Asrizal Aris


PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Edisi Khas Ramadan 2017 di Desa Paya Mengkuang, Gelang Patah, Johor, menutup tirai dengan kemuncak majlis penyerahan bantuan dan sumbangan duit raya kepada 300 penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin dari kariah Masjid Al-Irsyad, di sini, hari ini.

Terdahulu, seawal jam 8 pagi jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Paya Mengkuang dan sukarelawan TKHM berganding bahu menumbangkan seekor lembu dan bergotong royong bagi menyediakan hidangan untuk juadah berbuka puasa. 

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro dalam mendekati komuniti diteruskan lagi dengan aktiviti ziarah rumah ke rumah keluarga miskin yang disempurnakan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar yang turut menyampaikan sumbangan kpd mereka yg memerlukan.

Mustapa berkata, Harian Metro berbesar hati memilih Masjid Al-Irsyad di Gelang Patah sebagai lokasi pertama TKHM edisi khas Ramadan tahun ini dan tidak akan putus hubungan untuk bekerjasama dengan jawatankuasa penduduk yang banyak membantu menjayakan program itu.

"Insya-Allah lokasi yang kedua TKHM akan diadakan di Gopeng, Perak sebagai satu lagi destinasi dan yang terakhir kali ini pada 15 Jun nanti.

"Namun kami teruskan juga CSR kami untuk mendekati komuniti melalui program kotak rezeki yang diagihkan kepada semua kakitangan yang bertugas ketika waktu berbuka di seluruh negara," katanya ketika majlis penyerahan sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin pada program TKHM, hari ini. 

  Penganjuran kali ini menyaksikan Forest City sebagai penaja utama meraikan 50 ibu tunggal dan 50 asnaf dari sekitar Mukim Tanjung Kupang untuk diberi bantuan selain penyerahan kelengkapan sambutan Aidilfitri kepada 200 anak yatim pada majlis kemuncak TKHM di Gelang Patah.

Selesai majlis itu, penduduk setempat berbuka puasa bersama sukarelawan TKHM di Masjid Al-Irsyad dengan menikmati juadah di dalam dulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 9:57 PM
PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (kiri) memberikan bantuan kepada individu yang memerlukan sambil diperhatikan Pengarang Eksekutif Harian Metro, Othman Mamat (kanan). FOTO Asrizal Aris