidak dinafikan pengaruh media sosial kini memberi impak kepada personaliti remaja apabila dewasa kelak.

Dalam kes tertentu, remaja yang mengasingkan diri daripada mengikuti cabaran ataupun tidak mampu melakukan sebaik orang lain boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa buli siber.

“Ada antara percubaan mereka ketika melaksanakan cabaran itu tidak nampak begitu bagus di mata rakan atau netizen. Akhirnya berduyun masuk komen negatif yang kadangkala tidak berkaitan pun seperti memalukan seseorang kerana bentuk badannya.

“Akibatnya remaja berasa tertekan, takut dan mula mengasingkan diri. Lebih buruk jika ia mengganggu rutin harian seperti tidak mahu ke sekolah kerana bimbang orang ramai melihatnya sebagai seorang yang gagal,” katanya.


CABARAN gam bibir boleh mengundang radang kulit.

Pengaruh media sosial juga boleh mencetuskan implikasi buruk dalam pembentukan personaliti remaja yang terdesak mahukan perhatian dan mungkin boleh murung jika impiannya tidak terlaksana.

Merujuk kepada langkah pencegahan, kata Dr Khadijah, perhatian dan kasih sayang ibu bapa selain kolaborasi pihak tertentu iaitu sekolah dan kerajaan boleh mengatasi masalah berkenaan.

“Sukar untuk hendak menahan anak-anak daripada mengakses Internet kerana ini zaman mereka, cuma ibu bapa kena peka dan ambil perhatian.

“Ibu bapa perlu menjadi kawan kepada anak dan sering berbincang selain ajak mereka memikirkan kesan daripada setiap tindakan yang diambil.

“Jika cabaran tular ini sudah mula menyebabkan anak mengalami gejala mental, bermakna anak anda perlukan saringan lebih terperinci untuk mengenal pasti puncanya.

“Ini merujuk kepada kes kemurungan dan kegelisahan melampau. Dalam kes ini, ubat atau psikoterapi diperlukan atau gabungan kedua-duanya.

“Merujuk kepada kebanyakan kes saya terima, remaja lelaki ketagih permainan video Internet sementara remaja perempuan pula ketagih media sosial,” katanya.

Malah Dr Khadijah juga menyarankan masyarakat dan kerajaan terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat kemasukan cabaran viral yang berisiko tinggi.

“Orang ramai terutama ibu bapa perlu tahu ‘trend’ terkini yang diikuti oleh anak. Kalau rasa ia boleh mendatangkan bahaya, segera buat aduan. Kita ada agensi seperti SKMM yang mempunyai kuasa menyekat halaman itu daripada terus diakses oleh pengguna muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:15 AM