KEROSAKAN tulang rawan.
Aniza Zainudin


OSTEOARTHRITIS (OA) adalah sejenis sakit sendi yang paling kerap dialami warga emas diakibatkan kerosakan tulang rawan sendi kerana peningkatan usia.

Tulang rawan sendi ini berfungsi menyerap hentakan dan melincirkan pergerakan antara dua permukaan sendi seperti di hujung jari, lutut, pinggul serta belakang tengkuk.

Meskipun masalah osteoarthritis ini sering berlaku dalam kalangan warga emas, ia juga boleh dialami oleh mereka yang pernah mengalami trauma akibat kecederaan.

Selain proses penuaan yang tidak dapat dielakkan, trauma kecederaan dan obesiti, individu yang lahir dengan masalah tulang rawan semula jadi turut berisiko mengalami masalah ini.

Kehausan tulang rawan mengakibatkan pergeseran antara dua tulang hingga menimbulkan rasa sakit, bengkak dan hilang fungsi sendi.

Perubatan Geriatrik, Prof Tan Maw Pin berkata, penyakit yang berkaitan dengan haus dan luka sendi ini bukan sebahagian proses penuaan yang normal.

“Secara keseluruhannya, penduduk Malaysia tahu mengenai osteoarthritis namun tidak memahami ia sebagai penyakit.

“Ramai tidak menyedari mereka mempunyai osteoarthritis walaupun sering mengalami masalah sakit sendi. Justeru, mereka tidak mendapatkan bantuan atau meminta bantuan terlalu lewat dan keadaan penyakit mereka sudah teruk.

“Sekiranya mereka sudah berada pada tahap tidak boleh berjalan, satu-satunya rawatan adalah pembedahan yang sememangnya berkesan tetapi mahal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Klinikal dan Ekonomi Osteoporosis dan Osteoarthritis Eropah (ESCEO), Prof Jean-Yves Reginster berkata, osteoarthritis adalah penyakit yang boleh dicegah pada peringkat awal.

“Pencegahan osteoarthritis ini boleh dilakukan dengan amalan gaya hidup sihat dan antara usaha penting termasuklah bersenam secara teratur.

“Antara senaman baik untuk lutut adalah berenang, berbasikal dan berjalan tanpa perlu terlalu ekstrem.

“Manakala dari segi pemakanan pula, kita hendaklah mengambil makanan sihat dan seimbang bagi mengelakkan masalah berat badan berlebihan.

“Kegemukan boleh menyebabkan lebih tekanan pada sendi terutama lutut.

“Dari aspek perubatan, terdapat ubatan mengurangkan gejala osteoarthritis yang disarankan ESCEO mengandungi kristal glukosamine sulfat.

“Sebatian ini diambil pada peringkat awal untuk mengelakkan perkembangan penyakit ini.

“Pengurusan osteoartritis ini merangkumi kedua-dua elemen, farmakologi (ubatan) dan bukan farmakologi.

“Namun begitu, tidak semua produk mengandungi glukosamine sama dan terbukti secara klinikal selamat.

“Seperti produk yang dipanggil farmaseutikal kristal glukosamine sulfat (pCGS), ia mempunyai kesan mengubah suai struktur sendi dan mengurangkan keperluan ubatan yang melegakan kesakitan lain.

“Ia mempunyai struktur stabil dan kekal di dalam badan berjam lamanya hingga membantu menghalang degradasi sendi,” jelasnya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:01 AM