KIRADECH dijangkiti Covid-19 bulan lalu.
KIRADECH dijangkiti Covid-19 bulan lalu.
AFP

Mexico City: Bintang golf Thailand, Kiradech Aphibarnrat kembali ke Jelajah PGA dengan menyertai Mayakoba Classic yang bermula esok selepas positif Covid-19 bulan lalu.

Kiradech yang dijangkiti virus pada 11 November meraih penamat terbaik tahun ini 10 hari sebelumnya apabila berkongsi tempat ke-11 di Bermuda tetapi dia yang menduduki ranking 246 dunia tidak beraksi sejak itu.

"Saya negatif sekarang tetapi masih lagi terasa sakit. Saya demam enam hari dan berasa lemah. Saya pulih selepas 10 hari tetapi saya rasa agak keletihan.

"Saya haya mahu beraksi di sini kerana ia kejohanan terakhir sebelum saya pulang."

Pemain berusia 31 tahun dari Bangkok itu berharap penampilan di Playa del Carmen, Mexico dapat meningkatkan persembahannya selepas berkongsi tempat ketiga pada 2019 dan kelima (2018) di Kejohanan WGC Mexico di Mexico City.

Kiradech menghabiskan tempoh kuarantin akibat Covid-19 di Orlando sebelum terbang ke Mexico, Ahad lalu. Dia menghabiskan dua jam di 'driving range' pada hari pertama dan empat jam lagi selepas itu.

Dia turut menghargai sumbangan jurulatih, Mike Walker selepas mempamerkan prestasi mantap di Bermuda.

"Terasa seperti saya memukul bola dengan baik,'' katanya. "Saya tak boleh bercakap banyak sekarang, hanya keluar dan beraksi sambil berharap dapat mara ke pusingan keempat.''

Bekas pemain nombor satu Jelajah Asia itu akan pulang selepas Mayakoba untuk menghabiskan Tahun Baru bersama keluarga sebelum merancang meneruskan kembali dengan dua Jelajah Eropah di Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 2:13 PM