HANNAH tidak baca komen bersifat kejian di media sosial.
Sudirman Mohd Tahir

Drama Mencintai Mr Photographer yang ditayangkan di saluran Astro Ria baru-baru ini berjaya melonjakkan nama Hannah Delisha.

Hadir dengan pakej lengkap sebagai artis, pelakon Singapura ini membuktikan dia serius dalam bidang diceburi.

Buktinya, lakonan Hannah bersama Syafiq Kyle dalam drama itu mendapat pujian banyak pihak walaupun itu drama lakonan pertamanya di Malaysia.

Siapa sangka kemunculan Hannah yang melakonkan watak Aira mampu menarik perhatian penonton sehingga dia dapat mengumpul peminat tersendiri.

Hannah berkata, pengikut di laman Instagram naik lebih 400,000 dalam tempoh dua bulan berbanding pada awalnya hanya 26,000.

“Ketika mula penggambaran, pengikut mula meningkat ke angka 50,000. Apabila episod pertama ditayangkan naik sehingga 100,000 pula. Boleh dikatakan setiap hari pengikut bertambah antara 10,000 ke 15,000. Sehingga sekarang jumlah pengikut saya lebih 500,000 orang.

“Sebenarnya saya tak menyangka mendapat maklum balas sebegini. Lagipun, ini drama pertama lakonan saya di Malaysia. Sebagai orang baru, saya bangga dengan peluang diberikan. Namun tak mahu terlalu selesa dengan setiap pujian. Banyak lagi yang perlu diperbaiki,” katanya.

Dalam pada banyak memuji, Hannah yang juga anak tunggal dalam keluarga akur apabila turut mendapat kritikan malah kejian daripada pengguna laman sosial.

Namun, Hannah mengambil pendekatan untuk tidak membaca komen itu bagi mengelak terbabit dalam aura negatif.

“Tidak dinafikan ada juga yang memberikan komen negatif. Kebanyakan mereka peminat Syafiq yang mungkin berasa cemburu. Saya tak ambil peduli pun. Apa yang mereka nak cakap atau tulis, saya tak kisah.

“Dalam perkara ini saya tak boleh paksa peminat suka saya atau lakonan saya. Bagi saya mudah, kalau memang tak suka jangan tengok atau ‘unfollow’ saja di Instagram. Saya berlakon dengan Syafiq atas dasar kerja dan profesional. Tidak pernah lebih daripada itu,” katanya.

Hannah berkata, sambutan diberikan peminat di sini sekali gus membuka mata banyak pihak di negara kelahirannya.

“Sebelum ini saya pernah berlakon selama setahun di Singapura. Namun, impaknya tidak sehebat di sini. Pendedahan dalam industri seni di sini lebih besar. Disebabkan itu nama saya cepat dikenali.

“Saya berasakan peminat di sana mula buka mata. Peminat dari negara sendiri juga bertambah ramai,” katanya.

Elak seksi

Hadir dengan wajah cantik membuatkan Hannah mengambil keputusan untuk tidak tampil seksi sama ada di luar atau di kaca TV.

Pada masa sama, Hannah seboleh-bolehnya mengelak melakonkan aksi romantik keterlaluan.

“Dari dulu lagi saya memang tak suka berpakaian seksi. Ia bukan permintaan emak tetapi kemahuan diri sendiri. Kalau dalam lakonan pun, bagi saya banyak cara yang boleh menonjolkan keseksian seseorang. Tidak semestinya perlu berpakaian terdedah atau menayang anggota badan.

“Sekiranya mendapat watak sebegitu, saya boleh berkongsi idea dengan pengarah. Saya percaya kalau ada perbincangan pasti semuanya berjalan lancar. Pendek kata, dalam perkara ini saya ada prinsip sendiri,” katanya.

Selain dibantu seorang pengurus, Hannah juga beruntung kerana sentiasa ditemani ibunya walau ke mana jua.

“Dari dahulu lagi emak sentiasa ada bersama saya. Ketika di Singapura pun dia yang menguruskan kerjaya seni saya. Memandangkan masih baru di sini, saya masih perlukan bantuannya.

“Pada masa sama emak menjadi rujukan utama saya dalam setiap perkara. Dia tak pernah putus memberi nasihat apa yang baik dan tidak. Paling penting dia sentiasa menasihati supaya jangan tinggalkan solat lima waktu dan terus merendah diri,” katanya.

Kerjaya nyanyian hampir berkubur

Sebelum bergelar pelakon, Hannah terlebih dahulu dikenali sebagai penyanyi apabila pernah mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Alibi Music ketika berusia 17 tahun.

Ketika itu Hannah sempat menghasilkan dua single. Namun, entah di mana silapnya nama Hannah tidak berjaya ke depan selain syarikat itu tutup.

“Selain menyanyi, saya juga pernah mengacarakan program Cipta Rasa Rempah Ratus yang ditayangkan di saluran TVi. Program itu menjalani penggambaran dua tahun lalu dan baru saja bersiaran.

“Selepas itu saya mengambil keputusan pulang ke Singapura bagi mempromosikan lagu. Secara kebetulan di sana saya ditawarkan berlakon di sebuah stesen TV. Sepanjang tempoh setahun saya sempat berlakon tujuh drama termasuk drama Inggeris,” katanya.

Percubaan Hannah berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai Personaliti Wanita Paling Popular pada Pesta Perdana 2017.

Terbaru Hannah bakal memulakan proses rakaman single di bawah syarikat HyperBeat milik kumpulan Hyper Act.

Lagu berentak pop balada itu hasil ciptaan Akil Hyper Act dan bakal dilancarkan tahun ini juga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 3:03 AM