GAMBAR ini adalah ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


KEDAI emas di pusat beli-belah terkenal di Serdang, disamun empat lelaki bersenjatakan pistol, 7.30 malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Lee Wai Leong, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengawal keselamatan premis berkenaan yang memaklumkan berhubung kejadian itu.

"Berdasarkan keterangan saksi, keempat-empat suspek menyerbu masuk ke premis berkenaan dengan dua daripada mereka membawa pistol.

"Seorang daripada suspek mengacu pistol ke arah pengawal keselamatan itu manakala rakannya memecahkan meja pameran sebelum melarikan beberapa dulang barang kemas," katanya.

Katanya, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan untuk mengenal pasti identiti suspek.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti jumlah kerugian dialami.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 11:12 PM