ERNIE Zakri. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin

Pada usia 25 tahun, kebanyakan gadis sudah matang untuk menyulam perasaan cinta. Malah kini makin ramai gadis memilih untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Bagaimana dengan penyanyi Ernie Zakri, 25, yang dikenali melalui lagu Jangan Marah tahun lalu? Tidakkah dalam usianya kini sudah ada seseorang yang berjaya menambat hatinya atau pun hatinya sudah dimiliki?

Bertemu Ernie baru-baru ini, dia mengaku belum ada cinta hati. Katanya, buat masa ini dia lebih seronok memberi fokus pada karier seni.

Biarpun pada usianya kini sudah layak bercinta dan patut mengenal hati budi seseorang, dia akui tidak perlu tergesa-gesa.

Bagaimanapun, Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri akui ada juga terfikir untuk belajar mengenal cinta. Katanya, bohonglah jika dia menafikan tidak pernah terbuka hati untuk melalui pengalaman bercinta dan memiliki kekasih.

“Seperti gadis seusia yang lain, saya juga ada kalanya tidak terlepas daripada memikirkan soal peribadi seperti cinta.

“Apapun, bagi saya persoalan membabitkan cinta yang berkait rapat dengan hati dan perasaan ini subjektif. Tidak mudah untuk jatuh cinta pada seseorang dan untuk itu saya lebih selesa menyerahkannya pada takdir.

“Bagaimanapun, saya sentiasa yakin apabila tiba masanya sudah pasti cinta dan jodoh yang ditetapkan itu akan dimiliki juga,” katanya.

Ditanya sama ada dia seorang yang terlalu memilih, Ernie berkata, kriteria untuk seorang lelaki idaman itu harus ada bagi seseorang wanita.

“Cuma jujur dikatakan saya lebih suka bersikap ‘low-profile’ apabila berbicara mengenai cinta. Apatah lagi selama tujuh tahun saya berjuang tanpa jemu untuk membina nama dan karier sebagai penyanyi, kisah cinta memang tidak pernah dikongsi.

“Saya sentiasa yakin bahawa masyarakat akan terima kemunculan saya dalam karier nyanyian ini bersandarkan bakat,” katanya.

Pun begitu, tidak berselindung mengenai kriteria lelaki pilihannya. Kata Ernie, dia selesa dengan sikap pemuda yang menghormati orang tua.

Anak bongsu dalam keluarga sangat rapat dengan ibu bapanya yang sentiasa di sisi walau ke mana saja.

“Setakat ini ibu bapa adalah insan yang paling rapat dengan saya. Ke mana saja saya pergi membuat persembahan, ibu sentiasa menemani.

“Bahkan, sekarang bapa juga tidak ketinggalan menemani kami berdua. Jadi, secara tidak langsung apabila ibu bapa sentiasa berada di sisi, saya berasakan lebih selamat,” katanya.

Ernie bukan sekadar penyanyi tetapi dikenali juga sebagai guru vokal. Selain mengajar bintang baru, Ernie juga pengajar vokal bagi penyanyi popular seperti Siti Nordiana, Wany Hasrita, Amira Othman, Azza Elite dan ramai lagi.

Aktif menyanyi sejak kanak-kanak, Ernie pernah muncul juara pertandingan Bintang RTM (BRTM) pada 2009.

Turut mendapat peluang menghasilkan satu album, Sinaran pada 2011 ternyata laluan Ernie untuk membina karier nyanyian berliku.

Tidak patah semangat, setiap tahun Ernie gigih menghasilkan single baru buat peminat dan tuah mula berpihak buatnya tahun lalu.

Bukan hanya lagu Jangan Marah saja popular dan diminati peminat, rezeki Ernie bertambah selepas muncul juara dalam program Duo Star, tahun lalu.

Berganding dengan bintang Akademi Fantasia 2015 (AF 2015), Syamel, mereka juga tidak terlepas dengan gosip cinta.

Menjawab sekian kalinya mengenai hubungan cinta itu, Ernie berkata, dia dan Syamel hanya berkawan rapat.

“Jujur saya katakan, tidak ada hubungan cinta terjalin antara kami berdua. Saya dan Syamel, kami adalah sahabat baik.

“Selain itu, kami juga digandingkan untuk merakamkan satu lagu duet, Aku Cinta ciptaan sepenuhnya oleh Syamel sendiri,” katanya.

Lirik video lagu Aku Cinta yang dimuat naik ke YouTube sejak lima bulan lalu sudah mencatat lebih tiga juta tontonan manakala video muzik yang baru sebulan dimuat naik ke YouTube sudah meraih lebih 700,000 tontonan.

Sedia cuba cabang seni lain

Meskipun menyanyi adalah keutamaan, Ernie mengakui dia juga tidak akan menolak peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang seni lain.

Siswazah Persembahan Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sedia ketengahkan bakatnya dalam lakonan dan pengacaraan.

“Cuma kini, saya masih belum mendapat peluang itu. Apapun, saya sedia mencuba sekiranya mendapat watak sesuai.

“Apatah lagi saya sebenarnya pernah berlakon satu telefilem istimewa Aidilfitri beberapa tahun lalu bersama Tomok untuk RTM.

“Ketika itu rasanya lakonan saya kaku tetapi apa yang penting, saya dapat timba sedikit pengalaman sebagai pelakon,” katanya.

Sebagai orang baru yang hendak mencuba nasib sebagai pelakon, dia mungkin tidak memilih watak. Apapun, katanya dia tetap beri penelitian terhadap watak perlu dilakonkan iaitu harus sesuai dan boleh dilakonkan dengan baik.

Begitu juga peluang untuk mengacara. Katanya, dia tiada masalah untuk mencuba bakat sebagai pengacara kerana tabiat dirinya suka bercakap.

“Saya rasa tiada masalah untuk saya menceburi bidang pengacaraan sekiranya mendapat peluang daripada stesen TV kerana saya suka bercakap.

“Sudah pasti saya juga mempersiapkan diri dengan selalu membaca untuk mendapatkan pelbagai maklumat diperlukan,” katanya.

Mengenai single terbarunya, Ernie sudah mendapat lagu tetapi kerja rakaman belum dimulakan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 3:25 AM