TUNKU Azizah (empat dari kiri) bersama Widayati (dua dari kiri) serta tiga anak kembar mereka. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: “Saya pernah tersilap kembar. Sepatutnya anak lain dibawa ke klinik, tetapi kembarnya pula dibawa ketika itu,” kata suri rumah, Widayati Abas, 43, berkongsi pengalamannya menguruskan tiga anak kembar yang dilahirkan melalui persenyawaan in vitro (IVF).

Widayati yang menetap di Taman Bukit Indah, di sini, melahirkan kembar tiga iaitu Zaheen Aliff Zulkifflee, Zaheen Afiff dan Zaheen Aqiff yang kini sudah menjangkau usia 10 tahun menerusi program Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).

Berkongsi pengalaman membesarkan kembar tiga terbabit katanya, dia tersilap membawa kembarnya itu kerana memiliki wajah seiras.

“Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan apabila seorang kembar mengalami alahan dan ruam seluruh badan dan ketika membawa mereka ke klinik doktor pelik kerana tiada kesan alahan.

“Kemudian baru saya sedar silap membawa anak kerana kedua-dua anak syurga itu seiras,” katanya mengakui kembar tiga anaknya itu agak unik kerana dua daripada mereka insan istimewa.

Menurutnya, Zaheen Afiff dan Zaheen Aqiff menghidap gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Katanya, dia mula menyedari keistimewaan anaknya itu ketika mereka berusia lima tahun apabila mendapati mereka tidak boleh bertutur.

“Pada usia tujuh tahun, doktor mengesahkan mereka menghidap ADHD dan walaupun hiperaktif, mereka tidak bergantung kepada sebarang ubat kerana masih boleh dikawal.

“Mereka hanya perlu menjalani terapi seperti senaman disyorkan doktor,” katanya.

Widayati berkata, pada awalnya dia berdepan cabaran menjaga dua anaknya itu apabila dia tidak dapat memahami apa yang mereka inginkan.

Menurutnya, malah cabaran tambahan bagi memberi kefahaman kepada anak kembar yang normal berkaitan situasi dua kembar lain.

Katanya, ia berikutan kembar anaknya itu pada zahirnya kelihatan normal namun hakikatnya mereka mengalami kecelaruan otak iaitu tidak dapat berfikir secara normal.

“Mereka bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling manakala kembar mereka yang normal belajar di sekolah sama,” katanya,” katanya ketika menerima kunjungan Tunku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semalam.

TAFF ditubuhkan oleh Tengku Puan Pahang bagi membantu pasangan suami isteri yang lama berkahwin tidak mempunyai anak.

TAFF membiayai kos rawatan IVF bagi pasangan yang berjaya dalam permohonan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:03 AM