BANGUNAN bentuk jata JDT mercu tanda baharu Harimau Selatan. FOTO FB Johor Southern Tigers
BANGUNAN bentuk jata JDT mercu tanda baharu Harimau Selatan. FOTO FB Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bangunan berbentuk jata kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menjadi mercu tanda baharu skuad Harimau Selatan yang akan dijadikan ibu pejabat pasukan itu.

Reka bentuk bangunan itu dianggap unik kerana jarang kelab bola sepak dunia mengabadikan jata atau logo kelab sebagai corak utama.

Malah, dalam bangunan itu juga akan dibina padang rumput tiruan tertutup sekali gus melengkapkan rekaan moden bangunan pejabat JDT itu.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers (JST), pusat latihan berkenaan turut dilengkapi lapan padang di sekeliling bangunan utama termasuk sebuah stadium mini.

"Pusat Latihan JDT baharu yang bakal dibangunkan bersebelahan dengan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri akan memperlihatkan sebuah bangunan dua tingkat yang berbentuk jata Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim yang dikelilingi dengan beberapa padang bola sepak 'outdoor'.

"Bangunan itu akan menjadi ibu pejabat pusat latihan dan turut dilengkapi kemudahan fasiliti seperti gimnasium, ruang pejabat, auditorium, pusat pemulihan, kolam renang, kafeteria, ruang makan dan padang rumput tiruan 'indoor'," kata kenyataan itu.

Sebaik kemudahan itu siap, semua pasukan JDT dari peringkat junior hingga senior akan ditempatkan di situ.

"Pusat Latihan JDT baharu ini yang akan menempatkan pasukan senior dan junior JDT, turut mempunyai stadium mini, asrama akademi belia, dua padang sintetik 'outdoor' dan beberapa padang bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 5:24 PM