TIARA guna teknologi dari luar negara ‘tukar’ Panggung Sari jadi Stadium Merdeka.
Nor Akmar Samudin

Penerbit teater muzikal OlaBola The Musical, Puan Sri Tiara Jacquelina menjanjikan pementasan terbesar menggunakan teknologi tercanggih dengan barisan pelakon membabitkan pelbagai bangsa dan peringkat usia serta sarat permainan jiwa.

Teater muzikal yang diadaptasi daripada filem OlaBola terbitan Astro Shaw akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama sebulan bermula 22 Februari hingga 22 Mac tahun depan.

Ia juga adalah pementasan paling lama di IB.

Pementasan OlaBola The Musical juga pertama kali Tiara akan duduk di kerusi pengarah. Sebenarnya sejak pementasan Puteri Gunung Ledang pada 2004, dia mahu mengarah tetapi perlu berikan tumpuan sebagai penerbit dan pelakon dalam teater itu.

"Ini kerana sebagai pengarah saya perlu mengambil kira semua aspek. Tentu sukar kerana pada masa sama saya juga berlakon. Sekarang saya sudah ada pasukan produksi yang bagus dan cekap, barulah bersedia menjadi pengarah.

“Saya seorang yang sangat teliti dan sentiasa berkerja keras dalam setiap projek yang diusaha dan diterbitkan.

“Sejak dulu saya mesti melakukan yang terbaik, jika orang lain bekerja tujuh jam sehari, saya akan bekerja lebih daripada itu bagi memastikan segalanya sempurna. Penonton setia Puteri Gunung Ledang pasti meletakkan harapan yang tinggi terhadap OlaBola The Musical dan ada beranggapan ia akan memberi tekanan kepada saya.

“Saya tidak bimbang dengan perkara itu kerana tanpa tekanan, prestasi kerja kita tidak akan berubah dan saya sudah membuat persediaan cukupnya untuk mengarah teater muzikal ini,” katanya.

Tiara berkata, walaupun memiliki banyak pengalaman sebagai pelakon dan pengarah, untuk mengarah teater muzikal ini dia banyak belajar daripada Joanna Bessy.

Tiara berkata, sejak dilancarkan Mei lalu, dia bersama pasukannya sudah ‘berkampung’ di pejabat Enfiniti Productions untuk menyiapkan skrip, lagu dan segala yang berkaitan pementasan berskala mega itu.

“Skrip dan 11 lagu utama untuk pementasan itu sudah siap dan saya amat berpuas hati dengan lagu ciptaan Altimet.

“Dia seorang yang sangat berbakat, bijak dan saya sukakan karya ciptaannya. Lagunya rancak dan menghiburkan serta ada mesej.

OlaBola The Muzikal berkonsepkan muzikal epik rap dan hip hop terbesar di Malaysia bagi menggambarkan ciri sukan bola sepak yang lasak.

“Saya akan menggunakan teknologi dari luar negara untuk menukarkan Panggung Sari, Istana Budaya kepada Stadium Merdeka. Sebaik saja penonton melangkah masuk ke panggung itu terus mereka rasakan suasana dalam stadium dan seperti menyaksikan perlawanan bola sepak sebenar. Ia adalah cabaran terbesar produksi untuk mencipta semula dan menterjemahkan keadaan stadium yang dipenuhi 50,000 orang dari filem ke pentas, membawa audiens ke dalam suasana hangat perlawanan besar bola sepak.

“Saya benar-benar mahukan muzikal itu dipersembahkan di dalam suara dan bunyi yang biasa kita dengar hari ini, iaitu sesuatu yang segar serta berbeza berbanding yang kami persembahkan sebelum ini. Mereka yang membawa teknologi itu ke negara ini akan menurunkan kepakaran kepada anak tempatan,” katanya.

Sementara itu, pada 20 Ogos ini dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang bertempat di Enfiniti Productions akan adakan uji bakat mencari pelakon teater muzikal itu.

“Saya mahu mencari mereka yang boleh berlakon, menyanyi, menari rap dan hip hop. Semua bangsa dari kanak-kanak sehingga ke orang tua boleh datang ke uji bakat pada hari berkenaan. Teater muzikal itu memerlukan hampir 40 pelakon. Uji bakat itu terbuka kepada semua orang termasuk pelakon asal filem Ola Bola,” katanya.

Enfiniti akan bekerjasama dengan pengarah muzik terkemuka, Saiful Ridzuan, Raja Malek, bersama pasukan produksi dan kreatif yang hebat.

Filem Ola Bola diinspirasikan daripada kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 3:48 AM