Kalidevi Mogan Kumarappa


TIGA pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disiasat selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ di Presint 4, Putrajaya, 13 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, seorang daripada mereka direman hingga hari ini manakala dua lagi sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, dalam kejadian 1 pagi itu, seorang daripada pegawai penguat kuasa unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ bersama seorang lagi individu yang masih bebas dipercayai memecah masuk pejabat Ketua Pengarah.

“Ketika itu, dua lagi pegawai PTK JPJ didapati berada dalam kenderaan. Sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, ketiga - tiga pegawai itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis sedang memburu seorang lagi lelaki dipercayai bukan kakitangan JPJ berhubung kes berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan memecah masuk premis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 3:59 PM