Faizal sempat berswafoto ketika pertemuan mereka di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang kelmarin. FOTO ihsan Faizal
Mohd Hanafis Abd Haris


JAGA pemakanan dan jangan hisap rokok. Itu antara pesanan doktor wanita dikenali sebagai Koh Siew Ling terhadap Faizal Hasbullah Alimin, 20, ketika pertemuan mereka di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang kelmarin.

Mereka akhirnya bertemu selepas enam hari Faizal ditempatkan di HKL berikutan terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Genting Sempah, 11.35 pagi Ahad lalu.

"Terkejut juga apabila seorang wanita cantik secara tiba-tiba datang menghampiri saya. Mulanya saya tidak cam muka doktor terbabit, namun bila dekat barulah teringat insan yang bantu saya ketika sedang menanggung sakit Ahad lalu," katanya.

Menurut Faizal, sepanjang tempoh pertemuan itu, doktor terbabit banyak memberikan nasihat dan kata-kata semangat supaya dirinya kembali sihat.

"Dia (doktor) menyuruh saya supaya kurangkan bergerak terutamanya pada bahagian tangan kanan yang patah. Selain itu dia juga menasihatkan saya jaga permakanan dan jangan hisap rokok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, dia memang terharu dengan keprihatinan doktor terbabit dan tidak menjangkakan mereka dapat bertemu sekali lagi.

"Alhamdulillah hajat saya sudah tertunai. Apa yang berlaku terhadap saya membuktikan kepada masyarakat luar, masih lagi ramai insan di luar sana berhati mulia biarpun tiada pertalian darah. "Mungkin ada hikmahnya juga kisah ini tular di laman sosial," katanya yang masih mendapatkan rawatan di HKL.

Sementara itu Siew Ling ketika dihubungi berkata, dia terharu dengan penerimaan dan pujian orang ramai terhadap tindakannya membantu Faizal Ahad lalu.

"Saya ucap terima kasih dan bersyukur atas segala pujian daripada semua pihak," katanya.

Ahad lalu, gambar Faizal dibantu seorang doktor wanita selepas terbabit dalam kemalangan, menjadi tular selepas abang saudaranya Muhammad Aizuddin, 21, memuat naik gambar terbabit di FB keesokan harinya.

Pengguna FB memuji tindakan wanita terbabit yang membantu Faizal biarpun tiada pertalian darah dan berlainan bangsa.

Berita terdahulu:

http://bit.ly/2rQgsG6

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 10:38 PM