TANDA awal boleh dikenal pasti ialah anggota badan lemah atau terlalu keras.
TANDA awal boleh dikenal pasti ialah anggota badan lemah atau terlalu keras.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


HANYA 445,006 kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berdaftar di Malaysia iaitu kira-kira 1.6 peratus daripada 28.3 juta penduduk negara ini.

Jurupulih Perubatan Anggota (Fisioterapi) Flex Physiotherapy Centre, Norshafiqah Mat Rabi berkata, kanak-kanak istimewa tergolong dalam kumpulan OKU termasuk individu yang mempunyai kecacatan fizikal, mental, penglihatan, pendengaran, Palsi Serebrum, autisme, sindrom Down, masalah hiperaktif, kekurangan tumpuan (ADHD) dan masalah pembelajaran.

Menurutnya, Palsi Serebrum ialah penyakit apabila berlaku kerosakan otak dan menyebabkan kebolehan mengawal koordinasi dan pergerakan otot dalam badan pesakit terjejas.

"Kerosakan otak berlaku ketika kanak-kanak dalam kandungan, semasa dia dilahirkan atau beberapa tahun pertama selepas dilahirkan.

"Kemalangan, penderaan, kecuaian, jangkitan, kecederaan dan beberapa faktor risiko lain boleh menyebabkan berlaku Palsi Serebrum," katanya.

Beliau berkata, Palsi Serebrum berlaku kepada seorang hingga dua orang daripada setiap 2,000 bayi dilahirkan dan 10 kali lebih kerap pada bayi yang dilahirkan pramatang serta bayi kurang berat badan.

"Kerosakan yang berlaku pada otak terus kekal, tetapi ia tidak akan bertambah teruk. Ini bermakna kanak-kanak Palsi Serebrum akan mengalami ketidakupayaan sepanjang hayat mereka.

"Kira-kira 87 peratus kanak-kanak Palsi Serebrum dapat hidup hingga dewasa dengan kadar purata hayat 30 tahun," katanya.

Norshafiqah berkata, tahap ketidakupayaan individu yang mengalami Palsi Serebrum adalah berbeza dengan individu lain.

SENAMAN meningkatkan kekuatan otot kanak-kanak Palsi Serebrum.
SENAMAN meningkatkan kekuatan otot kanak-kanak Palsi Serebrum.

Ini kerana tahap itu (ketidakupayaan) boleh dikategorikan daripada minimum hingga sangat teruk.

"Biasanya, individu yang mengalami Palsi Serebrum tahap minimum ini, menjalani kehidupan harian seperti biasa tanpa sebarang bantuan. Sebaliknya, individu dikategorikan tahap sangat teruk pula memerlukan penjagaan sepanjang hari, contoh makan, minum dan bergerak.

"Terdapat tiga jenis Palsi Serebrum iaitu spastik, athetosis dan ataxia. Spastik ialah mengalami ketegangan otot yang teruk.

"Athetosis pula mengalami pergerakan yang berulang-ulang, tidak terkawal terutama di tangan dan kaki.

"Terakhir ialah ataxia iaitu menghadapi masalah koordinasi dan keseimbangan badan," katanya.

Menurut beliau, bayi yang mengalami Palsi Serebrum biasanya tidak dapat dikenal pasti semasa dilahirkan.

Namun, ia mula menunjukkan tanda penyakit itu dalam tempoh 18 bulan pertama dilahirkan sehingga berumur tiga tahun.

"Bayi yang mengalami Palsi Serebrum tahap teruk biasanya dapat didiagnosis apabila berusia kira-kira tiga bulan," katanya.

Sementara itu, Jurupulih Perubatan Anggota (Fisioterapi) Flex Physiotherapy Centre, Wan Zahid Wan Zulkifli berkata, tanda awal Palsi Serebrum yang boleh dikenal pasti ialah anggota badan lemah (ketegangan otot terlalu rendah) atau terlalu keras (ketegangan otot terlalu tinggi).

"Selain itu, tidak mencapai tahap perkembangan mengikut masa yang diramalkan seperti lambat belajar berguling, mengangkat kepala, duduk, merangkak, berdiri, berjalan, menggenggam sesuatu, senyum dan sebagainya.

"Kanak-kanak Palsi Serebrum juga akan mengalami masalah lain seperti epilepsi, pernafasan, penglihatan, pendengaran dan pertuturan.

"Seterusnya, mengalami kesukaran menghisap dan menelan minuman, menangis dengan suara agak lemah atau terlalu kuat," katanya.

Beliau berkata, tanda awal yang ditunjukkan bayi dan kanak-kanak Palsi Serebrum adalah berbeza antara satu sama lain.

Oleh itu, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak mengalami perkembangan lewat atau menunjukkan tanda awal penyakit berkenaan perlu membawa anak mereka berjumpa doktor awal untuk pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 6:40 AM