KAIN buruk mengelap kabinet tidak boleh digunakan untuk mengelap meja makan. - FOTO Google
KAIN buruk mengelap kabinet tidak boleh digunakan untuk mengelap meja makan. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KAIN buruk adalah keperluan penting di dapur yang berfungsi memastikan persekitaran dapur dan peralatan memasak dalam keadaan bersih.

Penggunaannya juga praktikal berbanding tisu dapur kerana lebih efektif selain menjimatkan kos.

Namun penjagaan kain buruk perlu dititikberatkan bagi mengelak sebarang jangkitan kuman yang boleh memudaratkan kesihatan berpunca daripada kain berkenaan yang dicemari kuman.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S Malar Santhi berkata, terdapat lima cara penggunaan kain buruk yang betul dan pengguna boleh mengamalkannya bagi menjamin kesihatan diri serta keluarga.

Beliau berkata, cara pertama ialah mengkategorikan setiap kain buruk mengikut kawasan dan tujuan penggunaannya.

"Kedua, mengasingkan penggunaan kain buruk di dalam dan luar dapur. Begitu juga dengan kain yang digunakan untuk membersihkan dalam rumah. Ia tidak boleh digunakan bagi pembersihan kawasan luar atau persekitaran rumah.

"Cara ketiga adalah mengasingkan kain buruk mengikut warna dan jenis kain," katanya.

Menurut beliau, seterusnya ialah mengetahui tarikh kain buruk itu digunakan bagi menetapkan tempoh penggunaannya sebelum dilupuskan.

CUCI kain buruk dengan kerap menggunakan sabun nyah kuman. - FOTO Google
CUCI kain buruk dengan kerap menggunakan sabun nyah kuman. - FOTO Google

"Cara terakhir ialah mencuci kain buruk sekurang-kurangnya sekali sehari atau sebaik-baiknya selepas digunakan dengan serbuk pencuci yang mempunyai fungsi nyah kuman," katanya.

Menyentuh tempoh tertentu penggunaan sehelai kain buruk, Dr S Malar Santhi berkata, tiada kajian saintifik yang menetapkan tempoh penggunaannya.

Bagaimanapun, pengguna pasti sedar kain buruk perlu dilupuskan berdasarkan dua perkara iaitu perubahan warna daripada putih kepada kuning.

"Satu lagi ialah keadaan kain ini yang sudah terkoyak dan menjadi lebih nipis daripada asal.

"Ini kerana perubahan permukaan atau warna kain itu adalah ukuran paling mudah yang menunjukkan fungsi kain berkenaan tidak lagi sesuai digunakan," katanya.

Pengguna juga boleh menetapkan kira-kira tiga hingga 12 bulan sebagai jangka hayat bagi sehelai kain buruk, ia bergantung kepada kekerapan penggunaan dan jenis kain.

"Sebagai pegawai perubatan dan seorang ibu, saya membuang kain buruk dan menggantikannya dengan yang baru sekiranya mendapati ahli keluarga mengalami muntah serta cirit-birit.

"Saya bimbang jangkitan penyakit itu berpunca daripada kain terbabit yang tercemar.

KAIN buruk yang lembap menjadi sarang pembiakan bakteria. - FOTO Google
KAIN buruk yang lembap menjadi sarang pembiakan bakteria. - FOTO Google

"Ada kemungkinan ia akibat jangkitan daripada sumber lain, tetapi terkena pada kain buruk atau papan pemotong," katanya.

Dr S Malar Santhi berkata, pengguna dinasihati tidak menggunakan semula kain buruk lembap yang dikeringkan di ampaian tanpa dicuci terlebih dahulu kerana tindakan itu salah.

"Kain buruk yang lembap menjadi tempat pembiakan kuman. Kain buruk digunakan untuk mengelap dan membersihkan kotoran serta kuman. Ia perlu dinyah kuman sebelum digunakan semula.

"Rendam kain buruk dalam cecair peluntur sekurang-kurangnya lima hingga tujuh minit selepas digunakan dan kemudian keringkan," katanya.

Katanya, bagi wanita berkerjaya, sudah tentu tidak mempunyai masa untuk mencuci banyak kain buruk.

"Mereka boleh menggunakan tisu dapur sebagai alternatif mengurangkan penggunaan kain buruk," katanya.

KAIN buruk dijemur di bawah matahari. - FOTO Google
KAIN buruk dijemur di bawah matahari. - FOTO Google

SETIAP kain buruk perlu dikategorikan mengikut kawasan dan tujuan penggunaan. - FOTO Google
SETIAP kain buruk perlu dikategorikan mengikut kawasan dan tujuan penggunaan. - FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 7:00 AM