CHUN Yong (kiri) sedang memberi penerangan kepada anak buah.
Syafiq Aznan


ASPEK kepantasan masih perlu dipertingkatkan oleh skuad futsal lelaki negara menjelang sepak mula acara itu di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, 18 Ogos ini.

Pengendalinya Chiew Chun Yong berkata, aspek fizikal dan kecergasan sudah tidak menjadi masalah buat anak buahnya memandangkan dia mengakui berpuas hati dengan kekuatan fizikal dan kecergasan yang dilihat berjaya mencapai tahap yang diinginkan.

“Apa yang menjadi sedikit kerisauan kepada saya adalah daripada aspek kepantasan kerana ia masih lagi belum menepati piawaian yang saya mahukan.

“Aspek ini amat penting kepada taktikal pasukan kerana fokus utama serangan adalah menerusi kepantasan, jadi pemain perlu bekerja lebih keras dalam usaha memantapkan lagi aspek itu memandangkan kita akan mengharungi perlawanan dalam tiga hari lagi.

“Bagaimanapun saya optimis kelemahan ini dapat diperbaiki dan tempoh tiga hari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti permainan sebelum sepak mula nanti,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dia sudah memiliki tiga kelompok pemain berbeza yang boleh diturunkan mengikut situasi yang akan dihadapi pada perlawanan kelak.

“Walaupun sudah ada kelompok bagi pemain utama, kita tidak boleh kekal dengan kelompok pemain yang sama dalam futsal, jadi semua pemain perlu sentiasa bersedia untuk diturunkan nanti.

“Ini kerana taktikal saya merangkumi tiga kelompok pemain dan dengan hanya rehat sehari selepas perlawanan sebelum mengharungi perlawanan seterusnya, ini satu cabaran yang besar. Kita perlu menggunakan semua pemain yang ada,” katanya.

Anak buah Chun Yong akan membuka kempen dengan bertemu Myanmar pada 18 Ogos ini sebelum menentang Vietnam (20 Ogos), Indonesia (22 Ogos) dan Thailand (27 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 6:09 PM