Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


 SELAMA 26 jam terapung di laut, doa, zikir dan bacaan ayat suci al-Quran menjadi peneman Suhaimi Muhamad, 41, yang akhirnya ‘panjang umur’ apabila diselamatkan nelayan Vietnam.

Sepanjang tempoh berkenaan tiga kali dia menerima sesuatu yang tidak dijangka, iaitu botol air mineral berisi air minuman yang bersih, kepingan polisterin dan ombak bergelora yang tiba-tiba tenang.

Suhaimi yang juga kontraktor hanya berbekalkan jaket keselamatan selepas terjatuh dari bot ketika memancing bersama sembilan rakannya di perairan Terengganu, 23 Julai lalu.

Ikuti pengalaman Suhaimi, bapa kepada lima anak seperti yang diceritakan kepada wartawan ketika ditemui di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

“Dalam keadaan yang lemah, saya cuba berusaha untuk berenang tetapi ombak kuat menghanyutkan saya dengan lebih jauh.

Saya berdoa memohon kepada Allah SWT, lalu laut yang bergelora tiba-tiba menjadi tenang, memudahkan saya berenang menghampiri bot nelayan Vietnam untuk saya meminta bantuan dan akhirnya saya diselamatkan.

Sepanjang berada di tengah lautan dengan kedalaman 100 meter itu, hanya jaket keselamatan menjadi penyambung nyawa yang dipeluk erat sehingga saya ditemui oleh kru bot nelayan Vietnam kira-kira 6.25 petang pada 24 Julai.

Jaket keselamatan itu hanya mampu dipeluk kerana apabila dipakai, saya akan berpusing selepas ditolak arus ombak yang kuat.

Dalam keadaan yang haus, lapar dan kesejukan, hanya doa yang memberi kekuatan kepada saya untuk teruskan hidup.

Saya tidak berhenti berzikir dan membacakan ayat suci al-Quran sepanjang hanyut di tengah laut serta menganggap apa yang berlaku sebagai ujian daripada Allah.

Ketika terapung di tengah laut pada tengah malam, kaki saya bergesel berkali-kali dengan badan ikan membuatkan perasaan menjadi sangat cemas. Sebagai pemancing, saya tahu ikan yang aktif pada waktu malam adalah ikan pemangsa, ganas dan besar.

Selain berdoa dan berzikir, saya cuba tidak menggerakan kaki kerana haiwan pemangsa lebih gemar menyambar mangsanya yang sedang bergerak.

Alhamdulillah, beberapa minit selepas itu, tidak ada lagi geselan di kaki. Selepas 20 jam melawan ombak, saya sangat haus dan lemah lalu berdoa kepada Allah supaya diberikan tenaga untuk bertahan sebelum terjumpa botol air mineral yang masih mengandungi air bersih.

Saya sendiri terkejut, boleh terjumpa air minum dalam botol di tengah laut bergelora. Bukan itu saja, ketika saya tidak lagi berdaya untuk berpaut pada jaket keselamatan, Allah 'berikan' pula saya kepingan polisterin supaya saya boleh terapung dengan lebih baik.

Dengan polisterin itu juga saya melambai kepada kru bot nelayan sebelum mereka menyedari saya di tengah laut lalu berusaha menyelamatkan saya.

Sebelum itu saya juga membuka seluar untuk diletak di atas kepala sebagai petunjuk kepada bot atau helikopter yang melalui kawasan itu kerana terdapat jalur putih yang boleh memantulkan cahaya.

Selepas saya diselamatkan oleh nelayan vietnam itu, saya mengalami masalah untuk berkomunikasi dengan nelayan berkenaan kerana tidak memahami bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, saya diberi layanan yang baik daripada nelayan Vietnam itu. Selain diberi pakaian, makanan dan minuman, mereka juga mengajar saya beberapa asas bahasa Vietnam sepanjang lima hari di atas bot nelayan itu.

Mengimbas kembali kenangan pahit itu, kejadian bermula apabila bot memancing yang dinaiki rosak menyebabkan dia dan rakannya terkandas di tengah laut.

Kira-kira jam 4.30 petang, saya yang baru tersedar daripada tidur mahu menuruni tangga untuk ke dek bawah dan tiba-tiba terjatuh ke dalam laut disebabkan hayunan bot yang kuat selepas ditolak ombak.

Beberapa rakan yang menyedari kejadian itu cuba melemparkan tali dan jaket keselamatan namun saya hanya mampu mencapai jaket sahaja selepas kehilangan banyak tenaga kerana melawan arus ombak kuat.

Disebabkan ombak yang bergelora, saya hanyut dengan cepat sehingga dia tidak dapat melihat kelibat bot hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Selepas melalui pelbagai cabaran ketika hanyut dari perairan Terengganu ke perairan Vietnam, saya diselamatkan kru bot nelayan Vietnam dan berada di bot berkenaan selama lima hari.

Selepas maklumat diambil dan diserahkan kepada kedutaan Malaysia di Vietnam, saya selamat tiba di tanah air pada 1 Ogos lalu.

Meskipun peristiwa itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila, ia bukan penghalang untuk saya meneruskan hobi memancing.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 11:06 PM
Suhaimi (kiri) menunjukkan jaket keselamatan yang digunakan ketika terjatuh di perairan Terenggangu sebelum hanyut hingga ke perairan Vietnam. FOTO Khairus Ramli