AKSI Joseph (kiri) ketika menentang  Penjara FC dalam saingan Liga M3 2019 di Stadium Negeri, Kuching.
AKSI Joseph (kiri) ketika menentang Penjara FC dalam saingan Liga M3 2019 di Stadium Negeri, Kuching.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas puas berkelana di Semenanjung dengan menyarung jersi beberapa pasukan sejak 12 tahun lalu, kini bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie berhasrat untuk terus kekal bermain buat kelab di negeri kelahirannya Sarawak, sehingga menggantung but.

Joseph, 33, sebelum ini pernah menyertai Terengganu FC, Pahang dan Selangor sebelum memutuskan kembali ke Sarawak dengan bermain bersama kelab Kuching FA dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Jelasnya, walaupun Kuching FA masih lagi baru dalam saingan Liga Perdana, namun kejayaan mereka untuk berada di tangga keempat liga adalah pencapaian yang cukup berharga buat dirinya dan rakan sepasukan.

Justeru, Joseph percaya dia membuat keputusan yang tepat untuk terus kekal bersama Kuching dan tidak mustahil akan terus menabur bakti bersama pasukan di negeri kelahiran itu sehingga kariernya berakhir.

"Bagi saya, biarlah saya kekal di negeri saya sendiri dan saya tidak mahu fikir untuk berhijrah ke mana-mana, mungkin sampai saya habis karier. Untuk saya bersara, mungkin lambat lagi, bukan dalam tempoh terdekat, cuma saya rasa saya akan terus kekal di negeri saya sahaja dan ingin sentiasa membantu Kuching FA untuk terus meningkat."

''Tahun ini sebenarnya memang amat mencabar untuk kita semua dengan isu Covid-19, tetapi saya berbangga dengan pasukan saya, walaupun hadapi macam-macam, tapi kami mampu berada di tangga keempat liga.

"Mungkin suatu hari nanti, tiada yang mustahil untuk kita tengok pasukan ini layak ke Liga Super pula dan saya mahu saya menjadi sebahagian daripada sejarah itu nanti", jelasnya.

Apa yang pasti, dia percaya Kuching FA akan lebih matang untuk sentiasa bersedia berdepan dengan segala situasi akan datang sekiranya wabak Covid-19 ini belum berakhir.

Joseph sebelum ini membuat keputusan beraksi bersama Kuching FA pada musim lalu dalam saingan Liga M3 sehingga pasukan itu layak beraksi di Liga Perdana buat kali pertama, musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 12:22 PM