Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walaupun tiada pengumuman berkaitan peruntukan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam Belanjawan 2021, Kementerian Belia dan Sukan tetap memberi jaminan untuk menyediakan dana bantuan kepada pertubuhan terbabit.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan peruntukan kewangan perlu disediakan kepada Yakeb bagi memastikan kebajikan bekas atlet terjamin dan terpelihara.

Beliau berkata, sebelum ini KBS sudah menyalurkan RM250,000 kepada Yakeb pada 2018 bagi disalurkan kepada bekas atlet yang memerlukan.

"RM600,000 disalurkan pada 2020 melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) dan Jawatankuasa Pemberian Bantuan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JKPB) . "Kementerian Kewangan juga sudah menyalurkan sebanyak RM3 juta kepada Yakeb bagi tahun 2019. "Sebagai makluman juga, bantuan kewangan kepada Yakeb disenaraikan sebagai salah satu fokus di bawah inisiatif atau projek KBS bagi tahun 2021," katanya.

Beliau berkata ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Selain itu, beliau juga berkata, KBS sudah menyediakan sebanyak RM10 juta melalui Inisiatif Prihatin Sukan (IPS) 2020 yang dilancarkan pada Jun lalu

"Bantuan itu bagi membantu meringankan beban ekonomi yang dihadapi oleh persatuan sukan yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu.

"Sebanyak 1,369 kelulusan diberikan termasuk 160 membabitkan bantuan pengurusan sukan kepada persatuan sukan kebangsaan dan 41,028 pula merangkumi bantuan pengurusan sukan kepada persatuan sukan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 10:28 PM