Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah.
BERNAMA

KANSER kolorektal merupakan kanser kedua paling kerap berlaku di Malaysia iaitu 13.5 peratus selepas kanser payudara (19 peratus), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016 juga menunjukkan kanser itu paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (16.9 peratus) dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (10.7 peratus).

Malah, laporan itu merekodkan lebih 70 peratus kanser kolorektal dikesan berada pada tahap tiga serta empat iaitu masing-masing 72.4 peratus dalam kalangan lelaki dan 73.1 peratus dalam kalangan wanita.

“Risiko kejadian kanser kolorektal meningkat dengan pertambahan usia, pernah disahkan mempunyai kolon polip, menghidap radang usus dan mempunyai sejarah keluarga yang disahkan menghidap kanser kolorektal.

“Selain itu, amalan gaya hidup sedentari, tidak aktif dan kurang pengambilan serat, sayur-sayuran dan buah-buahan kerap dikaitkan sebagai antara faktor yang meningkatkan risiko kejadian kanser kolorektal,” katanya dalam kenyataan sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal Mac 2020, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata kanser kolorektal boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat serta pengesanan awal melalui ujian saringan.

Bagi pengesanan awal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan Saringan Kanser Kolorektal secara percuma menggunakan immunological Feacal Occult Blood Test (iFOBT) di klinik kesihatan dan diikuti dengan ujian kolonoskopi di hospital.

Di samping itu, beliau menasihati orang ramai adalah penting mengenali tanda dan gejala awal kanser kolorektal seperti kehadiran darah dalam najis, perubahan pola pembuangan najis (sembelit berselang dengan cirit) serta sakit perut berpanjangan.

Selain itu, rasa letih dan lesu serta hilang berat badan juga tanda amaran kanser.

Tanda dan gejala ini mungkin tidak wujud pada peringkat awal.

“Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal jatuh pada bulan Mac setiap tahun. Sempena bulan kesedaran ini, KKM menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah kanser kolorektal, jalani ujian saringan sekiranya tidak mempunyai tanda dan gejala serta berusia antara 50 hingga 75 tahun, kenali tanda dan gejala awal kanser kolorektal serta dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut dengan segera.

“Jangan berlengah. Kesihatan anda adalah tanggungjawab anda. Jangan jadikan diri anda sebahagian daripada statistik pesakit kanser kolorektal. Anda boleh melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 7:12 PM
Digital NSTP Subscribe