Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BELUM mendirikan rumah tangga, tetapi ramai lelaki muda menganggap diri mereka berdepan masalah mati pucuk.

Ini mendorong golongan berkenaan berjumpa pakar kesihatan kesuburan lelaki kerana panik dengan masalah tidak pasti itu yang menghantui mereka.

Lebih membimbangkan apabila ada yang mengambil jalan pintas dengan memakan ubat kononnya bagi menguatkan tenaga batin tanpa memikirkan kesan buruk untuk jangka panjang.

Itu senario dirasai ramai lelaki muda sejak kebelakangan ini dek kemaruk memiliki kekuatan tenaga batin luar biasa.

Perunding Klinikal Andrologi Damai Service Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Ismail Mohd Tambi berkata, semakin ramai lelaki keliru definisi mati pucuk menyebabkan mereka gagal memahami masalah ini.

“Mati pucuk ialah ketidakupayaan lelaki mencapai ketegangan zakar yang mencukupi untuk melakukan tusukan ke dalam faraj semasa mengadakan hubungan kelamin bersama pasangan.

“Ia terjadi berkemungkinan disebabkan masalah kelemahan pada otot kemut dan kemasukan darah yang banyak pada zakar. Jadi, zakar tidak boleh mencapai tahap ereksi yang sepatutnya,” katanya.

LAKUKAN banyak pergerakan fizikal bagi melancarkan aliran darah.
LAKUKAN banyak pergerakan fizikal bagi melancarkan aliran darah.

Beliau berkata, sebaliknya, jika zakar kuat, tetapi tidak mempunyai daya tahan, maka ia tidak boleh kekal ereksi.

Oleh itu, otot kemut perlu padat dan tahan lama untuk mengekalkan ereksi berkenaan.

Kajian menunjukkan, kebiasaannya masalah mati pucuk berlaku kepada lelaki ketika berusia 40 tahun dan bertambah teruk apabila usia meningkat.

Kajian lain pula mendedahkan, satu daripada lapan lelaki di Malaysia mengalami masalah mati pucuk.

Dr Mohd Ismail berkata, penyebab utama masalah mati pucuk ialah menghidap penyakit yang menghalang pengaliran darah ke zakar seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, masalah saraf dan tahap kolesterol tinggi.

“Penyakit ini menyebabkan zakar lemah dan tidak berupaya mencapai ereksi mencukupi untuk melakukan tusukan ke faraj.

“Tentunya masalah ini memberi tekanan emosi kepada lelaki lalu mendorongnya mengambil ubat menguatkan tenaga batin yang dijual secara berleluasa dalam pasaran,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan ubat kuat ini mengandungi bahan aktif iaitu racun terkawal yang mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan.

“Tiada halangan kepada lelaki sudah berkahwin mengambil ubat ini untuk meningkatkan prestasi ketika melakukan hubungan kelamin bersama pasangan.

“Namun, tidak digalakkan bagi lelaki bujang mengambilnya kerana ia boleh melemahkan fungsi sebenar zakar terutama selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

PENGAMBILAN ubat kuat tidak disarankan kepada lelaki bujang.
PENGAMBILAN ubat kuat tidak disarankan kepada lelaki bujang.

Menurut Dr Mohd Ismail, tidak dinafikan ada yang pertama kali gagal melakukan hubungan seks kerana gemuruh disebabkan baru mendirikan rumah tangga.

“Dalam keadaan ini juga, mereka tidak dapat mengekalkan ereksi dan meneruskan tusukan semasa melakukan hubungan intim bersama pasangan.

“Mereka yang melalui situasi ini disebabkan masalah psikologi,” katanya.

Jelasnya, satu daripada punca yang melemahkan fungsi alat sulit ialah kurang melakukan pergerakan fizikal kerana faktor bekerja di pejabat dan memandu kenderaan dalam tempoh lama.

“Sebahagian besar pesakit yang datang berjumpa saya kerana berdepan masalah ini ialah pemandu teksi, bas, lori dan penunggang motosikal.

“Oleh itu, lelaki dan perempuan perlu melakukan banyak pergerakan fizikal bagi melancarkan aliran darah untuk menguatkan otot di bahagian alat sulit.

“Senaman ialah satu kaedah perubatan terbaik bagi pemulihan penyakit kronik lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 7:00 AM
SITUASI boleh gugat keharmonian rumah tangga.
SITUASI boleh gugat keharmonian rumah tangga.
Digital NSTP Subscribe