GAMBAR suspek ini dibekalkan oleh Polis Diraja Malaysia.
Siraj Mohd Zaini


POLIS memburu suspek kes pecah amanah yang bertindak melarikan kereta polis dalam kejadian di Taipan USJ 10, Subang Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, berkata suspek berusia 32 tahun itu ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Subang Jaya, di Kota Bharu, Kelantan, petang semalam.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan pulang ke Subang Jaya dengan Proton Preve bersama pegawai dan dua anggota, suspek mengadu sakit perut dan muntah dalam kereta.

"Kereta polis itu kemudian berhenti di Taipan, USJ10 untuk singgah di farmasi untuk membeli ubat dan makanan suspek, pada kira-kira 9 malam.

"Anggota kemudian pergi ke farmasi manakala seorang lagi anggota ambil tisu dan kain untuk lap muntah di but kereta.

“Ketika itulah suspek yang tangannya bergari pergi ke tempat pemandu sebelum membawa lari kenderaan polis itu," katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Abdul Samah berkata, kereta polis itu kemudiannya dijumpai di tepi jalan Persiaran Kewajipan, USJ5, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, pada 10.35 malam.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk aspek kecuaian anggota polis.

Katanya, polis kini giat memburu suspek.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi bilik gerakan IPD Subang Jaya di 03-78627100 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 3:49 PM