Pilihlah produk probiotik yang terbaik dan tulen untuk keluarga anda.
Pilihlah produk probiotik yang terbaik dan tulen untuk keluarga anda.
Dr Tee E Siong (Pengerusi Program Pendidikan Probiotik Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia)

SEKIRANYA anda ke pasar raya, adakah anda perasan bahawa kini semakin banyak produk probiotik yang ditawarkan berbanding beberapa tahun lalu? Bagaimana anda boleh memastikan produk yang mana pilihan terbaik untuk keluarga anda? 

Pasaran probiotik telah mengalami peningkatan yang mendadak sejak kebelakangan ini.  Kepelbagaian produk mengandungi kultur probiotik, seperti yogurt dan minuman susu berkultur, serta suplemen probiotik kini semakin banyak di pasaran. 

Banyak bukti dalam kajian probiotik yang menunjukkan manfaat bakteria 'baik' untuk usus serta kesihatan yang menyeluruh dan ini mampu meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap probiotik dan popularitinya yang semakin menaik.

Melihat kepada situasi ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan satu peraturan makanan berkenaan produk probiotik pada tahun 2018 bagi menjaga dan melindungi kebajikan pengguna. 

Peraturan ini dikenali sebagai Peraturan 26A dalam Peraturan-peraturan Makanan Malaysia 1985, menyediakan definisi probiotik dari segi undang-undang serta mengawal jenis kultur hidup/bakteria bermanfaat yang boleh digunakan sebagai probiotik oleh pengeluar makanan. Undang-undang ini menyatakan dengan jelas apa itu produk probiotik yang sah.

Tahukah anda?

Peraturan 26A telah memberikan definisi jelas untuk kultur probiotik, iaitu "mikroorganisma hidup yang boleh memberikan manfaat kesihatan kepada tubuh manusia sekiranya diambil dalam kuantiti yang mencukupi."

Bagi mendapatkan manfaat kesihatan daripada probiotik, anda perlu terlebih dahulu menentukan kualiti dan kesahihan produk. 

Berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dalam peraturan makanan, terdapat tiga perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh para pengguna apabila memilih produk probiotik di pasaran. Ikuti tips dalam artikel ini untuk membuat pilihan yang bijak.

1. Pastikan produk tersebut mengandungi kultur probiotik yang dibenarkan

Antara produk yang mungkin mengandungi kultur probiotik tambahan ialah minuman susu berkultur, produk susu difermentasi, yogurt, krim berkultur atau krim masam. Bagaimanapun, tahukah anda bahawa tidaklah semua kultur bakteria yang boleh ditambah ke dalam makanan dan minuman. 

Hanya strain probiotik tertentu yang telah dinilai dan diluluskan oleh KKM dari segi keselamatan dan manfaat kesihatan kepada manusia yang boleh ditambah ke dalam produk makanan. Prosedur ketat ini adalah bertujuan untuk melindungi hak pengguna.

Sehingga kini, terdapat 32 strain probiotik yang dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam makanan dan minuman oleh pengeluar makanan. Kesemua 32 strain yang dibenarkan adalah daripada genus Bifidobacterium dan Lactobacillus. Jenis kultur dalam produk perlu dinyatakan pada label, lengkap dengan genus, spesis dan strain (lihat seksyen "Baca label produk..." di bawah).

2. Pastikan produk tersebut mengandungi "organisma hidup"

Produk probiotik perlu mengandungi kultur bakteria hidup agar ia dapat memberikan manfaat kesihatan kepada pengguna. Ia juga perlu terus kekal hidup sepanjang tempoh simpanan produk.

Apabila memilih makanan yang mengandungi probiotik, anda perlu pastikan terdapat perkataan "kultur hidup" atau "mengandungi mikroorganisma hidup" pada bungkusan. Ini membantu anda mengenal pasti produk probiotik yang sah, kerana hanya produk yang memenuhi syarat probiotik dibenarkan untuk menggunakan label sebegitu.

3. Produk tersebut perlu mengandungi kultur bakteria dalam "jumlah yang mencukupi"

Ini merupakan bahagian penting daripada syarat. Mana-mana produk cuma boleh diperakui sebagai makanan atau produk probiotik jika ia mengandungi bakteria hidup (aktif) dalam jumlah yang mencukupi sepanjang tempoh simpanan.

Produk probiotik yang sah perlu mengandungi sekurang-kurangnya 106 (sejuta) cfu/ml atau 106 cfu/g sel bakteria hidup kerana ini merupakan bilangan minimum yang diperlukan untuk memperolehi manfaat kesihatan probiotik.

Bilangan probiotik hidup (aktif) diukur menggunakan unit pembentuk koloni (colony forming unit, CFU), yang menunjukkan bilangan sel bakteria dalam produk tersebut. Nombor ini akan ditulis pada label/bungkusan produk probiotik, contohnya "107 cfu/ml" or "107 cfu/g".

4. Baca label produk untuk mengenal pasti produk yang diakui

Bagi mengenalpasti produk probiotik yang tulen dan memenuhi ketiga-tiga syarat di atas, jangan lupa untuk membaca label pada produk. Berikut merupakan contoh yang menunjukkan bungkusan makanan probiotik yang dilabel dengan ciri-ciri penting yang perlu diperhatikan apabila membeli makanan/minuman probiotik.

Image

Anda mungkin menemui beberapa label produk probiotik dengan akuan kesihatan seperti "Kultur probiotik membantu menjaga kesihatan usus" atau akuan lain dengan makna serupa. Akuan kesihatan yang umum seperti ini dibenarkan untuk makanan dengan probiotik tambahan. Namun, awasi produk probiotik yang mendakwa boleh mencegah penyakit tertentu atau masalah kesihatan, kerana undang-undang tidak membenarkannya.

Bakteria dan probiotik bermanfaat

Beberapa makanan yang difermentasi, seperti tempe kegemaran anda, kimchi atau yogurt buatan sendiri, boleh menjadi sumber bakteria 'baik'. Namun, makanan tersebut mungkin tidak memenuhi syarat untuk digelar sebagai makanan probiotik dan disebabkan itu dilarang dari menggunakan label "probiotik". Walau bagaimanapun, makanan tersebut adalah bermanfaat untuk diambil kerana mengandungi bakteria yang baik.

Pelbagai jenama dan jenis produk probiotik tersedia di pasaran dan ini membolehkan kita memilih produk yang manakah yang paling sesuai dengan keperluan dan citarasa kita. Peraturan probiotik akan memastikan bahawa kultur probiotik di dalam produk-produk ini adalah selamat untuk kegunaan kita. 

Malah dengan berpandukan maklumat daripada artikel ini, anda boleh membuat pilihan bijak dalam membeli produk probiotik yang tulen, agar anda boleh menjadikannya sebahagian daripada diet sihat anda dan mendapat manfaat daripadanya.

Dapatkan maklumat profesional daripada Program Pendidikan Probiotik anjuran Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) (http://nutriweb.org.my/probiotics/).

Artikel ini disumbangkan oleh Program Pendidikan Probiotik (PEP) oleh NSM dan disokong oleh VITAGEN Malaysia. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang aktiviti PEP, lawati www.nutriweb.org.my/probiotics.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 8:19 AM